Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengerahkan lebih banyak kapal perang dan jet pejuang ke Cyprus dalam usaha menjadikan republik itu lokasi pusat kepada operasi menyerang Iran dan proksinya di Lubnan, Hezbollah.
Pada Isnin, kapal penyerang amfibia British telah berlabuh di pelabuhan Selatan Cyprus sebagai penambah kekuatan kepada pangkalan tentera British di Akrotiri yang menempatkan 1000 komando. Sebelum itu, tiga kapal penyerang amfibia A.S. termasuk USS Wasp (LHD-1) dilaporkan berlabuh di Cyprus pada 8 Ogos. – (Andolu, USNI)
Ketibaan kapal-kapal perang itu selaras dengan arahan Setiausaha Pertahanan A.S. Lloyd Austin yang ingin menghantar lebih banyak kapal perang dan jet pejuang A.S. ke timur tengah pada 2 Ogos. Dalam arahan itu, sebahagian daripada 6 kapal pemusnah tentera laut A.S. yang dikerahkan ke timur tengah berpotensi melalui Terusan Suez ke Mediterranean Timur yang meliputi Cyprus. – (ABC News)
Menteri Pertahanan Turki, Yaşar Güler mendakwa negara Eropah seperti Jerman, Perancis, Belanda, England, Greece, dan Itali meletakkan kapal perang mereka di pelabuhan Selatan Cyprus. Katanya, Eropah menggunakan bantuan kemanusiaan sebagai samaran kepada operasi ketenteraan. – (Andolu)
Manakala, Menteri Luar Turki, Hakan Fidan mendedahkan Cyprus membantu Israel dan sekutu baratnya dengan berkhidmat sebagai pangkalan untuk operasi mereka. Menurutnya, terdapat operasi ketenteraan yang serius berlaku di Selatan Cyprus walaupun Eropah melabel aktiviti tersebut sebagai hab logistik. – (MEMO)
Sejurus serangan ke atas pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dan komander Hezbollah, A.S melakukan persiapan dengan membawa masuk sejumlah besar peralatan ketenteraan, senjata, sistem pertahanan udara moden, dan helikopter ke Cyprus. Memetik laporan Al-Akhbar, A.S ingin menjadikan Cyprus sebagai medan pemintasan serangan daripada Iran, Yaman, dan Hezbollah. – (Al-Akhbar)
Pergerakan ketenteraan Eropah ke Cyprus memberi ancaman kepada Turki yang mengawal Utara Cyprus sejak 1983. Sebagai respon, Turki mengancam untuk menggunakan haknya dibawah Treaty of Guarantee yang membolehkan negara itu mengerahkan sistem pertahanan udara dan peluru berpandu tambahan ke Utara Cyprus. Selain itu, perjanjian saluran paip gas antara Greece, Israel, dan Selatan Cyprus juga menerima kritikan Turki yang menganggap ia dilaksanakan tanpa persetujuan Turki. – (The Cradle, Aljazeera)
Sementara itu, pemimpin Hezbollah, Hassan berkata Cyprus akan menjadi sebahagian daripada peperangan sekiranya ia membuka lapangan terbang dan pangkalan tenteranya kepada Israel dan negara Eropah. Manakala, Kesatuan Eropah (EU) dalam kenyataannya menyebut Cyprus merupakan ahli EU dan serangan ke atas Cyprus bermakna serangan ke atas EU. – (CNN)
Pada ketika ini, Selatan Cyprus menempatkan dua pangkalan tentera besar milik British di Akrotiri dan Dhekelia. Pada masa sama, kedua-dua pangkalan tersebut menjadi lokasi A.S. dan U.K. untuk menghantar senjata ke pangkalan udara Israel bagi menyerang Palestin. – (The Cradle)
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan