Bumiputera Islam dalam Politik Sarawak (1963-2007): Satu Analisis

Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia dan mempunyai komposisi masyarakat majmuk yang dapat dikategorikan kepada dua kumpulan etnik iaitu bumiputera dan bukan bumiputera. Bumiputera seterusnya dibahagikan kepada bumiputera Islam (Melayu dan Melanau) dan bukan Islam (Iban, Bidayuh, Melanau, dan Orang Ulu). Bukan bumiputera pula terdiri daripada kaum Cina dan sebahagian kecil kaum India.

Perkembangan parti politik di Sarawak bermula beberapa tahun sebelum Sarawak mencapai kemerdekaan. Parti-parti yang ditubuhkan lebih berasaskan sokongan daripada kaum tertentu. Parti pertama ditubuhkan ialah Sarawak United Peoples’ Party (SUPP) pada tahun 1959. Tahun 1962 pula menyaksikan penubuhan The Sarawak United Front yang kemudiannya dikenali sebagai Sarawak Alliance, pertubuhan yang terdiri daripada gabungan Parti Negara Sarawak (PANAS), Barisan Rakyat Jati Sarawak (BERJASA), Sarawak National Party (SNAP), Sarawak Chinese Associatian (SCA) dan Parti Pesaka Anak Jati Sarawak (PESAKA).

Politik Bumiputera Islam pula bermula dengan penubuhan parti BUMIPUTERA pada Disember 1966 iaitu gabungan parti sokongan Melayu, PANAS dengan parti sokongan Melayu-Melanau, BERJASA. Alasan utama penggabungan kedua-dua parti ini adalah bagi membentuk perpaduan sesama muslim di samping untuk menyelamatkan kedudukan politik bumiputera Islam di Sarawak. Ia juga merupakan cadangan dari UMNO yang telah membatalkan hasrat untuk melebarkan sayap ke Sarawak sebaliknya menjadikan penggabungan kedua-dua parti ini untuk mewakili orang Melayu di Sarawak. Tambahan pula, undang-undang tanah yang ingin diperkenalkan oleh Kalong Ningkan yang dilihat pro-Cina dan anti-pribumi juga menjadi faktor kepada penyatuan politik bumiputera Islam ini walaupun akhirnya undang-undang tersebut dibatalkan kerana menerima bantahan daripada banyak pihak.

Penyatuan politik bumiputera Islam ini menampakkan hasil ketika pilihan raya 1970 apabila Parti BUMIPUTERA memenangi 12 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan. Pada ketika itu, kemenangan Sarawak Alliance dalam pilihanraya tersebut telah menghadapi masalah dalaman, dan hal ini memberi peluang kepada parti BUMIPUTERA dengan sokongan kerajaan pusat untuk bergabung dengan parti pembangkang, SUPP bagi membentuk kerajaan baru yang diketuai oleh Abdul Rahman Yaakub. Pemimpin-pemimpin pusat memainkan peranan yang penting dan keterlibatan mereka dalam pembentukan kerajaan campuran Sarawak ini adalah bagi memastikan hubungan Kuala Lumpur-Kuching bertambah lebih baik. Tun Abdul Razak sendiri telah terlibat secara langsung untuk berbincang dengan pemimpin SUPP bagi memastikan penggabungan ini berjaya. Sebagai Ketua Menteri, Abdul Rahman Yaakub telah menggunakan peluang ini untuk memperkukuhkan lagi kedudukan pribumi Islam dalam kerajaan beliau. Tindakan beliau ini membuatkan kaum Melayu-Melanau mendapat kredibiliti dan perhatian langsung daripada kerajan pusat. Terdapat pelbagai agensi juga ditubuhkan yang melibatkan orang Melayu-Melanau dalam rancangan pembangunan Sarawak seperti Yayasan Sarawak dan Sarawak Economic Development Corporation. Pada tahun 1973, Abdul Rahman Yaakub mengorak langkah seterusnya apabila menggabungkan parti BUMIPUTERA dan PESAKA (mewakili orang Iban) yang akhirnya membentuk PESAKA BUMIPUTERA BERSATU (PBB).

PBB memberi kelebihan kepada kerajaan pimpinan Abdul Rahman Yaakub kerana pertubuhan ini mewakili parti-parti utama etnik di Sarawak dan PBB dikatakan menjadi tunggak kepada kekuatan politik bumiputera Islam di Sarawak sehingga kini. Hal ini memudahkan penyebaran agama Islam dilakukan di Sarawak berdasarkan hakikat peguasaan politik di Sarawak di tangan bumiputera Islam. Secara umunya, pembentukan PBB memberi kesan signifikan bagi mengukuhkan kedudukan Abdul Rahman yaakub sendiri dan pada masa yang sama menguntungkan PESAKA kerana PBB menempatkan orang Iban dalam organisasi yang lebih terusun serta mengurangkan masalah perebutan kerusi antara Parti BUMIPUTERA dengan PESAKA.

Pada era pemerintahan Abdul Rahman Yaakub ini, pendominasian politik kumpulan bumiputera Islam di Sarawak boleh dikaitkan dengan beberapa faktor. Pertama adalah faktor perpaduan yang mana PBB dilihat lebih mampu untuk membentuk perpaduan berbanding parti lain yang dilihat berpuak-puak. Kedua adalah faktor sokongan dari kerajaan pusat yang melihat kepentingan bumiputera Islam di Sarawak lebih terjamin melalui kepimpinan bumiputera Islam.

Ketiga, pemimpin-pemimpin PBB mempunyai pengaruh yang kuat melalui penguasaan kesemua agensi dan jabatan penting di Sarawak manakala dari sudut kewangan, PBB mampu melahirkan tokoh perniagaan yang sentiasa mendokong usaha parti tersebut tanpa berbelah-bagi. Memberi penaungan kepada golongan elit bagi mendapatkan sokongan politik adalah faktor keempat bagi meneruskan pendominasian ini. Pengkaji Politik di Sarawak bersependapat bahawa penaungan golongan elit ini berlaku melalui industri balak dan pemberian “approved permits” kepada individu-individu tertentu sebagai balasan kepada sokongan politik. Akhir sekali, faktor kongsi kuasa dan tolak ansur BN telah membolehkan PBB berkuasa penuh dan mendominasi pemerintahan di Sarawak.

Namun, terdapat juga kritikan yang dihadapi oleh kepimpinan Abdul Rahman Yaakub tetapi kritikan tersebut tidak dapat menafikan bahawa kepimpinan beliau telah berjaya meletakkan politik bumiputera Islam pada landasan yang betul serta kukuh. Cabaran yang dihadapi beliau adalah lebih menjurus kepada reaksi terhadap cara kepimpinan beliau di Sarawak.

Seterusnya, kepimpinan bumiputera Islam diteruskan oleh Abdul Taib Mahmud, yang mengambil alih kuasa pada Mac, 1981. Taib Mahmud telah mempopularkan konsep “politik pembangunan” bagi memajukan Sarawak setanding dengan negeri-negeri lain menjelang tahun 2020. Selain itu, Taib Mahmud turut menekankan keserasian antara golongan berpendidikan agama dan sekular dalam menangani keperluan ummah dengan memberi peruntukan kewangan kepada golongan berpendidikan Islam untuk mengambil kursus dalam bidang pentadbiran, perniagaan dan kewangan dalam membina ummah holistik ke arah pembangunan umat Islam di Sarawak sendiri.

Konsep politik Pembangunan yang mempunyai dua fasa iaitu prasarana fizikal dan pendidikan yang berkualiti untuk rakyat telah berjaya mengekalkan tampuk pemerintahan Taib Mahmud pada satu jangka masa yang panjang. Konsep ini serta monopoli media massa oleh kerajaan telah berjaya memegang hati rakyat supaya terus memilih parti PBB untuk memerintah bagi membaik-pulih serta membangun prasarana-prasarana fizikal terutama di kawasan pedalaman Sarawak.

Selain itu, kesan politik pembangunan ini telah mewujudkan hubungan intim antara golongan korporat dengan kerajaan apabila konsep ini juga menekankan pembanguan ekonomi lantaran memerlukan dana yang besar untuk membangunkan negeri. Perkara ini memberi ruang kepada golongan korporat untuk mengeksploitasi sumber semulajadi di Sarawak bagi menampung dana yang diperlukan. Tambahan pula, orang korporat memainkan peranan penting dalam proses penswastaan syarikat yang perlu digiatkan bagi memastikan politik pembangunan berjalan seperti yang dirancang.

Walaupun konsep politik pembangunan menyumbang kepada pembangunan Sarawak secara total, namun kepimpinan Taib Mahmud turut terpalit cabaran apabila Kumpulan Maju diketuai Abdul Rahman Yaakub yang ditubuhkan pada tahun 1987 telah mendakwa kepimpinan beliau mengamalkan favouritism, harassment, victimization and intimidation. Krisis ini juga dikenali sebagai “Ming Court Incident”. Impak daripada kejadian ini telah menyebabkan Kumpulan Maju memenangi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri, namun akhirnya sebahagian besar ahli kumpulan ini menyertai BN semula dan mengakhiri penentangan kepimpinan Taib Mahmud. Cabaran seterusnya berlaku terhadap perpaduan bumiputera Islam Sarawak.

Pada tahun 1999, sentimen etnik Melayu bergema dan impaknya lebih kuat kerana pilihan raya umun diadakan serentak dengan peringkat pusat. Sentimen “reformasi” digunakan secara meluas di Semenanjung Malaysia sehingga kesannya terasa di Sarawak. Walaupun Parti Keadilan gagal memenangi mana-mana kerusi tetapi pilihan raya kali ini menyaksikan peralihan undi dalam kalangan orang Melayu-Melanau Islam terutama di kawasan majoriti Melayu-Melanau. Pilihanraya ini dikatakan masih dimenangi oleh PBB kelangsungan daripada pendominasian politik bumpiutera Islam sebelumnya. Orang-orang melayu dikatakan tidak sanggup mengambil risiko menukar tampuk pemerintahan kerana memberikan undi kepada pembangkang bermaksud mengurangkan pengaruh mereka sendiri dalam pemerintahan di Sarawak.

Berikutan krisis Melayu-Melanau ini, terdapat usaha-usaha untuk membawa UMNO masuk ke Sarawak namun ianya hanyalah sia-sia. Kerajaan pusat tidak merelakan UMNO dibawa ke Sarawak kerana mereka berpuas hati dengan kepimpinan BN Sarawak yang diketuai oleh PBB. Tun Mahathir Mohamad juga pernah menegaskan bahawa UMNO tidak akan ke Sarawak dan cuma berbuat sedemikian sekiranya rakyat Sarawak telah bersedia menerima parti itu. Tambahan pula, pada tahun 1998, Pemuda UMNO dan Pemuda PBB telah menandatangani Memorandum Persefahaman. Mereka berjanji untuk memperkukuhkan kerjasama yang telah sedia terjalin antara kedua-dua parti tersebut. Pada pilihanraya Dewan Undangan Negeri 2006, masih terdapat usaha-usaha untuk menubuhkan cawangan UMNO di seluruh Sarawak seandainya pemimpin yang sedia ada gagal meneruskan pemerintahan.

Hasil permerhatian perjalanan politik di bumi Sarawak, dapatlah disimpulkan bahawa masa depan politik bumiputera Islam bergantung pada dua faktor utama. Pertama ialah kemampuan model politik perkongsian kuasa bertahan di Sarawak seperti yang telah dimainkan oleh PBB, ia juga berkadar terus dengan perpaduan bumiputera Islam itu sendiri. Dan yang kedua ialah restu dari kerajaan pusat bagi memperkukuh kedudukan sesebuah parti. Tuntasnya, dapat dilihat kekuatan politik bumiputera Islam di Sarawak adalah berdasarkan perpaduan dalam kalangan bumiputera Islam di bawah tampuk pemerintahan PBB. Tanpa perpaduan yang padu, pembangunan dalam kalangan bumiputera Islam akan menemui jalan kecundang. Kata-kata Taib Mahmud, “Sebagai umat minoriti, kita tidak mampu mempunyai perpaduan yang kurang dari yang sebulatnya” menunjukkan perpaduan umat Islamlah yang memastikan pendominasian politik dalam kalangan bumiputera Islam selama ini di samping perlunya mempunyai pemimpin muslim yang berwibawa dan berkaliber bagi menguasai tampuk pemerintahan dan memimpin masyarakat Sarawak yang berbilang kaum seadilnya.

Sumber: Bumiputera Islam dalam Politik Sarawak (1963-2007): Satu Analisis oleh Noor Ain Aini dan Neilson Ilan Mersat

oleh:
Khadijah bt Abu Bakar
Sarjana Muda Kejururawatan UNIMAS
Pengkaji IKB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Summary of ‘Wind of Change in Sarawak Politics?’

Next Post

Pencapaian Masyarakat Melayu Sarawak dalam Bidang Pendidikan Sebelum dan Selepas Merdeka

Related Posts
Skip to content