Huawei Tewas Dalam Persaingan Teknologi 5G di Malaysia?

Pendahuluan

Evolusi teknologi komunikasi 4G kepada 5G merupakan antara prasyarat utama (kadar ketersaling-hubungan yang pantas) diletakkan oleh objektif SDG 2030 dalam menentukan tahap pembangunan sesebuah negara.

Justeru, negara-negara di seluruh dunia bersaing dalam kepantasan membangunkan teknologi 5G walaupun ada diantaranya terpaksa membuat pinjaman pembangunan yang tinggi.

Unjuran pasaran teknologi 5G pada tahun 2040 adalah sebanyak 240 bilion dolar. Jumlah yang besar ini menjadi rebutan syarikat-syarikat teknologi multinational untuk menjadi pelopor utama yang mendominasi pasaran 5G.

Sehingga ke hari ini, terdapat beberapa pemain utama yang dominan di dalam pasaran 5G dunia antaranya adalah Huawei, ZTE, Samsung dan juga Ericsson.

Rantau Asia Tenggara adalah antara rantau yang menjadi persaingan syarikat-syarikat multinasional ini memandangkan saiz pasaran yang besar dan kawasan liputan yang masih luas belum diterokai memerlukan kepada lebih banyak kos pembangunan.

Sehingga kini beberapa pemain sektor telekomunikasi di beberapa negara Asean telah menandatangani MOU dengan syarikat terbabit. Antaranya di Singapura, syarikat Ericsson, di Malaysia, syarikat Maxis, Digi, Altel dan TM bersama Huawei, di Indonesia, Vietnam bersama syarikat Huawei, Thailand dan Filipina juga syarikat Huawei.

Sejarah Syarikat Multinasional Telekomunikasi di Malaysia

Sejarah monopoli syarikat teknologi multinasional di Tanah Melayu boleh dilihat sejak semasa zaman penjajahan British lagi. Bagi menjaga kepentingan para pemodal, peniaga dan pelabur di Tanah Melayu, kerajaan British dengan lobi daripada para pemodal asing ini, telah membina beberapa kabel utama yang menghubungan beberapa kawasan perindustrian British.

Pada tahun 1897 British telah membina kabel telekomunikasi antara Bandar Taiping dan Ipoh.

Getah.jpg
Gambar Hiasan

Hal ini bagi membolehkan komunikasi dan maklumat sampai dengan cepat di kawasan perniagaan British.

Walaupun begitu, teknologi ini adalah terhad di dalam kawasan semenanjung Tanah Melayu sahaja. Bagi menghubungkan British dan tanah jajahannya di serata dunia, syarikat multinasional asing seperti Cable and Wire yang mempunyai hubungan dengan pelabur asing seperti Rothschild dan Rhodes di Tanah Melayu telah membina kabel bawah laut pertama sepanjang 16,000 km merentasi lautan pasifik sehingga ke Tanah Melayu.

Dominasi syarikat multinasional asing ini berterusan sehinggalah kerajaan membangunkan Lembaga Telekomunikasi selepas merdeka. Kemudiannya menjadi syarikat Telekom Malaysia (TM). Dasar penswastaan telah membuka pasaran telekomunikasi di Malaysia yang dimonopoli oleh beberapa syarikat telekomunikasi utama seperti Maxis dan Celcom yang memegang hampir 50% saiz pasaran telekomunikasi di Malaysia.

Syarikat seperti Ericsson, merupakan syarikat telekomunikasi luar pertama yang ditubuhkan di Malaysia pasca kemerdekaan pada tahun 1964.

Perkembangan teknologi 5G di Malaysia

Pada tahun 2019, Kerajaan Pakatan Harapan telah melancarkan Rancangan Fiberasi & Perhubungan Nasional (The National Fiberisation and Connectivity Plan) yang menelan belanja sebanyak RM 52 bilion ringgit.

Govt to tackle online menace as it improves Internet access | The Star
Pelancaran Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dilancarkan pada tahun 2019

Rancangan ini salah satunya adalah untuk memastikan teknologi 5G siap diimplementasikan sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun 2021. Walaupun begitu, faktor pertukaran kerajaan daripada PH kepada PN serta wabak Covid-19 yang melanda dunia, telah merencatkan perkembangan pemasangan teknologi ini.

Walaubagaimanapun, sejak sebelum wabak Covid-19 berlaku, beberapa buah syarikat multinasional tempatan telah menandatangani kontrak perjanjian 5G dengan beberapa syarikat luar.

Antaranya adalah Maxis dan TM bersama Huawei, dan Axiata bersama Ericsson. Kerajaan Perikatan Nasional telah mengumumkan 5 syarikat yang dianugerahkan tender pemasangan 5G iaitu Maxis, Axiata, Digi, Altel dan TM.

Namun begitu, penganugerahan ini ditarik balik oleh sebab-sebab politik.

Kemudian pada April 2021 yang lalu, kerajaan melancarkan syarikat Special Purpose Vehicle (SPV), Digital Nasional Berhad dibawah kelola Kementerian Kewangan (MOF) untuk pemasangan infrastruktur 5G di seluruh negara.

Syarikat tersebut telah menjemput 8 buah syarikat untuk terlibat dalam tender pemasangan tersebut, antaranya adalah syarikat telekomunikasi dari Sweeden, syarikat Ericsson; dari China, syarikat Huawei dan ZTE; Amerika Syarikat, syarikat Cisco; Jepun, syarikat NEC; Finland, syarikat Nokia; dan juga Korea Selatan melalui syarikat Samsung dan Fiberhome.

5G Malaysia: 8 vendors including Ericsson, Huawei, Nokia and Samsung  invited to tender

Pada 1 Julai 2021, Kerajaan telah melantik Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd yang telah bertapak di negara ini sejak 1965 untuk merekabentuk dan membina jaringan 5G di Malaysia dengan kos RM 11 bilion.

Nilai ini dianggarkan kurang RM 4 bilion daripada bajet asal RM 15 bilion. Menurut Digital Nasional Berhad, ekosistem dan jaringan 5G dijangka akan mula dilancarkan pada penghujung tahun 2021 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.

Pada awal tahun 2022 dijangka jaringan 5G akan dilancarkan di 5 bandar utama di Selangor, Penang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Kesimpulan

Pemilihan syarikat Ericsson menimbulkan tanda tanya kepada status Huawei selaku “pesaing utama” kepada pemasangan teknologi komunikasi 5G di Malaysia.

Sebelum ini, Huawei dijangka menandatangani perjanjian dengan hampir 60% syarika telco di Malaysia untuk pembekalan utama kepada peralatan backdoor 5G.

Hal ini dijangka mengukuhkan lagi keberadaan dan dominasi Huawei di dalam sektor komunikasi di Malaysia. Walaupun begitu, dominasi Huawei ini dilihat membawa ancaman keselamatan, dari sudut pencerobohan data maklumat rahsia milik negara dan maklumat pengguna.

Hal ini mungkin menjadi faktor utama kepada penarikan kembali keputusan memilih Huawei sebagai kontraktor utama pemasangan 5G di Malaysia. Namun begitu, sebahagian pakar menafikan dakwaan terbabit, dengan mengatakan potensi dan risiko yang ada adalah kecil, melainkan Huawei membina jaringan kabel bawah laut sendiri yang mengantikan pengunaan kabel sedia ada.

Di peringkat global, Huawei dijangka akan terus mendominasi pasaran 5G terutama sektor pembuatan infrastruktur. Laporan daripada Teknologi Watch menjangkakan Huawei akan menguasai 75% pasaran 5G pada tahun 2021. Di Asia Tenggara, Huawei masih lagi dilihat mendominasi pilihan negara-negara serantau berikutan tawaran harga yang lebih murah berbanding pesaing seperti Ericsson. Faktor lain yang memainkan peranan yang besar adalah hubungan diplomasi negara terbabit dengan China.

Oleh: Asyraf Farique, Ketua Editor Fokus dan Penganalisis IRIS Institute

Total
14
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hanya Sosialisme Yang Dapat Menyelamatkan China- Xi Jinping

Next Post

Media-Media Cina di Malaysia Angkat Sambutan 100 Tahun Parti Komunis China

Related Posts