Amerika Syarikat dan Indonesia pada Isnin mengesahkan cadangan penggunaan ruang udara Indonesia oleh pesawat tentera AS serta menubuhkan kerjasama pertahanan utama, langkah yang berpotensi memperluas keupayaan operasi Washington.
Perjanjian lintasan udara itu mengubah Indonesia daripada halangan geografi kepada laluan strategik pergerakan kuasa udara Amerika Syarikat.
“Pesawat Amerika Syarikat boleh menggunakan ruang udara serta-merta selepas notifikasi, dan kebenaran itu akan berterusan sehingga Amerika Syarikat sendiri menariknya semula,” menurut dokumen bertajuk Operationalizing US Overflight yang didakwa dihantar oleh Jabatan Perang Amerika Syarikat kepada Kementerian Pertahanan Indonesia pada 26 Februari.
Cadangan itu didakwa akan membenarkan pesawat Amerika Syarikat menggunakan ruang udara Indonesia untuk operasi kecemasan, misi tindak balas krisis serta latihan ketenteraan yang dipersetujui bersama.
Pada masa sama, ia dikatakan akan memendekkan secara ketara masa tindak balas operasi bagi pesawat pengebom, tanker, pengawasan dan pengangkut Amerika Syarikat yang bergerak antara kawasan Lautan Pasifik Barat, Lautan Hindi dan Laut China Selatan.
Perkembangan ini disahkan oleh Kementerian Pertahanan Indonesia melalui kenyataan bahawa kedua-dua negara masih membincangkan “Letter of Intent”, dan setakat ini hanya terdapat draf awal yang sedang dibincangkan secara dalaman.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa draf tersebut belum dimuktamadkan dan tidak terikat.
Mekanisme lintasan udara yang dicadangkan itu akan membolehkan pesawat Amerika Syarikat menggunakan ruang udara Indonesia melalui prosedur pemberitahuan/notifikasi, tanpa perlu mendapatkan kelulusan diplomatik secara berulang.
Perkembangan ini telah mencetuskan kebimbangan di Asia Tenggara.
Profesor Dr. Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia memberi amaran bahawa akses tersebut berpotensi membolehkan Amerika Syarikat memantau pergerakan strategik Malaysia.
“Kesannya, kita perlu lebih berhati-hati,” katanya sambil menggesa negara-negara jiran di rantau ini memperkukuh perlindungan data pertahanan masing-masing ketika Amerika Syarikat memperluaskan “rangkaian seni bina keselamatan” di Laut China Selatan.
Selain itu, Amerika Syarikat dan Indonesia turut mengumumkan penubuhan Major Defense Cooperation Partnership (MDCP) yang memperluas rangkaian pertahanan Amerika Syarikat di rantau Indo-Pasifik.
Perjanjian kerjasama baharu itu merangkumi tiga “teras utama”, iaitu pembangunan organisasi dan keupayaan ketenteraan, latihan serta pendidikan ketenteraan profesional, dan latihan bersama serta kerjasama operasi.
Di bawah perjanjian itu, kedua-dua negara akan meneroka inisiatif berteknologi tinggi termasuk pembangunan bersama keupayaan asimetri, teknologi pertahanan generasi baharu dalam domain maritim, bawah permukaan dan sistem autonomi, serta kerjasama penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi meningkatkan kesiapsiagaan operasi.
Kerjasama ini meletakkan Indonesia dalam rangka keselamatan Amerika Syarikat yang semakin meluas, termasuk peluasan akses pangkalan di Filipina serta penempatan berkala di Australia dan Singapura.
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
Sumber: CNN, Defence Security Asia, TVS, War.Gov
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab