China kekal mencatatkan jumlah pelajar antarabangsa tertinggi di Malaysia, susulan pelaksanaan kemudahan baharu yang membolehkan mereka kekal lebih lama selepas tamat pengajian serta membawa ahli keluarga sebagai tanggungan.
Menurut data di laman rasmi Education Malaysia Global Services (EMGS), pada suku kedua 2025 (April hingga Jun), Malaysia menerima 12,469 permohonan pelajar dari Asia Timur, diikuti Asia Selatan (8,046), Timur Tengah dan Afrika Utara (4,990), Asia Tenggara (4,682), Afrika (2,560), Asia Tengah (1,013) dan wilayah lain (1,534). – EMGS
Daripada jumlah itu, 10,947 permohonan adalah dari China, manakala empat negara lain dalam lima teratas ialah Bangladesh (4,159), Indonesia (2,194), Pakistan (1,412) dan India (1,388). – EMGS
Dalam masa yang sama, universiti awam menjadi pilihan kedua dengan mencatatkan 26,110 permohonan, selepas universiti swasta yang merekodkan sebanyak 35,881 permohonan. – EMGS
Setakat September 2024, lebih 47,000 pelajar universiti dari China menuntut di Malaysia — peningkatan lima kali ganda berbanding kurang 9,000 orang pada 2019, menurut Duta Besar China, Ouyang Yujing. – SinChew
Peningkatan kemasukan ini seiring dengan sasaran kerajaan untuk mencapai enrolmen 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025. – MyGov
Sejak 1 Disember 2023, kerajaan telah melaksanakan beberapa peraturan imigresen baharu di bawah Pelan Liberalisasi Visa, termasuk Program Graduan yang membenarkan pelajar antarabangsa dari 23 negara berpendapatan tinggi memohon Pas Lawatan Sosial jangka panjang selama 12 bulan beserta Visa Masuk Berganda. – KLN
Skim ini diubah suai pada Februari 2024 untuk membolehkan warganegara China dan India memohon berdasarkan penilaian “kes demi kes” sekiranya mengemukakan surat kelakuan baik daripada institusi pendidikan atau kedutaan. – Times
Selain kebenaran bekerja tanpa penajaan syarikat, pemegang pas ini dibenarkan membawa tanggungan dengan bayaran serendah RM450 seorang. – MalayMail
Bagaimanapun, mereka tidak layak memohon Pas Residen atau permit masuk, namun boleh menukar kepada pas lawatan jangka panjang lain tertakluk kepada syarat yang berkuat kuasa. – EMGS
Sementara itu, di bawah perjanjian baharu pengecualian visa antara Malaysia dan China, warganegara China diberi keistimewaan memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh tinggal kumulatif sehingga 90 hari. Perjanjian itu akan berkuat kuasa selama lima tahun dan diperbaharui secara automatik untuk tempoh lima tahun berikutnya. – MalayMail
Kesan daripada perjanjian ini, hampir 1.8 juta pelancong dari China dilaporkan telah mengunjungi Malaysia antara Januari hingga Mei tahun ini. – MalayMail