Pada hari Ahad, 11 Julai 2021, saluran Israel telah menyiarkan, Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengemukakan senarai tuntutan kepada Washington sebagai syarat untuk meneruskan rundingan damai yang telah terhenti dengan Israel selama lebih dari tujuh tahun.
Saluran 12 tersebut melaporkan bahawa Presiden Abbas membuat tuntutan rahsia itu berdasarkan pengamatannya terhadap pentadbiran Joe Biden yang dilihat dapat membantu mengusahakan dialog rundingan antara Israel-Palestin.
Rundingan Damai yang Terhenti
Rundingan damai antara Israel-Palestin itu telah terhenti sejak April 2014 atas beberapa alasan, termasuklah penolakan Israel untuk membebaskan tahanan lama dan menghentikan penempatan haram.
Sementara itu, saluran tersebut mendedahkan senarai yang diberikan oleh Abbas termasuk tuntutan, membenarkan semula operasi institusi-institusi Palestin di Al-Quds Timur, yang telah ditutup oleh Israel sejak tahun 2001.
Saluran itu juga mengatakan, bahawa perbincangan itu adalah untuk menyambung semula aktiviti politik pihak berkuasa dan organisasi Palestin, yang telah diharamkan oleh polis Israel dan Agensi Keselamatan Israel (Shin Bet) dari menjalankan sebarang kegiatan di Al-Quds Timur, seperti keadaan sebelum intifada kedua.
Tuntutan Palestin tersebut termasuk mengembalikan status quo tanah suci Al-Quds daripada sekatan polis Israel di sekitar Masjid Al-Aqsa, mengurangkan lawatan orang Yahudi dan meningkatkan status penguasaan Palestin di sana.
Berhenti Mengusir Penduduk Palestin
Menurut saluran itu juga, antara tuntutan lain addalah menghentikan pengusiran rakyat Palestin dari rumah-rumah mereka seperti di Sheikh Khalil, Silwan dan lain-lain.
Abbas turut menuntut agar Israel memenuhi janji untuk membebaskan kumpulan keempat tahanan Palestin, yang ditahan sebelum Perjanjian Oslo yang ditandatangani dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (Palestine Liberation Organization,PLO) pada tahun 1993.
Senarai tersebut juga mengandungi tuntutan menghentikan peluasan penempatan, termasuk pembangunan di Al-Quds Timur, pengusiran penduduk dari tanah Palestin, dan penghancuran rumah-rumah di Lembah Jordan di timur Tebing Barat.
Senarai tuntutan tersebut menuntut agar menghentikan serangan tentera Israel ke bandar-bandar Palestin di Tebing Barat, dan membatalkan undang-undang kewarganegaraan yang menghalang penyatuan keluarga Palestin di dalam Israel.
Tuntutan Pengawalan Jambatan Allenby (Jambatan Raja Hussin) oleh Polis Palestin
Menurut saluran tersebut, tuntutan itu juga termasuk meletakkan kembali polis, pengawal dan pegawai kastam Palestin di Jambatan Allenby, yang menghubungkan Tepi Barat dan Jordan, seperti yang berlaku setelah Perjanjian Oslo, mengeluarkan permit untuk lapangan terbang antarabangsa di Tebing Barat, dan menubuhkan zon perdagangan bebas berhampiran bandar Jericho (tengah).
Senarai tuntutan ini juga merangkumi peruntukan Kawasan C (mewakili sekitar 60% Tebing Barat) untuk kilang, stesen janakuasa dan projek pelancongan, mengembalikan kuasa perancangan dan perlesenan kepada Pihak Berkuasa Palestin untuk mengukuhkan aktiviti kegiatan di Kawasan B, dan membina kereta api di Tebing Barat.
Sudah tentu hal ini tidak mungkin dapat menerima komen segera dari Pihak Berkuasa Palestin mengenai apa yang dilaporkan oleh saluran tersebut.
Sumber: Arabic Post
*Terjemahan oleh Fathiah Zulkifli, Ketua Penyunting Fokus