Analisa Pilihanraya Israel 2015

Pilihanraya Legislatif Israel 2015 yang berlangsung pada 17 Mac 2015 yang lepas memberikan banyak petanda dan impak kepada situasi politik terkini di Israel. Pilihanraya pada kali ini telah menyaksikan parti Likud yang mengetuai kerajaan sebelum ini telah mendapat kemenangan yang paling besar iaitu sebanyak 30 kerusi dalam Knesset, diikuti oleh front oposisi utama iaituZionist Union yang mendapat 24 kerusi dan Koalisi parti-parti Arab Israel, Joint Arab Listsebanyak 14 kerusi.

Seterusnya parti centrist, Yesh Atid mendapat 11 kerusi, diikuti oleh parti baru yang dipimpin oleh bekas Menteri Komunikasi Israel, Moshe Kahlon iaitu Parti  Kulanu sebanyak 10 kerusi, parti Orthodox, The Jewish Home mendapat 8 kerusi, Parti Ultra-Orthodox, Shas danUnited Torah Judaism masing-masing mendapat 7 dan 6 kerusi. Sementara itu, parti yang dipimpin bekas Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman iaitu Parti Yisrael Beiteinu yang sebelum ini pada pilihanraya 2013 adalah koalisi bersama parti Likud, hanya mendapat 6 kerusi dan yang terakhir adalah parti sekular haluan kiri, Meretz mendapat 4 kerusi.

Sebelum pergi lebih jauh, perlu untuk kita memahami sistem legislatif Israel yang mengamalkanUnicameral Legislative. Hal ini telah memberikan Knesset kuasa untuk meluluskan undang-undang, melantik presiden, melantik Perdana Menteri, melantik ahli kabinet, dan mengawal aktiviti dan dasar kerajaan. Knesset juga mempunyai kuasa untuk melucutkan jawatan presiden, melucutkan jawatan perdana menteri, membubarkan kabinet dan juga membubarkan parlimen serta memanggil untuk diadakan pilihanraya. Ahli Knesset berjumlah 120 dan untuk meluluskan sesuatu bil, hanya majoriti mudah sebanyak 61 diperlukan untuk meluluskan bil tersebut. Batas Minima Pilihanraya(Electoral Threshold) adalah sebanyak 3.25% bagi melayakkan setiap parti yang bertanding untuk menyertai Knesset. Hal ini telah menyebabkan pelbagai parti ditubuhkan yang membawa ideologi yang pelbagai dalam sistem politik Israel. Untuk membentuk kerajaan, majoriti mudah sebanyak 61 diperlukan, tetapi akibat daripada pelbagai parti yang bertanding di dalam pilihanraya Israel, tiada di dalam sejarah sebuah parti yang berjaya membentuk kerajaan berdasarkan satu parti dan kerajaan campuran diwujudkan untuk mencukupi syarat majoriti mudah 61.

Kemenangan besar Parti Likud dibawah pimpinan Benjamin Netanyahu yang telah memegang jawatan Perdana Menteri Israel sebanyak 3 penggal dilihat oleh sesetengah pihak sebagai petanda Netanyahu akan kekal di pejabatnya sebagai Perdana Menteri Israel. Namun, satu sudut pandang yang patut dinilai bersama adalah perpecahan dalam agenda politik Zionis semakin kritikan selepas mereka berjaya menduduki tanah Palestin. Bangsa yahudi di Israel secara hakikatnya bukanlah membawa agenda Zionis yang berpusat, berlaku pelbagai lagi kelompok yang berbeza world view mereka dalam merencanakan agenda Zionis. Pada tahun 1949, apabila negara Zionis Israel mula ditubuhkan, telah wujud beberapa kelompok yang datang daripada latar belakang yang berbeza ideologi politik mereka seperti wujudnya kelompok Parti Mapai yang diasaskan oleh Perdana Menteri Israel yang pertama, David Ben-Gurion yang berideologikan kiri sosialis(leftist socialist). Parti ini kemudiannya berubah ideologi selepas menyertai beberapa koalisi antaranya Alignment pada tahun 1988 yang lebih berideologikan centre-left, One Israel pada tahun 1999 di mana Ehud Barak telah berjaya mengambil alih jawatan Perdana Menteri Israel kepada Front haluan kiri, seterusnya front kiri ini bertukar kepada Labour Party pada tahun 2003 dan front kiri seterusnya semakin menurun populariti dalam kalangan penduduk Israel dan akhir sekali pada tahun 2015, front kiri berjaya memperbaiki populariti hasil gabungan Labour Party pimpinan Yitzhak Erzog dan juga Parti Hatnu’ah pimpinan Tzipi Livni yang membentuk Zionist Union.

Seterusnya kita lihat pula kepada sejarah Parti Likud yang bermula sebagai Herut Movementyang diasaskan Perdana Menteri Israel yang ke-6, Menachim Begin. Herut Movement telah diasaskan pada tahun 1948, seterusnya telah bertukar menjadi Gahai pada tahun 1965 sebelum bertukar menjadi Likud pada tahun 1973. Parti yang ini menganggap diri mereka sebagai front kanan yang menjadi lawan utama kepada front kiri iaitu Parti Buruh(Labour Party).  Parti Likud berjaya memegang kerajaan daripada tahun 1973 sehingga 2013 di mana hanya 4 kali sahaja kerajaan beralih kepada front kiri iaitu pada tahun 1984,1992,1999 dan sekali kepada parti Centrist, Kadima pada tahun 2006.

Disamping dua front utama dalam politik Israel, iaitu Parti Buruh dan juga Likud, terdapat juga puluhan lagi parti yang membawa ideologi yang berlainan daripada kedua-dua front di atas antaranya secular centrist seperti Yesh Atid dan Kulanu, parti-parti Orthodox dan Ultra-Orthodox seperti The Jewish Home, Shas, United Torah Judaism. Seterusnya terdapat juga parti yang berdasarkan Arab iaitu Hadash, Ta’al dan Balad. Ketiga-tiga parti berteraskan Bangsa Arab di Israel ini kemudiannya pada tahun 2015 membentuk satu front yang dikenali sebagai Joint Arab List. Front-front yang dinyatakan di atas merupakan ideology-ideologi utama yang didukung oleh parti-parti politik di Israel, juga terdapat beberapa lagi parti yang berdasarkan ideologi seperti nationalist, minority interest, communist, dan sebagainya.

Apa yang menarik perhatian kita pada pilihanraya 2015 ialah bagaimana Perdana Menteri sebelum ini yang diramalkan bakal mengekalkan kerusinya di Pejabat Perdana Menteri Israel iaitu Benjamin Netanyahu. Parti kedua terbesar, Zionist Union diramalkan hampir pasti akan menjadi oposisi yang memiliki 24 kerusi di Knesset. Kebijakan politik Netanyahu amatlah diperlukan bagi memastikan beliau berjaya mengekalkan kerusinya iaitu bagaimanakah Netanyahu dan partinya mampu berunding bersama parti-parti yang berlainan ideologi dengannya bagi memastikan Netanyahu berjaya membentuk kerajaan dengan 61 majoriti.

Parti ketiga terbesar pada pilihanraya kali ini adalah Joint Arab List dengan 14 kerusi adalah parti yang berdasarkan bangsa Arab. Polisi dalam negara kerajaan Parti Likud sebelum ini telah banyak mendiskriminasikan penduduk arab berjumlah 1.6 juta di dalam Israel dan telah memaksa ketiga-tiga parti Arab yang berlainan ideologi pada permulaannya untuk bergabung pada pilihanraya kali ini. Perkara ini sudah pasti memberikan khabar tidak baik kepada Netanyahu serta kemungkinan besar JAL akan bersama oposisi yang lebih dekat dengan ideologi two-state solution dan lebih terbuka untuk proses rundingan dengan Palestin.

Parti secular centrist, Yesh Atid pimpinan Yair Lapid, seorang jurnalis juga bekas Menteri Komunikasi Israel mungkin boleh menjadi pilihan Netanyahu untuk membentuk kerajaan dengan memegang sebanyak 11 kerusi. Namun pada 2 december 2014, Yair Lapid bersama Tzipi Livni telah dipecat daripada kabinet Netanyahu di atas ketidak sefahaman sesama mereka. Hal ini memungkinkan Yesh Atid tidak akan bersama menyertai Netanyahu.

Seterusnya kita lihat pula kepada parti-parti pro-agama Orthodox seperti The Jewish home,Shas dan United Torah Judaism yang dikumpul bersama daripada parti-parti ini berjaya memperoleh 21 kerusi di Knesset. Parti-parti ini sangat mementingkan institusi keagamaan dan hak penduduk Yahudi di Israel. Seterusnya, Parti Kulanu dengan 10 kerusi, yang ditubuhkan bekas ahli Parti Likud, Moshe Kahlon juga diramalkan antara parti yang bakal bergabung bersama Parti Likud untuk mewujudkan kerajaan. Jika Netanyahu berjaya mengatur strategi yang baik, beliau akan berjaya mewujudkan kerajaan bersama keempat-empat parti ini. PartiThe Jewish Home telah menyertai kerajaan pada penggal yang lepas, dengan penyertaan Kulani yang hampir pasti, nasib Netanyahu bergantung kepada dua parti Ultra-Orthodox iaituShas dan United Torah Judaism.

Jika kita melihat pula kepada nasib dan status Palestin selepas pilihanraya ini, satu petunjuk yang sangat baik dalam kalangan penduduk Arab Israel di mana parti-parti yang berteraskan bangsa Arab ini berjaya bersatu dan menjadi parti ketiga terbesar yang memenangi pilihanraya pada kali ini. Front kiri yang didahului oleh Zionist Union lebih dekat dengan proses rundingan Arab-Israel dan mendukung two-state solution dijangka bakal membentuk koalisi bersamaJoint Arab List.

Mutakhir ini, ramai ahli politik Israel mula membicarakan dan membuka ruang untuk proses perbincangan Arab-Israel yang memberikan suatu gambaran kepada dunia jika front kiri yang diketuai Yitzhak Erzog berjaya mewujudkan kerajaan, peluang yang cerah kepada proses perdamaian Arab-Israel yang tidak pernah selesai sejak berdekad lalu. Peningkatan kerusi parti-parti Arab pada pilihanraya pada kali ini memberikan suatu nafas baru kepada bangsa Arab di Israel bahawasanya hak-hak mereka yang didiskriminasikan Israel sebelumnya akan berjaya dicapai selepas ini dan bangsa Arab akan terus kekal menduduki tanah mereka yang dijajah oleh Israel walaupun terpaksa terlibat dengan politik Israel secara rasmi. Akhir sekali, politik Israel akan terus mengalami evolusi dan perkara ini memberikan petanda yang positif bagi bangsa Arab kerana evolusi ideologi yang mereka dukungi akan lebih menimbulkan perpecahan berbanding kesatuan dalam menjalankan agenda Zionis mereka.

Kita tunggu dan lihat apakah yang akan berlaku dalam jangka masa sebulan ini.


Azrypotrait

 

Azry Hafify Mustapa merupakan salah seorang Pengasas serta Penganalisa Kanan di IRIS Institute.  Beliau juga merupakan pelajar jurusan Perubatan Tahun ke-5 di Jordan University of Science and Technology. Selain daripada itu, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Al-Quds Center for Studies & Development (Al-Quds CSD), sebuah badan pemikir yang berpusat di Jordan. Antara bidang kajian utama beliau ialah gerakan evangelism global serta situasi politik di Turki.


 Rujukan

  1. Israel politics: Platform for the political perplexed, The Jerusalem Post, 2015, Available Online: http://www.jpost.com/Israel-Elections/Platforms-for-the-politically-perplexed-392386
  2. Arab Parties Finalize Unity Deal, The Times Of Israel, 2015, Available Online:http://www.timesofisrael.com/arab-parties-and-hadash-finalize-unity-deal/
  3. The Evolution of Israel Politics, The Economist, 2015, Available Online:http://www.economist.com/blogs/economist-explains/2015/03/economist-explains-11
  4. The Knesset: History & Overview, The Virtual Jewish Library, Available Online:https://www.jewishvirtuallibrary.org/jsource/Politics/knesset.html
  5. Israel Election: Who are the key candidate? , BBC News, 2015, Available Online:http://www.bbc.com/news/world-middle-east-31815481
  6. As Arab MKs unite, a new political landscape emerge, The Times Of Israel, 2015, Available Online: http://www.timesofisrael.com/as-arab-mks-unite-a-new-political-landscape-emerges/
  7. Netanyahu Wins Elections, Aljazeera, 2015, Available Online:http://www.aljazeera.com/news/2015/03/150318051427755.html

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Analisa Ringkas Tentang Krisis Saudi-Yaman

Next Post

Nuclear Non-Proliferation Treaty Review Conference 2015

Related Posts
Skip to content