Komitmen Malaysia untuk mengatasi krisis tenaga global melalui pemerkasaan industri biodiesel kini berdepan dilema strategik susulan trend penyusutan stok simpanan domestik yang berterusan.
Kerajaan Malaysia bersetuju meningkatkan mandat biodiesel sektor pengangkutan daripada B10 (10%) kepada B15, bermula dengan B12, bagi memperkukuh keselamatan tenaga susulan konflik di Timur Tengah.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah berkata kerajaan berpandangan penggunaan biodiesel mampu memanjangkan bekalan diesel negara, disokong pelan mitigasi biofuel, peningkatan berperingkat depot B20 dan B30 di bawah RMK13, serta persediaan ke arah mandat B30 bagi sektor pengangkutan komersial dan awam.
Kapasiti pengeluaran biodiesel Malaysia kini mencecah 2.36 juta tan setahun (Mtpa), iaitu lebih dua kali ganda berbanding pengeluaran sebenar sebanyak 975,207 tan pada tahun lalu.
“Ini menunjukkan asas industri, rantaian bekalan dan kapasiti pencampuran telah tersedia dan hanya perlu diperkukuh secara tersusun bagi memberikan manfaat lebih besar kepada negara,” kata Akmal.
Mengukuhkan lagi agenda ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia sedang berusaha meningkatkan pengeluaran biofuel dengan 19 loji biodiesel berkapasiti kira-kira 1.5 juta liter sebulan bagi mengurangkan kos diesel.
Beliau berkata 19 loji berkenaan kini menghasilkan campuran biodiesel antara B15 hingga B50, dengan rancangan meningkatkan lagi pengeluaran melalui penggunaan sludge, iaitu hasil sampingan pemprosesan minyak sawit mentah.
Bagaimanapun, perancangan ini dicabar oleh permintaan luar biasa dari China dan India, yang seterusnya memberi kesan kepada penyusutan stok minyak sawit Malaysia.
Menurut Menteri Ladang dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad, China kini giat membina stok simpanan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap gangguan logistik global.
Beliau berkata kebergantungan tinggi China terhadap import minyak dari Iran serta kenaikan harga tenaga global telah meningkatkan kos input industri hiliran seperti oleokimia dan biodiesel, sekali gus mendorong permintaan terhadap minyak sawit Malaysia sebagai alternatif yang lebih kompetitif.
“Bagi India, pengimport terbesar minyak sawit Malaysia, pertumbuhan pesat sektor pembuatan dan infrastruktur terus merangsang permintaan terhadap komoditi utama negara, khususnya minyak sawit dan produk oleokimia,” katanya.
Kesannya, jumlah eksport Malaysia pada Mac tahun ini melebihi pengeluaran sebanyak 174,415 tan.
Sekiranya keadaan ini berterusan, stok minyak sawit negara dijangka mengalami trend penurunan yang berterusan pada tahun ini.
CIMB Securities Sdn Bhd berkata stok minyak sawit Malaysia dijangka susut 1% bulan ke bulan (MoM) kepada 2.24 juta tan pada April, susulan eksport dan penggunaan domestik yang melebihi pengeluaran serta import. – NST
“Import minyak sawit merosot 12.4% bulan ke bulan kepada 66,801 tan pada Mac, manakala penggunaan domestik jatuh 11% kepada 328,854 tan. Susulan jumlah eksport dan penggunaan domestik yang melebihi pengeluaran serta import, stok simpanan turut menurun,” katanya.
Data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan stok minyak sawit Malaysia merosot 16.1% kepada 2.27 juta tan metrik pada Mac berbanding Februari 2026, sekali gus mencatat paras terendah sejak Ogos tahun lepas.
Sementara itu, stok simpanan negara dilaporkan telah menyusut sebanyak 25.7% dalam tempoh 4 bulan sahaja dari Disember 2025 hingga Mac 2026.
Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan inventori minyak sawit mentah akan menurun pada suku kedua tahun ini susulan peningkatan permintaan eksport, apabila pembeli menambah pegangan stok berikutan ketidaktentuan berkaitan gencatan senjata di Asia Barat.
Seiring dengan usaha peralihan ke biodiesel, Indonesia mengumumkan akan menghentikan import bahan api diesel berkualiti rendah bermula 1 Julai, seiring pelaksanaan program mandatori biodiesel B50.
Penyusutan stok, jumlah eksport melebihi pengeluaran serta mandat B50 Indonesia dijangka memberi kesan kepada harga minyak sawit.
“Unjuran kami terhadap harga minyak sawit mentah (CPO) sebanyak RM4,400 satu tan pada 2026 dan RM4,500 pada 2027 turut mengambil kira kesan pelaksanaan mandat B50 oleh Indonesia,” kata CIMB Securities.
Menurut firma itu, harga minyak sawit yang lebih tinggi dijangka menjejaskan permintaan bagi kegunaan makanan.
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
Sumber: The Edge, The Star, The Edge, MPOB, NST, Jakarta Globe
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab