MELAKA PERNAH ADA RUMAH BERGERAK?
Diriwayatkan dalam Sejarah Melayu bahawa Sultan Mansur Syah pernah membina sebuah istana bernama Mahligai Hawa Nafsu dengan 17 ruang, 40 pintu berukir, dan kemuncaknya berkaca merah yang apabila terkena “sinar matahari, bernyala-nyala rupanya seperti manikam.” Selain istana, seni bina masyarakat Melaka pada zaman itu juga tergambar dalam pembinaan sebuah rumah bergerak.
Kewujudan rumah ini ditemui apabila Portugis menyerang Melaka pada 1511. Ia diceritakan dengan terperinci dalam buku Commentarios do Afonso Dalboquerque:
“Di sinilah terletaknya rumah kayu yang terbakar itu, sangat besar dan sangat elok buatannya. Terdapat lebih kurang tiga puluh roda, setiap satunya sebesar sebuah tong arak. Binaannya berakhir dengan bumbung yang begitu tinggi, dan ia diselimuti dengan panji dan kain bertatah sutera yang gilang-gemilang. Rumah ini disediakan untuk Sultan Pahang dan bakal menantunya, anak Sultan Melaka, yang akan tiba di kota itu dengan sambutan adat istiadat serta iringan muzik.”
Kita menemui rumah sama dalam catatan Fernao Lopes De Castanheda:
“Selain itu, yang dimusnahkan juga adalah rumah kayu yang dibina di atas sebuah pelantar yang boleh bergerak dan mempunyai tiga puluh roda. Setiap satu roda tersebut berukuran sebesar sebuah bilik. Rumah itu telah dibuat oleh Sultan Melaka untuk dinaiki oleh Sultan Pahang.”
Istana mahligai, rumah bergerak. Ia membuat kita tertanya-tanya apakah lagi khazanah seni bina Melaka yang kita tidak ketahui dan mungkin hilang selepas peristiwa 1511.