Belia Dan Ideologi: Perjuangan vs Dominasi Kuasa

PENGENALAN

Adalah suatu kebiasaan bagi masyarakat bukan bibliofilia (suka buku) untuk menyalah tafsir dua jenis perkataan yang hampir sama namun ejaan dan maknanya berlainan lantaran oleh limitasi ilmu tatabahasa.  Idea dan ideologi seakan sama tapi tidak serupa. Hal ini demikian kerana idea merupakan suatu kata dasar bagi perkataan seperti idealis, dan ideologi. Takrif idea menurut Dewan Bahasa dan Pustaka adalah gagasan buah fikiran yang mana ianya dirancang baik tapi sukar hendak dijalankan. Manakala ideologi merupakan suatu fahaman yang disebarkan bagi tujuan pemerintahan. Ideologi juga bersifat propagandis yang mana sifat taksub dan palatao memainkan peranan penting dalam penyebaran propaganda itu.

Soalnya, apakah perkaitan ideologi, propaganda dan ketaksuban? Di manakah titik pusat pertembungan ketiga-tiga perkataan ini dan bagaimanakah ianya relatif dengan konsep estehemar yang diutarakan oleh sosiologis revolusioner Iran, Dr Ali Shariati dan konsep bebalism yang ditulis oleh sosiologis terulung Malaysia, Allahyarham Prof Syed Hussein Alatas? Penulis akan menunjukkan pendekatan estehmar dan bebalisme dari sudut belia dan politik dengan satu kunci utama: bukan semua perkara dalam dunia ini bersifat sempurna, termasuk ideologi.

BELIA: CATUR PERMAINAN KUASA?

Belia merupakan bakal pengganti generasi pentadbiran akan datang. Rata-rata belia mempunyai pegangan ideologi baik nasionalisme, reformisme yang telah dicerap oleh parti politik mahupun pendidikan. Walaupun begitu, bukan semua ideologi itu sempurna atas dua alasan. Pertamanya, setiap ideologi ada lompangnya tersendiri. Contohnya ideologi demokrasi raja berperlembagaan di Malaysia. Konsep fahaman ideologi demokrasi raja berperlembagaan adalah menghadkan peranan raja selaras dengan perlembagaan persekutuan selaras dengan doktrin pengasingan kuasa yakni eksekutif (kabinet), legislatif (undang-undang) dan judisiari (kehakiman). Namun begitu, ada beberapa kontradiksi doktrin pengasingan kuasa yang mana berlaku pertindihan dalam bidang kuasa eksekutif dengan dua bidang yang lainnya hinggalah berlakunya penyalahgunaan kuasa yang termaktub dalam perlembagaan.

Hal ini demikian kerana terdapat pak pandir politik yang ingin mencacamerbakan demokrasi negara menggunakan pelbagai cara termasuk taktik kotor seperti mana yang diperlihatkan dalam buku termasyhur Machiavelli, The Prince. Demi mengekalkan kuasa, semua benda boleh diterima pakai termasuk perihal agama. Setiap satu peraturan yang didasari oleh Machiavelli telah diperhalus oleh Robert Greene dalam buku 48 Laws of Power. Persoalan yang ingin ditimbulkan oleh penulis disini, adakah belia ini bakal mereformasikan negara, atau mereka adalah kuda tunggangan politik semata-mata?.

Hal ini kerana rata-rata parti politik, baik yang veteran mahupun yang baru ditubuhkan hanya menganggap belia sebagai salah satu batu loncatan bagi mereka meraih populariti dan undi. Bagi penulis, penulis merasakan bahawa belia zaman sekarang walaupun mereka cakna tentang keadaan politik semasa, ada kemungkinan bahawa mereka tidak sedar bahawa mereka sudah masuk dalam jerangkap samar antara ideologi mahupun perjuangan diri hinggakan mereka menjadi pak turut bagi mencapai objektif yang ada kalanya memakan diri sendiri samalah seperti dalam umpan yang terdapat dalam permainan catur.

Situasi ini amatlah sama seperti peranan kuda atau knight dalam permainan catur yang mana bertindak untuk mengumpan dua jenis buah yang berlainan dalam permainan. Pilihan di tangan pemain adalah sama ada “membunuh” buah catur yang berpangkat rendah, ataupun yang tinggi demi menyampaikan checkmate kepada raja, sememangnya pemain catur akan memilih buah catur yang mempunyai peranan pelbagai. Metode ini dikenali sebagai “kiting” dalam permainan catur.

Analogi jerangkap kuda ini merujuk kepada peranan kuda atau kesateria dalam permainan catur. Kuda adalah kenderaan kesateria dalam catur, dan ianya satu-satunya buah catur yang boleh melangkau buah catur yang lainnya kerana pergerakannya berbentuk huruf “L”. Hatta Permaisuri tidak boleh meniru pergerakannya dalam catur. Hal ini demikian kerana konsep masyarakat feudal, kesateria ini dilantik oleh raja serta bersumpah setia dalam mempertahankan negara.  Dalam erti kata lainnya, kesateria adalah pak turut kepada raja yang berkuasa. Pasca zaman feudalisme di mana kuasa demokrasi berperlembagaan memisahkan  kepada tiga doktrin pengasingan kuasa iaitu eksekutif, legislatif dan judisiari yang mana berlakunya pemisahan antara kuasa raja dan eksekutif selaras dengan prinsip yang termaktub dalam demokrasi berperlembagaan.

Walaubagaimanapun, korupsi dalam pentadbiran awam dan kawalan ekonomi memainkan dominasi pengaruh kepada masyarakat sekeliling lantaran kawalan sosial dibuat melalui variasi akta dan rang undang-undang asalkan dapat melanjutkan tampuk kekuasaan atas masyarakat itu sendiri. Penulis sebagai seorang yang menjunjung nilai demokrasi ingin pertikaikan beberapa rang undang-undang yang bersifat melindungi para pimpinan korup yang taksub kuasa dan ideologi bersifat realis walhal pada masa yang sama, rakyat sedang menderita dan sengsara kerana keadaan ekonomi semasa hanya memberi manfaat kepada elitis yang mempunyai wang dan kuasa tetapi rakyat marhaen ditindas tanpa didengari rintihan suara.

Jika rentetan situasi ini berterusan, maka akan tertanam dalam minda belia pancawarsa akan datang  bahawa demi sesuap nasi, kenalah jadi kroni para penguasa. Mungkin ianya realiti yang sukar ditelan pada masa tersebut tapi mentaliti tersebut adalah suatu racun yang boleh membunuh semangat reformasi dalam diri. Samalah seperti inferens minda tertawan yang pernah dicanangkan oleh Allahyarham Prof Syed Hussein Alatas, semakin lama taksub kuasa, semakin bebal sang penguasa.

BIAR SKEPTIK, JANGAN FANATIK

Bebalism, diperkatakan oleh Allahyarham Prof Syed Hussein Alatas menurut Prof Farid Alatas (2016)  bebalism yang berlaku di negara yang membangun yang mana ianya mempunyai sindrom tidak mahu akui akan kesilapannya baik dalam perbincangan mahupun pelaksanaan. Kepincangan sebegini akan memberi impak negatif kepada negara kita sendiri dalam jangka masa panjang. Dalam temu ramah beliau dengan Maryam Lee dinyatakan bahawa bebalism (kepandiran) berkait dengan estehemar yang dibangkitkan oleh Dr Ali Shariati. Persoalan yang ditimbulkan berkaitan estehemar oleh Dr Ali Shariati dalam “Awaiting The Savior” adalah bagaimana nak kembali ke pangkal jalan bila sudah terperangkap dalam penjelmaan dan penjenamaan bersifat eurosentrik?

Pemikiran yang mundur, yang mana semua perkara perlu dikawal adalah suatu benda bersifat diktator. Diktator dan tirani adalah dua perkara yang sama namun perbezaannya adalah kepada kuantiti para pemegang kuasa. Sejarah membuktikan bahawa kuasa melenyapkan jati diri para pemimpin negara. Sekiranya tidak diambil pelajaran, natijah yang sama bakal berulang di negara kita.

Pada awalnya penulis ada menyatakan bahawa bukan semua perkara dalam dunia  ini bersifat sempurna, termasuk ideologi. Ideologi hanyalah suatu dasar dalam mana-mana aliran pemikiran politik. Namun perlu difahami bahawa setiap ideologi terdapat lompangnya dan ianya bukan sempurna. Hal ini demikian kerana ada juga ideologi bersifat konspiris dan ekstrim. Ianya terjadi lantaran gembar-gembur dan tokok tambah yang dibuat oleh pakar propagandis demi pecah dan perintahkan pemikiran kelompok masyarakat tertentu melalui media cetak mahupun media sosial. Oleh hal yang demikian, ideologi yang mendasari akhirnya menjadi suatu fahaman radikal dan ekstrem kerana pengetahuan yang jauh menyimpang daripada apa yang didasari.

Sememangnya ramai belia marcapada kini mula melibatkan diri dalam dinamika politik semasa hatta ada yang mula menyertai parti politik sebagai wakil muda demi mengubah masa depan negara. Namun begitu, seharusnya belia menjadi skeptik dalam mendokong sesuatu ideologi parti politik agar tidak menjadi kuda tunggangan mana-mana individu yang lainnya demi kuasa. Lord Acton menyatakan “power corrupts, absolute power corrupts absolutely” bukan sahaja merujuk pentadbiran awam sahaja malah ianya bersangkutan antara satu sama lain baik secara fizikal, mental, emosi, spiritual dan sosial.

Hal ini kerana di kala belia naik kuasa, mereka mampu mengubah dunia akan tetapi ramai  veteran yang mempunyai tipu helah demi menjadikan ahli politik muda ini sebagai boneka mereka semata-mata. Justeru itu, belia yang melibatkan diri dalam politik senantiasa perlu berwaspada terhadap individu di sekelilingnya disebabkan berkemungkinan suatu hari nanti dijadikan oleh individu tersebut sebagai kambing hitam demi menutup kesalahan mereka.

Pada masa yang sama, adalah lebih baik bagi belia menjadi pemerhati keadaan politik semasa di samping melibatkan diri sebagai seorang bakal ahli politik. Kita memahami bahawa belia merupakan pelakar masa depan negara, namun perlu diketahui bahawa berlaku penjejalian ideologi ketika menyertai parti politik hingga menjadi taksub kepada ideologi parti. Perlu diingatkan disini bahawa pemahaman terhadap ideologi bagi setiap individu adalah berbeza dan salah faham terhadap ideologi boleh membawa mudarat bukan sahaja kepada diri bahkan juga kepada negara secara kolektifnya. Oleh itu, pendekatan skeptik itu adalah penting bagi mewujudkan kompromi dan toleransi terhadap mana-mana individu tanpa mengira jenis latar belakang.

KESIMPULAN

Pokok pangkal semua persoalan di atas adalah bagaimana belia dapat membebaskan diri daripada tangan-tangan halimunan yang mencengkam mereka tanpa sedar? Ketika kuasa boleh merubah dunia, kuasa juga membawa malapetaka. Pepatah “Nothing is true, everything is permitted” yang disebut oleh Hassan-i Sabbah merupakan realiti semasa kawalan sosial di Malaysia dimana semua metode politik mahupun sosioekonomi boleh diterima pakai demi kekalkan kuasa. Bagi penulis, matlamat menghalalkan cara bukanlah resolusi terbaik bagi sebuah negara multikultural kerana ianya meruncingkan bukan sahaja perpaduan negara, bahkan ianya mengucar-kacirkan keharmonian negara.

Sememangnya belia sekarang cakna dengan perkembangan politik semasa, tapi mereka masih naif dengan apa yang berlaku di sebalik media massa. Polemik ideologi dalam kalangan belia merupakan antara perjuangan menegakkan keadilan melawan dominasi penyalahgunaan kuasa. Jika semua menganggap diri mereka adalah penegak keadilan tapi masih taksub kepada ideologi parti, penulis merasa sangsi dari sudut manakah belia-belia ini merupakan penegak keadilan kerana lain ideologi, lain perjuangannya dan bukan semua perjuangan belia adalah sama.

Akhir kata, belia adalah pelakar demokrasi masa depan negara. Adalah molek bagi mereka ketepikan pegangan ideologi dan bersatu bersama memajukan Malaysia yang tercinta tanpa menjadi pak turut kepada mana-mana veteran. Sesungguhnya veteran sebegini hanyalah boleh diminta pandangan dalam sesuatu perkara tapi pelaksanaan perkara tersebut dilakukan oleh para belia jua. Oleh itu, ketepikan sentimen kepartian, sematkan serta murnikan jati diri anak Malaysia yang berintegriti.

Sahilah Ain Sathakathulla
Ketua Bahagian Penyelidikan Malaysian Youth Local Council (MYLC) dan Setiausaha Penggerak Belia Selangor PeBS DUN Kota Anggerik

*Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Fokus.my

1 comment
  1. Betul. Perbezaan ideologi politik bukan penghalang.. Kerbersatuaan masyarakat belia amat penting dalam kesejahteraan negara. Dalam konteks poltik tidak salah mempunyai ideolgi tersendiri tetapi jgn terlalu taksub dgn ideolgi 2 yg mampu mengugat keamanan negar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

UNESCO iktiraf 36 lagi tapak baharu Warisan Dunia

Next Post

Maybank Lancar dana ekuiti fokus kepada China, beri akses pelabur tempatan labur Dalam Pasaran China

Related Posts
Skip to content