Kebinasaan daripada Kuasa Tanpa Wahyu

Apabila kita berbicara tentang perhubungan antara tamadun, ada titik besar yang harus kita fahami sebelum merangka satu-satu perhubungan. Perhubungan di sini merujuk kepada perhubungan tamadun Islam dengan tamadun-tamadun yang selain daripada Islam.

Perhubungan ini boleh berlaku dalam dua situasi, situasi pertama di mana tamadun Islam berada dalam keadaan yang kuat, manakala situasi kedua pula berlaku dalam keadaan tamadun Islam lemah ataupun belum ditegakkan lagi.

Apabila perhubungan ini berlaku pada situasi pertama iaitu situasi tamadun Islam berada dalam keadaan yang kuat, kita mempunyai keupayaan dan kapasiti, ataupun istilah yang lebih tepat iaitu kuasa untuk menapis mana yang baik dan mana yang buruk. Perkara yang positif dan baik boleh diambil dan digunakan demi membangunkan tamadun kita. Manakala mana-mana yang buruk pula kita padam ataupun perangi sekiranya kedatangan itu berlaku dalam satu bentuk pemaksaan atau penjajahan budaya. Perlu difahami bahawa keupayaan untuk menapis memerlukan kepada kekuatan. Ini kerana tamadun yang lemah tidak akan mampu untuk menapis keburukan dan akan merelakan sahaja penajajahan tamadun ini berlaku dan merosakkan tamadun mereka.

Begitulah situasi kedua ini berlaku. Bilamana kita mengatakan tamadun Islam lemah, kita juga mengakui bahawa kuasa Islam lemah pada ketika itu. Apakah implikasi dan kesan yang diterima oleh sebuah negara yang lemah jika didatangi oleh kuasa lain yang kuat?

Allah mengajarkan kita dalam Surah An Naml, ayat 34 yang berbunyi,

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖوَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

Dia berkata: “Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat.”

Ibn Asyur ketika menafsirkan ayat ini dalam kitab tafsirnya At-Tahrir wa At Tanwir, menerangkan bahawa ayat ini adalah satu hakikat sejarah yang difahami oleh Ratu Saba’ – iaitu Ratu Balqis. Komponen pertama dalam surah ini menerangkan tentang hakikat sejarah pada masa lalu.

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً

“Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina.”

Ayat ini memberi gambaran bahawa ianya adalah satu hakikat sejarah, bilamana ada suatu kuasa yang datang, ianya akan membinasakannya. Dalam konteks di sini bermaksud ia menjajah dari sudut ekonomi, menjarah tanah, menghancurkan budaya, merosakkan sistem pentadbiran sedia ada, dan akhirnya tindakan ini menukar status quo rakyat di bumi terbabit, dari seorang yang merdeka kepada menjadi hamba kepada kuasa luar yang datang itu.

Dan komponen kedua pula senario ini adalah hakikat sunnah alam yang akan berlaku selama-lamanya pada masa depan.

وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ

“dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat.”

Inilah titik penting yang harus kita fahami dalam mendalami perhubungan antara tamadun ini. Umat Islam pada hari ini seharusnya memahami dengan jelas dan mendalam, pada takat mana ukuran kekuatan tamadun mereka sebelum berhubungan dengan tamadun-tamadun besar di dunia seperti tamadun Barat dan tamadun China. Adakah perhubungan ini akan mendatangkan kebaikan yang lebih besar, atau lebih kepada mudarat.

*Syed Ahmad Isra’ merupakan Kolumnis Fokus dan CEO IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Di Sebalik Dongeng Penubuhan Amerika

Next Post

Situasi Keselamatan Makanan Negara dalam krisis wabak Covid-19

Related Posts
Skip to content