Sorotan Kerjasama Pertahanan Turki-Malaysia
Lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, selama 4 hari ke Turki baru-baru ini mendapat tumpuan ramai.
Dalam lawatan ini, Dr Mahathir diiringi oleh beberapa orang Menteri termasuklah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. Selain daripada pertemuan rasmi dengan Presiden Erdogan, tumpuan utama dalam lawatan ini ialah kunjungan Dr Mahathir ke Turkish Aerospace Industries (TAI), sebuah syarikat utama di Turki dalam bidang penerbangan khususnya UAV.
Dalam kenyataan rasminya, Presiden Erdogan menyatakan bahawa sektor pertahanan perlu menjadi agenda utama dalam hubungan antara Malaysia dengan Turki baik di peringkat kerajaan mahupun dalam sektor swasta.
Kenyataan ini disambut baik oleh Dr Mahathir, yang menekankan bahawa selain daripada hubungan perdagangan, kerjasama pertahanan dengan Turki adalah amat penting bagi Malaysia.
Sejauh manakah kenyataan ini signifikan? Artikel ini akan menyorot secara ringkas latar belakang kerjasama pertahanan antara Turki dengan Malaysia yang telah wujud sebelum kunjungan rasmi Dr Mahathir ke Turki baru-baru ini.
Industri Pertahanan Turki
Pembangunan industri pertahanan Turki diberikan perhatian yang tinggi oleh kerajaan Turki, khususnya di bawah pemerintahan Erdogan.
Sebelum Turki memasuki era Erdogan dan AKP, pertahanan dan ketenteraan Turki dibatasi oleh kekangan yang ditentukan oleh negara-negara barat dalam pakatan NATO yang disertai oleh Turki.
Namun apabila AKP mengambil alih kerajaan, dasar Turki yang pasif dalam pertahanan berubah menjadi lebih aktif.
Bagi Erdogan, pertahanan Turki harus mencapai tahap berdikari kerana untuk menjadi sebuah kuasa besar khususnya di Timur Tengah, Turki harus mempunyai kemampuan pertahanan yang bersifat cegah-rintang (deterrence).
Untuk perkara itu terjadi, Turki tidak boleh bergantung harap kepada kuasa barat yang sentiasa meletakkan batas kepada kekuatan Turki.
Oleh itu, Erdogan menganggap Turki tiada pilihan lain kecuali membangunkan kekuatan pertahanan dari dalam negaranya sendiri[1].
Pendirian itu dapat dilihat manifestasinya dalam ekonomi Turki. Di peringkat nasional, industri pertahanan Turki adalah merupakan industri utama dalam ekonomi negara.
Industri ini telah mewujudkan rangkaian syarikat tempatan yang besar seperti Aselsan, Havelsan, STM, dan lain-lain.
Di peringkat antarabangsa, Turki tergolong dalam tingkatan ketiga negara pengeksport dalam sektor pertahanan, sebaris dengan Korea Selatan, Itali, dan Israel. Pada tahun 2018, jumlah eksport Turki dalam sektor pertahanan mencecah $2.035 bilion[2].
Antara strategi yang menjadi tunjang untuk mencapai hasrat kerajaan Turki adalah proses pemindahan teknologi (technological transfer) daripada salah satu peneraju teknologi pertahanan global iaitu Israel.
Laporan pada tahun 2005 menunjukkan bahawa semenjak Turki menandatangani perjanjian pertahanan dengan Israel pada tahun 1996, kerjasama pertahanan khususnya dalam sektor penerbangan (seperti jet pejuang, helicopter, dan UAV) dan kereta kebal (tanks) telah berlaku dengan pesat.
Melalui kerjasama ini, Israel mendapat kontrak untuk membekalkan dan menambahbaik aset ketenteraan Turki, manakala Turki pula mendapat peluang untuk mempelajari teknologi Israel untuk tujuan pembangunan industri pertahanannya sendiri[3].
Sektor Pertahanan Turki & pasaran Asia
Pada tahun 2017, kerajaan Turki secara rasmi telah menggariskan dasar kempen yang lebih ‘agresif’ untuk mengkomersialkan sektor pertahanan Turki ke negara-negara lain.
Duta-duta Turki yang bertugas di lebih 150 buah negara ditugaskan untuk mempromosi sektor pertahanan Turki di luar negara.
Selain daripada pasaran yang sudah sedia ditembusi oleh Turki (seperti di US, Saudi, Qatar, UAE, dan lain-lain), pasaran baru khususnya di Asia akan diberikan tumpuan.
Faktor tarikan yang ditawarkan oleh Turki ialah pendekatan kerjasama dan perkongsian teknologi, berbanding negara pengeksport pertahanan yang lain yang mengambil pendekatan menjual produk semata-mata[4].
Turki terpaksa melakukan inisiatif seperti itu berikutan perubahan mutakhir landskap politik di rantau Timur Tengah yang tidak lagi memihak kepada Turki (kerana Turki memilih untuk memihak kepada blok pro-Islamis, seperti yang turut dilakukan oleh Qatar).
Hal ini turut mengesani sektor perniagaan khususnya dalam bidang pertahanan memandangkan negara teluk seperti UAE, Kuwait, dan lain-lain adalah pasaran bagi syarikat pertahanan Turki.
Oleh kerana pasaran yang sudah diteroka mengecil, maka pasaran baru perlu dicari. Jika tidak, ekonomi Turki akan menerima impak yang negatif[5].
Dalam konteks ini, Pakistan dan Malaysia dilihat sebagai pasaran yang amat berpotensi untuk penggandaan eksport pertahanan Turki, meskipun berstatus pasaran yang masih baru dan kecil berbanding pasaran lain[6].
Kedua-dua negara ini telah menjadi pengimport produk pertahanan Turki sejak tahun 2003 lagi[7]. Pada tahun 2016, Pakistan telah memeterai kontrak bernilai $90 juta dengan Turki, manakala Malaysia pula mencatatkan jumlah import sebanyak $99 juta daripada sektor pertahanan Turki[8].
Kerjasama Aset Pertahanan Malaysia-Turki
Malaysia telah mendapatkan khidmat Turki dalam pembekalan aset pertahanan seawal tahun 2000 lagi. 211 buah kenderaan perisai bernilai $278 juta akan dibekalkan oleh syarikat pertahanan Turki, FNSS, kepada Malaysia, melalui syarikat DEFTECH (anak syarikat DRB-Hicom Berhad).
Pembelian ini merangkumi perjanjian pemindahan teknologi antara kedua-dua pihak[9].
Pada tahun 2011, Najib Razak selaku Perdana Menteri ketika itu memeterai keputusan untuk menjadikan hubungan antara kedua negara itu ke tahap ‘strategik’.
Dalam kunjungan itu, sebuah perjanjian urusniaga bernilai $600 juta antara FNSS dimeterai dengan Deftech.
Dalam perjanjian itu, 257 buah kenderaan perisai akan dibina oleh FNSS Bersama dengan Deftech untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia[10].
Tidak dapat dipastikan adakah urusniaga ini merupakan penerusan daripada urusniaga terdahulu, atau satu urusniaga yang baru.
Pada tahun 2016, Hishamuddin Hussin (Menteri Pertahanan ketika itu) mengumumkan bahawa Malaysia dan Turki akan menambahbaik kerjasama antara kedua-dua negara itu agar lebih berstruktur dan berfokus, khususnya dalam sektor pertahanan[11].
Dalam tahun yang sama, syarikat dari Malaysia (Etika Strategi) mengumumkan sebuah projek kerjasama dengan syarikat BMC dari Turki dan Rheinmetall AG dari Jerman, dengan penumpuan kepada projek pembangunan kereta kebal.
Projek ini menyasarkan pasaran di Turki dan Malaysia sendiri, selain pasaran di negara teluk dan lain-lain negara Asia[12].
Pada tahun 2017, syarikat pertahanan utama Turki, Aselsan, telah mendirikan habnya sendiri di Malaysia.
Pada tahun berikutnya, beberapa MOU pembangunan sistem pertahanan telah ditandatangani antara Aselsan dengan pihak di Malaysia seperti Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) dan Deftech.
Aselsan juga merupakan pembekal senjata kawalan jauh kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Peluang & Cabaran Masa Depan
Berdasarkan sorotan di atas, persetujuan Tun Dr Mahathir untuk bekerjasama dengan Turki dalam sektor pertahanan dan aero-angkasa baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu bentuk penerusan kepada dasar kerajaan Malaysia yang sedia wujud sejak beliau menjadi PM ke-4, dengan sedikit penekanan tambahan terhadap teknologi UAV[13].
Menilai dari sudut ekonomi jangka panjang, model kerjasama berasaskan pembangunan bersama dan perkongsian teknologi seperti yang berlaku antara Turki dengan Malaysia adalah lebih berfaedah kepada negara, berbanding dengan model pembelian seperti yang berlaku antara China dengan Malaysia.
Jurang yang lebih kecil antara Turki dengan Malaysia dari pelbagai sudut membolehkan kerjasama pertahanan berlaku secara ‘equal’ (sama rata) berbanding dengan China.
Hal ini perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh Malaysia yang masih ‘mentah’ dalam pembangunan sektor pertahanannya sendiri.
Kerjasama pertahanan Turki-Malaysia juga lebih kurang risikonya jika dinilai dari sudut kesan politik dan geopolitik, berbanding dengan hubungan pertahanan antara Malaysia dengan kuasa-kuasa besar seperti Rusia dan China.
Meskipun kuasa besar mampu menawarkan aset pertahanan yang stabil dan maju, Malaysia perlu menimbang risiko terperangkap dalam pengaruh geopolitik negara tersebut sekiranya berlaku konflik kuasa besar di rantau ini.
Walau bagaimanapun, sebagaimana yang dinyatakan sendiri oleh Tun Dr Mahathir dalam lawatannya baru-baru ini, objektif yang diharapkan daripada perpindahan teknologi antara Turki dengan Malaysia ini memerlukan pelaburan masa dan kewangan yang tinggi.
Tanpa kejelasan visi dan komitmen yang tinggi daripada pihak kerajaan di masa akan datang, Malaysia akan kekal sebagai negara tidak memiliki kemampuan tersendiri dan perlu bergantung kepada kuasa luar dalam memastikan keutuhan pertahanan negara.
Oleh:
Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
CEO IRIS Institute
Rujukan
[1]https://besacenter.org/perspectives-papers/turkeys-indigenous-weapons-industry-rover-rolls-royce-ambitions/
[2]https://www.defensenews.com/industry/2019/03/13/turkey-targets-defense-and-aerospace-exports-to-counter-growing-national-deficit/
[3] Cooperation in the Israeli-Turkish Defence Industry, Eugene Kogan (2005)
[4] https://www.defensenews.com/global/2017/01/19/turkey-launches-aggressive-defense-export-campaign/
[5] https://asia.nikkei.com/Politics/International-relations/Turkey-steps-up-arms-sales-to-South-and-Southeast-Asia
[6] https://www.defenceturkey.com/tr/icerik/an-overview-the-malaysian-defence-industry-248
[7] Military-Industrial aspects of Turkish defence policy, Rafal Wisniewski (2015)
[8] Rujuk nota kaki 4.
[9] Turkey And The Arms Trade 1998–2002: A Precis “Nurturing Turkey’s War Machine”, Nicholas Gilby (2003)
[10] https://www.yahoo.com/news/Turkey-Malaysia-seek-afp-738178673.html
[11] https://www.middleeastmonitor.com/20161009-malaysia-turkey-agree-to-deepen-military-cooperation/
[12] https://www.defensenews.com/industry/2016/08/03/turkish-german-malaysian-firms-in-armor-venture/
[13] https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/07/29/pm-accept-turkeys-offer/