Amerika Syarikat pada 11 September meluluskan bantuan ketenteraan berjumlah USD1.3 bilion kepada Mesir atas persetujuannya mengekalkan penguasaan Israel ke atas Koridor Philadelphi yang merupakan sebahagian daripada syarat-syarat genjatan senjata yang dikemukakan Netanyahu.
Setiausaha Negara AS Antony Blinken memberitahu kongres bahawa bantuan ketenteraan ini tidak tertakluk kepada syarat-syarat biasa yang memerlukan Mesir menambah baik rekod hak asasi manusianya. Katanya, bantuan ini penting untuk memastikan keamanan serantau dan sebagai ganjaran khusus dan berterusan kepada Mesir dalam menjaga kepentingan keselamatan AS di rantau terutamanya dalam memuktamadkan perjanjian gencatan senjata di Gaza. – Al-Jazeera
Blinken semalam melakukan lawatan rasmi ke Mesir bagi membincangkan perjanjian gencatan senjata di Gaza terutamanya mengenai tuntutan Israel untuk mengekalkan pasukannya di Koridor Philadelphi untuk mengekalkan zon penampan antara Gaza dan Mesir dan butiran pertukaran tebusan untuk tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel. – Reuters
Koridor Philadelphi merupakan laluan strategik bagi kemasukan barangan ke Gaza melalui Mesir, namun Israel menuduh Hamas menggunakan laluan tersebut untuk menyeludup senjata. Koridor ini mencetuskan cabaran dalam proses gencatan senjata kerana Hamas menuntut Israel berundur dari kawasan tersebut, manakala Israel enggan atas alasan keselamatan.
Israel mengambil alih kawalan ke atas Koridor Philadelphi yang termasuk lintasan rafah sejak Mei lalu. Meskipun secara terbuka Mesir menentang kawalan Israel sepanjang sempadan itu, perjumpaan tertutup antara dua negara itu menyatakan sebaliknya.
Berdasarkan sumber yang berkata kepada portal Middle East Eye, Mesir dan Israel telah mencapai persefahaman yang membolehkan Israel mengekalkan kawalannya ke atas sempadan Mesir-Gaza itu sebagai pertukaran kepada lintasan Rafah dibuka semula dan dikendalikan oleh wakil Palestin. – MEE
Sumber itu berkata, Israel membentangkan dua pilihan kepada Mesir. Pertama, Israel mengekalkan kehadiran tentera sepanjang koridor itu. Kedua, menggantikan tentera dengan penghadang bawah tanah, peralatan pemantauan elektronik dan rondaan berkala. Walau bagaimanapun, Israel dilaporkan lebih gemar dengan pilihan pertama. – MEE
Walaupun Mesir pada awalnya menolak cadangan itu atas alasan menggugat kedaulatannya, faktor kebergantungan ekonomi dan keselamatan kepada Israel dan AS menyebabkan Mesir akur dengan tuntutan itu. – MEE
Dalam pada itu, Hamas menganggap keengganan Israel untuk berundur sepenuhnya daripada Semenanjung Gaza terutamanya di koridor Philadelphi menggugat perjanjian genjatan senjata. Selain itu, sumber yang rapat dengan Hamas memberitahu MEE bahawa mereka tidak mengetahui apa yang telah dipersetujui oleh Israel dan Mesir, namun menganggap persetujuan itu tidak mengejutkan atau semestinya diterima oleh pergerakan itu. – MEE
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.