Vanuatu, Markas Luar Negara Kedua Tentera Laut China?

Tentera China sewaktu Hari Ketenteraan di Beijing
Tentera China sewaktu Hari Ketenteraan di Beijing

Doktrin Tentera Laut China dan Tentera China secara amnya telah berubah daripada tentera yang beroperasi di sekitar pesisiran pantai kepada tentera ekspedisi global yang mampu melakukan operasi di luar negara. Dengan sasaran menjadi kuasa maritim dunia atau ‘World Maritime Power’ pada 2024, China telah mula mencari negara-negara yang sanggup memberi tanah kepadanya untuk dijadikan markas tentera kekal seperti di Djibouti.

Peranan markas luar negara seperti Djibouti adalah memberi sokongan kepada sebarang operasi ketenteraan China dari segi logistik dan jika perlu, pembaikian kapal perang. Selain itu, markas ini digunakan bagi melatih tentera China untuk beroperasi di kawasan yang asing bagi tentera mereka. Kelebihan ini digunakan oleh China menerusi syarikat-syarikat ketenteraannya untuk menguji kesesuaian persenjataan mereka kepada iklim dan juga menjual produk mereka kepada negara-negara yang sedang membangun seperti di benua Afrika. Melihat kepada gerak-geri Tentera China, penulis berpendapat, bagi fasa awal peluasan kuasa, Beijing melihat negara-negara yang mempunyai akses kepada laut sebagai aset untuk tempat perdagangan dan lawatan ketenteraan seperti Djibouti.

Bagi mempertahankan pengaruh China di Pasifik, China memerlukan markas untuk mengimbangi kuasa dominan iaitu Amerika Syarikat. Disamping itu, China perlu memantau dan memerhati secara jelas ancaman yang nyata selain dari Amerika Syarikat, iaitu Australia, sekutu kuatnya. Penulis berpendapat, Australia dianggap sebagai ancaman yang besar kepada perluasan kuasa maritim dan tentera China secara amnya kerana Amerika Syarikat mempunyai beberapa markas tenteranya di Australia. Markas-markas ini terdiri daripada markas yang mempunyai fungsi mengumpulkan maklumat sulit dan ketenteraan serta mampu mengesan sebarang pergerakan kapal di beberapa kawasan strategik di Pasifik. Tentera Amerika juga kerap melalukan latihan bersama dengan tentera Australia dengan menggunakan modul seperti anti-kapal selam.

Beijing telah menunjukkan keinginannya untuk membina sebuah markas luar negara China yang pertama di Pasifik dan kedua di dunia selepas Djibouti. Meskipun tiada persetujuan di atas kertas berkenaan pembinaan markas tersebut di Vanuatu, Canberra dan Washington berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana pembinaan markas tersebut akan menggugat operasi ketenteraan Amerika Syarikat dan Australia di Pasifik.

Mengapa Vanuatu?

Vanuatu merupakan kepulauan yang berada dalam 2000 km dari pesisir pantai Australia. Dengan populasi penduduk seramai 270,000 orang, Vanuatu adalah tanah yang sesuai dijadikan tempat untuk China membangunkan fasiliti ketenteraannya. Menggunakan kaedah yang sama, iaitu perangkap ekonomi, syarikat-syarikat China melaburkan beberapa ratus juta US Dollar bagi tujuan pembangunan infrastruktur negara tersebut termasuk pembinaan bangunan pegawai kerajaan. Akibatnya, hutang Vanuatu kepada China meningkat menjadi $440 juta. Angka ini agak besar bagi negara pulau yang kecil. Selain itu, China memberi sumbangan 14 buah kenderaan tempur kepada Vanuatu untuk meningkatkan lagi hubungan diplomatik Beijing-Port Vila.

Jarak yang ‘dekat’ dengan Australia bermakna, China boleh mencabar Australia seperti yang dilakukannya di Kepulauan Spartly kepada negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia. China juga dapat memantau sebarang pergerakan ketenteraan dari Asia Tenggara ke Australia dengan hanya menguasai Vanuatu. Dalam satu lawatan rasmi penulis ke Markas Tentera Laut Australia bagi Armada Timur, pegawai pemerintah yang berpangkat komander termasuk staf dari Tentera Laut Diraja British turut menegaskan ancaman China yang aktif melakukan rondaan di kawasan Pasifik termasuk di Asia Tenggara. Beliau menambah, dengan kadar pengeluaran kapal dari limbungan China yang meningkat hampir satu kapal dalam masa setahun, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dijangka akan melakukan latihan dan rondaan bersama dengan lebih kerap.

Penulis menjangkakan, Vanuatu akan jatuh kepada China jika tiada usaha yang dilakukan untuk menyekat Beijing. Mempertahankan kawasan strategik adalah salah satu alasan yang akan digunakan selain membangunkan ekonomi Vanuatu. Teater Pasifik akan berubah dengan keinginan Tentera Laut British meluaskan semula kuasa maritimnya di Pasifik dengan lawatan kapal perang yang akan menjadi kerap menjelang tahun hadapan.

Oleh:

Irfan Alias
UNSW Australia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sejarah MCA dan DAP serta kaitannya dengan kongsi gelap

Next Post

The Chinese Communist Party Is Setting Up Cells at Universities Across America

Related Posts
Skip to content