Selepas Selat Hormuz, laluan perdagangan penting Malaysia ke Eropah, Bab el-Mandeb berisiko ditutup, seterusnya mampu melonjakkan harga minyak global sehingga AS$120 setong dan melumpuhkan rantaian bekalan utama.
Bab el-Mandeb, yang menghubungkan Lautan Hindi ke pasaran Eropah dan merupakan pintu masuk kepada selatan Laut Merah dan Terusan Suez berpotensi ditutup sekiranya gerakan Houthi di Yaman memutuskan untuk terlibat dalam konflik semasa.
Penasihat ketenteraan Houthi, Abed al-Thawr, berkata kumpulan itu sedang mempertimbangkan beberapa langkah yang mungkin bermula dengan sekatan laut yang menyasarkan kapal-kapal berkaitan Amerika Syarikat dan Israel.
“Sekiranya keputusan untuk campur tangan dibuat, langkah pertama mungkin adalah pengisytiharan rasmi sekatan laut terhadap Amerika Syarikat dan rejim Zionis,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kapal dagang dan kapal tentera yang menuju ke Amerika Syarikat atau wilayah yang dikawal Israel berkemungkinan akan dihalang.
Selain itu, satu lagi pilihan yang sedang dipertimbangkan ialah penutupan sepenuhnya Selat Bab el-Mandeb kepada kapal-kapal yang menuju ke pelabuhan Israel.
Sejak November 2023, pasukan Houthi telah melancarkan lebih daripada seratus serangan ke atas kapal dagang di koridor Laut Merah, menjejaskan lebih enam puluh negara.
Menjelang akhir 2024, aliran minyak melalui Selat Bab el-Mandeb merosot lebih 50 peratus, manakala transit kapal tangki LNG hampir terhenti sepenuhnya.
Apabila Selat Hormuz tersekat, Selat Bab el-Mandeb menjadi laluan utama eksport minyak negara-negara Teluk.
Pakar keselamatan maritim Yaman dan Teluk di Armed Conflict Location & Event Data (ACLED), Luca Nevola memberi amaran bahawa jika Selat Bab el-Mandeb ditutup ketika Selat Hormuz juga terganggu, ia berpotensi menghentikan eksport minyak negara-negara Teluk, mewujudkan sekatan de facto yang tiada jalan penyelesaian mudah.
Kira-kira 70 peratus kapasiti lebihan pengeluaran OPEC+ terletak di Teluk, menjadikan tiada sumber alternatif yang secara segera boleh diakses untuk menggantikan gangguan berterusan di kedua-dua laluan penting tersebut.
Gangguan di laluan ini memberi kesan langsung kepada keselamatan tenaga global.
Pada awal 2023, transit minyak melalui Terusan Suez mencecah 9.2 juta tong sehari (9% daripada permintaan dunia).
Harga minyak kini telah melepasi AS$100. Penganalisis memberi amaran sekiranya gangguan penuh berlaku, harga akan mencecah AS$120 atau lebih, mengancam 25–30% bekalan minyak bawaan laut dunia.
Selain tekanan harga minyak global, sebagai negara perdagangan maritim, Malaysia sangat terdedah kepada gangguan di Laut Merah.
Kesatuan Eropah, rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2024 dengan 7.6% daripada jumlah dagangan barangan, bergantung kepada koridor ini untuk menerima barangan pembuatan bernilai tinggi seperti elektronik, automotif dan tekstil. – EU, Coface
Gangguan ini juga memaksa syarikat perkapalan utama seperti Maersk, Hapag-Lloyd dan CMA CGM mengalihkan laluan mengelilingi Afrika, sekali gus meningkatkan masa pelayaran dan kos logistik secara signifikan.
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
Sumber: TASS, TurkiyeToday, NewArab, MEPEI, The Economic Times
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab
Dapatkan laporan penuh tentang PERANG AS-ISRAEL KE ATAS IRAN: BERSEDIAKAH MALAYSIA? pada link di bawah:
https://iris.institute/2026/03/18/perang-as-israel-ke-atas-iran-bersediakah-malaysia/
