‘Strategic Depth’: Memahami Peranan Baru Turki di Pentas Dunia

Sebelum memasuki kurun ke-21, Turki bukanlah sebuah negara yang memiliki sebarang reputasi antarabangsa yang menarik untuk diberi perhatian.

Sebelum memasuki kurun ke-21, Turki bukanlah sebuah negara yang memiliki sebarang reputasi antarabangsa yang menarik untuk diberi perhatian. Negara warisan Uthmaniyah ini mengalami pelbagai kesulitan dalam hubungan antarabangsa semenjak kejatuhan pemerintahan Uthmaniyyah pada tahun 1924. Kesan-kesan peperangan dengan kuasa besar dunia pada ketika itu serta kecenderungan pemerintah Turki moden, Atatürk, untuk mencontohi dunia Barat banyak mencorakkan polisi luar Turki pada dekad-dekad terakhir kurun ke-20.

Walau bagaimanapun, hal ini berubah di ambang dekad pertama kurun ke-21. Kemenangan Parti AK pada piliharaya umum 2002 merupakan titik penting dalam anjakan paradigma pembentukan polisi-polisi negara Turki, baik polisi dalaman mahupun polisi luaran. Parti AK yang dilihat sebagai parti konservatif dan Islamik berjaya memungut sokongan popular daripada rakyat di dalam pilihanraya. Sokongan ini memudahkan usaha-usaha mereka pada tahun-tahun seterusnya untuk memecahkan kebuntuan penguasaan tentera (tutelage) yang menjadi punca kegagalan Turki untuk membangun.

Usaha transformasi yang dilakukan oleh Parti AK khususnya dalam mendemokrasikan struktur negara telah berjaya memindahkan kuasa tradisional pembentukan polisi luar daripada tangan tentera kepada kerajaan yang memiliki mandat daripada rakyat secara demokrasi. Turki dilihat mula mengubah watak lamanya di peringkat antarabangsa daripada sebuah kubu pertahanan geo-strategik Barat semata-mata kepada satu watak  baru yang proaktif, dinamik, dan tidak boleh diketepikan dalam perkiraan geopolitik antarabangsa.

* * *

Polisi luar Turki pasca Perang Dingin sukar untuk difahami tanpa mengenali dan memahami siapakah minda di sebalik penghasilan polisi-polisi tersebut. Prof Dr. Ahmet Davutoğlu adalah salah seorang daripada beberapa ahli akademik ulung yang terlibat dalam Parti AK atau Parti Keadilan & Pembangunan. Beliau yang merupakan anak kelahiran Konya, sebuah bandar yang terkenal dengan penyair sufi Jalaluddin Rumi, memiliki autoriti akademik yang kukuh dalam bidang sains politik, falsafah, dan hubungan antarabangsa.
Selepas kemenangan AKP pada pilihanraya Turki tahun 2002, Davutoğlu yang sebelum itu banyak bergelumang dalam dunia akademik, diberi peluang untuk menterjemahkan teori-teori beliau di dalam bukunya ‘Strategic Depth (Stratejik Derinlik) ke dalam bentuk-bentuk implementasi yang sesuai. Beliau dilantik sebagai Ketua Penasihat Perdana Menteri untuk Hubungan Antarabangsa sebelum kemudiannya dilantik menjadi Menteri Luar Turki dan kini sebagai Perdana Menteri.

Ketika buku ‘Strategic Depth’ pertama kali diterbitkan pada tahun 2001, ianya kurang mendapat perhatian khalayak ramai. Selepas Parti AK dimandatkan untuk memerintah, kandungan dan teori penting di dalam buku ini diibaratkan sebagai sebuah doktrin strategik dalam memandu hala tuju pembentukan polisi luar Turki. Walaupun ‘Strategic Depthbukanlah satu-satunya doktrin yang mencorakkan polisi tersebut, namun gaya dan corak yang muncul pada polisi luar Turki amat jelas memaparkan pengaruh teori Davutoğlu yang kritikal dan berasaskan kepercayaan kepada potensi Turki yang sebenar.

* * *

Konsep ‘Strategic Depth’ dalam polisi luar Turki diekstrak daripada pandangan-pandangan strategik Davutoğlu terhadap visi dan masa depan Turki. Menurut beliau, Turki memiliki ciri-ciri strategik yang khusus yang membolehkan ia melaksanakan sebuah polisi luar yang bersifat‘multi-dimensionaldan memiliki kemampuan untuk memainkan peranan utama dalam politik antarabangsa.

Davutoğlu menjelaskan hal ini dengan menegaskan bahawa Turki memiliki dua keistimewaan yang seharusnya dimanfaatkan iaitu kedudukan geo-strategiknya di kawasan yang berpengaruh (pengawalan selat Bosphorus) dan legasi sejarahnya yang kaya (pewaris kepada empayar Uthmaniyyah). Kedua-dua keistimewaan yang ketara dimiliki oleh Turki ini telah diabaikan dalam strategi negara di zaman Perang Dingin.

Oleh kerana Turki memiliki ciri-ciri yang strategik ini, Davutoğlu menegaskan bahawa Turki tidak seharusnya berpada dengan peranan yang terbatas di rantau sekelilingnya sahaja (Balkan atau Timur Tengah) bahkan ia seharusnya menjadi sebuah ‘central power (kuasa utama). Ia seharusnya memainkan pelbagai peranan di rantau yang berbeza dan meningkatkan pengaruhnya di peringkat global. Memetik kata-kata beliau;

“Turki menikmati pelbagai identiti serantau. Oleh itu ia memiliki kemampuan serta tanggungjawab untuk melaksanakan sebuah polisi luar yang bersifat ‘multi-dimensional’.Gabungan unik sejarah dan geografi kita seharusnya melahirkan suatu rasa tanggungjawab untuk menyumbang dengan aktif kepada penyelesaian konflik serta keamanan dan keselamatan antarabangsa. Ini ialah satu seruan yang lahir daripada keunikan ruang sejarah‘multi-dimensionalyang dimiliki oleh Turki.”

Pada pandangan beliau, Turki adalah sebuah negara Timur Tengah, sebagaimana ianya juga merupakan sebuah negara Balkan, Caucasian, Asia Tengah, Caspian, Mediterranean, Teluk, dan Laut Hitam. Beliau menolak pandangan yang menyatakan bahawa Turki adalah sekadar jambatan antara dunia Islam dan dunia Barat, kerana ini bererti Turki hanyalah sebuah negara alat bagi pengukuhan kuasa dunia yang lain.

Dekad-dekad sebelum itu menyaksikan Turki meletakkan prioriti hubungan dengan Barat di sebagai yang paling utama. Asakan Soviet Union kepada perairan Turki dan kawasan Anatolia Timur dalam Perang Dingin menyebabkan Turki menjalin hubungan yang rapat dengan Barat khususnya dengan Amerika Syarikat. Ternyata ketika itu, Turki hanyalah sebuah kubu pertahanan A.S untuk menampan kemaraan Soviet Union.

Davutoğlu berpendapat Turki seharusnya berpindah daripada takuk ‘inferioritytersebut. Di atas kesedaran terhadap kemampuan dan aset yang dimiliki oleh Turki, seharusnya ia mengulang semula kejayaan empayar Uthmaniyyah untuk menyatukan negara-negara umat Islam dan menjadi sebuah kuasa yang bersifat ‘trans-regional.

Oleh yang demikian, menurut beliau Turki pada hari ini seharusnya memanfaatkan kekuatan‘soft-poweryang dimiliki dengan mengutamakan dialog dan kerjasama berbanding provokasi dan konfrontasi. Pendekatan ini yang juga dinamakan sebagai ‘zero problem policy with neighbours adalah pendekatan yang merupakan serampang dua mata buat Turki kerana ianya juga memudahkan lebih banyak kerjasama ekonomi dan perdagangan berlaku di antara Turki dengan negara-negara di sekelilingnya.

* * *

Pelaksanaan idea dan teori Davutoğlu ini banyak bergantung kepada kejayaan Parti AK di dalam negara. Tranformasi domestik dan usaha pendemokrasian yang giat dijalankan oleh parti ini semenjak ia memerintah membolehkan banyak polisi luar Turki dicorak di atas landasan yang dicadangkan oleh Davutoğlu. Seiring dengan usaha Turki untuk menyertai EU, dan peningkatan sokongan terhadap Parti AK dan pemimpinnya, Recep Tayyip Erdoğan, Turki pada hari ini dilihat memiliki kesediaan yang tinggi untuk berbeza haluan dan mengatakan ‘tidak’ kepada US atau EU jika terdapat sebarang polisi yang bercanggah dengan kepentingan Turki.

Ini adalah suatu perbezaan yang besar jika dibandingkan dengan zaman ketika Perang Dingin baru sahaja tamat di mana para pemimpin tentera dan diplomat Turki akan tetap memberikan sokongan kepada Barat meskipun sokongan tersebut membahayakan kepentingan Turki sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Kesedaran baru buat Turki sebagai sebuah ‘central power yang lahir daripada lontaran idea‘Strategic Depth oleh Dr Ahmet Davutoğlu ini bererti Turki tidak lagi sekadar menjadi instrumen pengembangan kuasa Barat di Timur Tengah. Barat kini akan berhadapan dengan sebuah Turki yang lebih kuat dan asertif, yang mampu dan akan sentiasa berbeza pandangan dengan mereka dalam isu-isu antarabangsa yang utama.


photo_2014-12-03_08-13-21 Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim is the Co-Founder and Head of External Affairs at IRIS Institute. He works as an executive at Malaysia-Turkey Friendship Foundation (MTF) which engages with governments and NGOs in both Malaysia and Turkey in various fields including politics, academic, and humanitarian issues. He graduated from Al-Azhar University Cairo in which he is trained to deal with Islamic Jurisprudence and its relation to contemporary issues in politics, economy, and society. He aims to pursue an academic career in Political Islam and is currently studying the synchronisation of Islamic worldview in modern political science especially in the issue of power, governance, and democracy.

 


 

Rujukan:

  1. Ahmet Davutoglu, Stratejik Derinlik, Turkiye’nin Uluslarasi Konumu (Strategic Depth, Turkey’s International Position), Istanbul: Kure Yayinlari (2001)
  2. Ahmet Davutoglu, Alternative Paradigms: The Impact of Islamic and Western Weltanschauungs on Political Theory, Lanham: University Press of America (1994)
  3. Joshua W. Walker, Learning Strategic Depth: Implications of Turkey’s New Foreign Policy Doctrine, Insight Turkey Vol. 9 No. 3 (2007).
  4. Ioannis N. Grigoriadis, The Davutoglu Doctrine and Turkish Foreign Policy, Bilkent University Middle Eastern Studies (2010)
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Malaysia Moving Forward Against Corruption

Next Post

Summary of ‘Wind of Change in Sarawak Politics?’

Related Posts
Skip to content