Penyelidikan: Pembangunan Ilmu vs Aplikasi Industri?

Malaysia tidak ketinggalan mengikuti trend penyelidikan dunia yang mendorong perubahan polisi penyelidikan ke arah merangsang inovasi dan pengkomersialan.

Kesan langsung dari trend global ini dapat dilihat apabila wujud kritikan terhadap penyelidikan fundamental yang dilihat tidak mendatangkan sebarang aplikasi segera kepada industri.

Masyarakat perlu memahami bahawa matlamat utama penyelidikan dijalankan bukanlah untuk pengkomersialan.

Penyelidikan akademik, khususnya penyelidikan fundamental berfungsi untuk membina kefahaman terhadap permasalahan utama yang mampu melengkapi kefahaman disiplin ilmu pengetahuan yang luas.

Hasil penyelidikan ini tidak semestinya relevan untuk aplikasi pada masanya. Namun banyak hasil kajian fundamental yang dilihat tidak relevan pada zamannya dahulu, kini menjadi sumber rujukan utama kebanyakan penyelidikan lanjutan pada masa kini.

Maka, sebarang insentif dan inisiatif bagi menggalakkan penyelidikan fundamental akan terus relevan dalam memenuhi pasaran asas universiti untuk menggalakkan pengembangan ilmu.

Bagi meningkatkan kemampuan pengkomersialan akademia Malaysia, kebanyakan institusi pengajian tinggi di Malaysia pada hari ini menggalakkan kerjasama interdisciplinary antara para penyelidik bahkan antara institusi berbeza serta libat urus rakan industri dalam pengkomersialan produk penyelidikan.

Bagi membantu ekosistem akademia – universiti, insentif seperti geran padanan, geran pengkomersialan, dan menawarkan kaedah pengkomersialan harta intelek yang menarik untuk penyelidik dan rakan industri yang berminat. Penganjuran pelbagai ekspo inovasi dan pengkomersialan juga menjadi medan untuk para penyelidik bahkan para graduan universiti untuk menonjolkan hasil penyelidikan mereka.

Walaupun hanya sekadar mengumpul pingat, setidaknya di sini asas penyelidikan dan budaya inovasi dapat disemai.

Universiti bukanlah sebuah kilang yang perlu menghasilkan penyelidikan bagi memenuhi permintaan industri pasaran. Para penyelidik bukanlah usahawan sebaliknya adalah peneroka ilmu yang membuka kefahaman yang lebih meluas dalam dunia ilmu melalui penyelidikan yang dijalankan.

Institusi yang mengumpulkan nation’s best brain ini tidak sepatutnya diperkecilkan oleh masyarakat kerana melaksanakan penyelidikan yang bersifat “fundamental”. Sebarang penyelidikan, samada mampu dikomersialkan ataupun tidak, adalah sumbangan kepada dunia ilmu yang amat luas.

Mohd Juraij Bin Abd Rani
Pensyarah, Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan,
Universiti Malaysia Perlis

*Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Fokus.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Deep State: Tinjauan Kes di beberapa buah negara

Next Post

RADAR 2021 (21-22 Okt)

Related Posts
Skip to content