Apa yang berlaku selepas Israel kalah perang di Gaza?

Israel sedang bertempur dalam peperangan yang tidak mungkin dimenangi bukan kerana tiada keupayaan ketenteraan atau kekayaan dan kekuatan hubungan diplomatik, tetapi kerana matlamat perangnya adalah berdasarkan politik yang gagal, di atas idea bahawa Israel boleh menjadikan rakyat Palestin tidak relevan dan halimunan kepada dunia. Itu adalah matlamat politik yang tidak dapat dicapai oleh mana-mana tentera.

Cara paling mudah untuk kalah dalam peperangan adalah dengan menetapkan matlamat yang mustahil atau bercanggah. Israel telah menetapkan tiga matlamat dalam peperangan semasa, dua yang tersurat dan satu yang tersirat.

Ia tidak mungkin dicapai walaupun dengan keunggulan kuasa ketenteraan, ekonomi dan diplomatik yang menyeluruh.

Dua matlamat yang tersurat adalah pembebasan tahanan awam dan tawanan perang tentera (POW) yang ditangkap oleh Hamas ketika serangan 7 Oktober serta penghapusan Hamas.

Matlamat yang tersirat adalah untuk mengukuhkan pencegahan sebarang serangan di masa hadapan untuk menjamin keselamatan Israel. Bagaimanapun, matlamat pembebasan tawanan jelas bertentangan dengan penghapusan Hamas.

Hanya beberapa orang tahanan awam yang dibebaskan selepas beberapa sesi rundingan dengan Hamas yang diketuai oleh Qatar. Sebarang pembebasan tahanan seterusnya memerlukan rundingan baharu dengan Hamas maka dengan itu meneruskan kelangsungan Hamas itu sendiri.

Tetapi sekiranya Israel komited untuk menghapuskan Hamas, mengapa Hamas perlu membebaskan tawanan? Apakah insentif yang ada?

Nampaknya salah satu cara yang dilakukan Israel adalah dengan menawarkan wang tunai dan ganjaran keselamatan kepada penduduk Gaza untuk memberikan maklumat tentang tawanan Hamas. Mungkin Israel percaya bahawa insentif itu akan cukup untuk membuatkan orang ramai menentang Hamas setelah kesengsaraan dahsyat yang telah ditimbulkan di Gaza.

Pendekatan ini bertentangan antara satu sama lain. Penduduk Gaza mungkin menyalahkan Hamas kerana mencetuskan keganasan terbaharu tetapi hakikatnya bom yang membunuh mereka adalah bom Israel. Bom Israel juga yang telah membunuh tawanan-tawanan Israel sendiri. Jurucakap Kementerian Pertahanan Israel (IDF), Daniel Hagari sendiri mengakui bahawa kempen pengeboman Israel menekankan “pada kerosakan bukan pada ketepatan”.

Kempen pengeboman intensif ini juga meningkatkan cabaran untuk menghapuskan Hamas kerana peperangan asimetri ini sebenarnya memberi kelebihan kepada Hamas. Tentera Israel merupakan salah satu angkatan tentera tercanggih dunia yang menguasai ruang udara Gaza sepenuhnya serta mengawal semua laluan keluar masuk Gaza.

Israel memiliki saiz angkatan tentera kira-kira 10 kali ganda bilangan anggota Hamas yang hanya dilengkapi senapang dan roket yang diseludup masuk atau dibuat sendiri di Gaza. Serangan Israel ke atas Gaza yang menyasarkan segalanya termasuk masjid, gereja, sekolah dan hospital mengorbankan ribuan orang awam terutamanya kanak-kanak.

Skala penderitaan penduduk Gaza yang dahsyat ini membuatkan banyak pihak menyebelahi Hamas. Misalnya, Presiden Turki yang telah cuba melakukan normalisasi dengan Israel kini mengiktiraf Hamas sebagai sebuah organisasi pembebasan Palestin bukannya kumpulan pengganas. Rusia juga menerima kunjungan delegasi Hamas di Moscow untuk berbincang mengenai tawanan asing di Gaza.

Walaupun idea kebudak-budakan yang dikemukakan oleh Presiden Perancis supaya gabungan anti-ISIS (yang tidak dianggotai Israel tetapi mempunyai Jordan, Mesir dan Lubnan yang mengutuk respon keterlaluan Israel terhadap serangan 7 Oktober) diperluaskan untuk turut merangkumi Hamas, skala serangan ngeri Israel ke atas orang awam telah gagal menyisihkan Hamas sebaliknya telah memberikan legitimasi kepada Hamas.

Bagi orang awam Israel, yang faham bahawa penciptaan negara Israel merupakan janji supaya mereka tidak akan mengalami genosid dan penghapusan etnik seperti yang pernah disaksikan di Eropah, kegagalan untuk menyelamatkan tawanan perang adalah hakikat yang sukar ditelan. Lebih sukar lagi untuk menerima kelangsungan Hamas yang berterusan, meskipun dalam buangan.

Bagaimanapun, kegagalan terbesar perang ini adalah status quo yang dikekalkan oleh Israel – menindas dan mengabaikan tuntutan hak kenegaraan Palestin – tidak lagi dapat dilaksanakan. Buktinya, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres telah menyatakan dengan terus terang bahawa “rakyat Palestin telah mengalamai 56 tahun penjajahan yang mencekik…tetapi kesengsaraan rakyat Palestin tidak menghalalkan serangan Hamas. Dan serangan itu juga tidak menghalalkan hukuman kolektif yang kejam terhadap rakyat Palestin”.

Kenyataan ini tidak dapat diterima oleh Israel – yang ditadbir oleh kerajaan yang paling ekstrim yang pernah ada – lalu pantas menuntut Guterres meletak jawatan. Menariknya, tiada negara lain hatta Amerika Syarikat (AS) yang menyebelahi Israel. Malah, Presiden AS, Joe Biden memperbaharui gesaannya untuk mencapai penyelesaian Dua Negara, suatu perkara yang dihindarinya sejak menjadi presiden. Memandangkan betapa kerap para pimpinan AS, Eropah dan negara-negara Arab melaungkan idea kenegaraan Palestin, Israel mungkin merasakan bahawa hal ini juga akan berlalu. Ini adalah satu kesilapan.

Ketika perang semakin sengit dengan korban yang semakin meningkat, adegan penderitaan dan kematian orang awam di Gaza menyerlahkan persoalan yang dibangkitkan oleh Bassem Youssef iaitu “apakah kadar pertukaran baharu untuk pembunuhan antara Palestin dan Israel?”

Israel sedang bertempur dalam peperangan yang tidak mungkin dimenangi bukan kerana tiada keupayaan ketenteraan atau kekayaan dan kekuatan hubungan diplomatik, tetapi kerana matlamat perangnya adalah berdasarkan politik yang gagal, di atas idea bahawa Israel boleh menjadikan rakyat Palestin tidak relevan dan halimunan kepada dunia. Itu adalah matlamat politik yang tidak dapat dicapai oleh mana-mana tentera.

Satu-satunya persoalan kini adalah berapa banyak kematian dan kemusnahan yang perlu berlaku sebelum Israel dan sekutunya menerima hakikat kegagalan ini.

Disunting daripada: The Wire

Dr Adilah Zafirah Mohd Suberi
Penyelidik IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kanak-Kanak Gaza: Mangsa Perang Atau Wira?

Next Post

Pengarah FBI Kunjungi Agensi-agensi Penguatkuasa dan KDN, Risiko Kepada Dasar dan Kedaulatan Malaysia

Related Posts
Skip to content