Amerika Syarikat (AS) meminta kerjasama sekutunya Thailand untuk memberi kebenaran kepada AS menggunakan lapangan terbang negara itu sebagai pengkalan tentera sementara. Hal itu bertujuan bagi menempatkan pesawat-pesawat pemantau sebagai bantuan krisis pelarian yang berlaku di rantau Asia Tenggara.
Menteri Luar Thailand, Tanasak Patimapragorn memaklumkan bahawa Thailand akan pertimbangkan permintaan tersebut dengan syarat-syarat tertentu yang melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara. Tanasak menyatakan bahawa kerajaan Thai memerlukan beberapa perincian penting seperti laluan penerbangan kapal terbang AS, serta jaminan bahawa mana-mana misi AS akan datang adalah di bawah pengawasan pihak berkuasa Thai.
Jumaat lepas, The Nation melaporkan bahawa Thailand telah meluluskan permintaan Washington untuk berlegar di sekitar perairan itu, terbang bersama dengan pesawat-pesawat Thailand untuk tujuan operasi mencari dan menyelamat. Tanasak juga memberitahu media berkenaan pertemuan pelbagai negara di Bangkok bagi membincangkan krisis pelarian, di mana Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan sudahpun memberi kebenaran lisan dan perkara itu telah disampaikan kepada kedutaan AS di Bangkok.
Namun begitu, Tanasak menegaskan bahawa kelulusan tersebut tidak termasuk AS boleh menggunakan Phuket atau U-Tapao sebagai pengkalan udara sementara mereka. Beliau menjelaskan penerbangan yang dibuat untuk tujuan operasi itu berlepas dari pengkalan udara di Malaysia, bukan dari Thailand. Permintaan untuk membenarkan penggunaan lapangan terbang di Thailand akan dipertimbangkan secara berasingan.
“Penerbangan tersebut berlepas dari pengkalan udara Malaysia, dan kami tidak menyatakan bahawa mereka boleh menggunakan mana-mana pengkalan udara kami. Sekiranya ada keperluan penting bagi mereka untuk menggunakan Thailand sebagai pengkalan udara mereka, permintaan mereka akan dipertimbangkan sebaiknya.”
Suatu perkara yang perlu dipersoalkan, kenapa begitu penting bagi AS untuk menimbulkan perkara ini? Sebelum ini (awal Mei), kerajaan Thai telah meluluskan permintaan Washington bagi menempatkan 16 pesawat yang terdiri dari pesawat pengangkut, dan pesawat minyak (aerial refueling aircraft) untuk tempoh tiga minggu di lapangan terbang U-Tapao sebagai salah salah usaha operasi pemulihan bencana gempa bumi di Nepal.
Ini bukan satu-satunya kelulusan yang diberikan Thailand secara terbuka untuk apa-apa tujuan termasuk menggunakan alasan krisis pelarian di Asia Tenggara.
Sumber : TheDiplomat [1] [2]