Usaha ‘memuziumkan’ Melayu di bandar

Orang Melayu pada asalnya tinggal di bandar. Bandaraya yang membangun pada hari ini bermula dengan penempatan awal orang Melayu.

Antaranya Georgetown di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang bermula dengan pembukaan Batu Uban oleh orang Melayu dari Sumatera sebelum kedatangan Francis Light dan Kuala Lumpur di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang bermula dengan pentadbiran Sutan Puasa.

Namun ada juga bandaraya yang sejarahnya merupakan penerusan daripada polisi pembandaran sejak daripada zaman penjajahan seperti Ipoh di bawah Majlis Bandaraya Ipoh dan Petaling Jaya di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Kedua-dua bandaraya ini adalah penerusan daripada Kampung Baru Cina yang dilaksanakan oleh British sewaktu berhadapan dengan komunis di Tanah Melayu.

Wujud usaha ‘memuziumkan‘ orang Melayu
Ketika mana Ipoh dan Petaling Jaya berjaya mengekalkan identiti sebagai bandaraya dan penempatan yang didominasi oleh kaum Cina, Kuala Lumpur dan Georgetown berlaku situasi yang begitu berbeza.

Sejarah kewujudan orang Melayu sebagai penduduk asal di kedua-dua bandar tersebut dihapuskan dan usaha ini dapat dilihat menerusi projek-projek pembangunan yang dilakukan semasa zaman kedua-dua kerajaan PH mahupun Barisan.

Usaha “memuziumkan” atau museumification Melayu di bandar adalah contoh terbaik bagi memperlihatkan sejauh proses pembersihan identiti Melayu daripada bandar dilakukan. Hal ini dapat dilihat menerusi projek pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur, projek pembangunan Batu Uban di Pulau Pinang serta Projek Darul Hana di Sarawak.

Projek pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur

Walaupun sejarah Kampung Baru bermula dengan peruntukan Malay Agricultural Settlement (M.A.S) yang dilaksanakan oleh British untuk meminggirkan orang Melayu daripada sektor ekonomi di pusat bandar, penempatan tersebut berjaya memperuntukkan secara khas tanah kepada orang Melayu.

Image result for sejarah kampung baru
Terry McGee yang kini berkhidmat di Universiti British Columbia, Kanada menyimpulkan dalam tempoh 20 tahun antara 1860 dan 1880, akibat kemasukan pelombong China atas arahan penjajah British, orang Melayu mula keluar daripada wilayah Kuala Lumpur, sekali gus kehilangan dominasi terhadap kawasan bandar dan tarikan ekonomi.

Penempatan tersebut menjadi identiti Melayu di bandaraya Kuala Lumpur sehingga kini melihatkan kepada reka bentuk rumah tradisional yang dibina di situ, sistem penempatan yang mengutamakan nilai masyarakat Melayu dan juga sektor ekonominya yang bersifat bazaar economy tanpa sebarang unsur monopoli.

Isunya pada hari ini, kerajaan PH masih tidak mencapai kata sepakat daripada penduduk Kampung Baru mengenai projek pembangunan yang hendak dilaksanakan. Tawaran harga RM850 setiap kaki persegi tidak berjaya memujuk penduduk untuk menjual tanah milik mereka.

Cadangan daripada Pertubuhan Arkitek Malaysia sewaktu persidangan Asia-Pacific Urban Forum baru-baru ini adalah untuk membina sebuah Taman Warisan di Kampung Baru dan rumah tradisional Melayu akan dijadikan sebagai galeri dan kafe.

Cadangan ini bertentangan dengan identiti Melayu di bandar yang menjangkaui nilai estetika dalam seni bina rumah. Tetapi penempatan orang Melayu di bandar juga adalah cerminan identiti kepada sistem kehidupan masyarakat Melayu yang mampu membina sistem pentadbiran menerusi masjid, sistem ekonomi menerusi pasar dan gerai serta sistem sosial menerusi infrastruktur awam seperti balai raya.

Sistem kehidupan ini berjaya dikekalkan lebih daripada 60 tahun dalam arus pembangunan yang sudah berlaku di sekeliling mereka, tetapi kenapa sekarang sistem ini dikatakan sudah tidak relevan untuk dijadikan sebagai salah satu elemen penting dalam sejarah bandaraya Kuala Lumpur?

Nilai keuntungan pemilik mungkin bukan lagi persoalan utama dalam isu Kampung Baru ini. Pelan pembangunan yang dicadangkan oleh pihak kerajaan tidak meletakkan kepentingan memelihara orang Melayu di bandar dan hal ini bertentangan dengan identiti Kampung Baru itu sendiri.

Penghapusan Kampung Batu Uban, Pulau Pinang

Usaha memadam sejarah orang Melayu sebagai penduduk asal Pulau Pinang bukan sesuatu yang baru sahaja dilakukan oleh kerajaan negeri tersebut. Kebanyakan daripada mereka di luar sana akan merujuk kepada sejarah Pulau Pinang bermula daripada kedatangan Francis Light pada tahun 1786.

 

Image result for masjid jamek batu uban
Masjid Jamek Batu Uban ini wujud lebih 50 tahun sebelum kedatangan Francis Light pada tahun 1786

Namun seperti yang telah disepakati oleh sarjana sejarah Pulau Pinang, orang Melayu sudah bertapak di tanah tersebut dan membina penempatan seawal ribuan tahun sebelum kedatangan British.

Batu Uban merupakan salah satu penempatan awal orang Melayu di Pulau Pinang selain daripada Datok Keramat, Bayan Lepas dan Balik Pulau.

Festival Georgetown yang diadakan pada tahun ini tidak menampilkan aspek sejarah daripada sudut ini. Pihak Kerajaan Tempatan lebih meraikan sejarah selepas kedatangan kaum Cina dan India ke pulau tersebut.

Malah, penempatan buruh Cina yang dikenali sebagai Jetty Clan di pesisir pantai Pulau Pinang berjaya mendapat taraf UNESCO World Heritage Site pada tahun 2008 sedangkan penempatan orang Melayu yang lebih signifikan daripada sudut sejarahnya tidak diberikan pengiktirafan yang sama.

Situasi yang berbeza berlaku ke atas orang Melayu Pulau Pinang hari ini. Bukan sahaja penempatan mereka dimusnahkan secara total tetapi mereka dipaksa untuk menjual tanah milik mereka yang sudah berada di situ bergenerasi lamanya kepada pemaju.

Hasilnya dapat dilihat pembinaan kondominium mewah di atas tanah orang Melayu. Orang Melayu Pulau Pinang hanya mempunyai dua pilihan; sama ada mahu tinggal di pinggir di bandar atau keluar daripada pulau dan tinggal di Seberang Perai atau kawasan lain.

Keadaan Melayu Pulau Pinang bukan sekadar tidak “dimuziumkan” sejarahnya, malahan dipadam dan ditulis semula sejarah menurut naratif yang lain.

Kesimpulan

Usaha “memuziumkan” atau memadamkan sejarah orang Melayu di bandaraya bukan sahaja berlaku di Semenanjung. Baru-baru ini timbul isu pembangunan semula penempatan orang Melayu di kawasan Seberang Hilir di Kuching, Sarawak.

Muzium Darul Hana dirancang oleh kerajaan negeri untuk memelihara warisan orang Melayu setelah projek pembangunan yang mengesani penempatan Melayu di sana dilakukan.

“Memuziumkan” sejarah orang Melayu di bandar bukan bermaksud menghargai nilai warisan orang Melayu. Tetapi mematikan bukti kehidupan sebenar (real life example) yang Melayu pernah membina suatu sistem kehidupan di bandar.

“Memuziumkan” orang Melayu juga memberi isyarat bahawa Melayu hanya layak dijadikan artifak sejarah yang hanya mampu dipamerkan dalam sebuah bangunan. Sedangkan nilai, gaya hidup dan warisan Melayu sebenarnya mampu hidup di bandar dan membentuk satu sistem kehidupan yang kompeten dan mampu hidup dalam bandar moden yang ada pada hari ini.

Namun permasalahan kini, acuan yang digunakan oleh kerajaan dalam merancang bandar bukanlah acuan milik kita sendiri. Mekanisme copy-and-paste acuan yang dirangka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dapat dilihat menerusi projek Sustainable Development Goals (SDGs) yang telah dilaksanakan.

Baru-baru ini Menteri KPKT, YB Zuraidah Kamaruddin meletakkan pelan SDGs sebagai key performance index (KPI) kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Persoalannya – bagaimana kita mahu gelarkan pembangunan itu milik kita sekiranya acuan pembangunan yang digunakan adalah milik orang lain?

Disediakan oleh:
Hanis Noor
Kolumnis Fokus & Penyelidik IRIS Institute

Rujukan

Balvin Kaur. 2019. Clan jetties Unesco listing boon or bane?. New Sraits Times. 7 July: BI.

Anon. 2019. Pengekalan warisan Melayu Seberang Hilir elemen penting pembangunan Darul Hana. Utusan Borneo Online. 26 Jun 2019.

Anon. 2019. Rumah tradisi Kg Baru akan akan dijadikan galeri, kafe. Malaysiakini. 17 Oktober 2019

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

RADAR EDISI 86

Next Post

RADAR EDISI 87

Related Posts
Skip to content