IMF rendahkan unjuran ekonomi 2021 ASEAN-5, namun kekalkan ramalan pertumbuhan global enam peratus

KUALA LUMPUR – Tabung Kewangan Antabangsa (IMF) telah menyemak turun unjuran ekonomi 2021 bagi negara ASEAN-5 sebanyak 0.6 peratus kepada 4.3 peratus berikutan gelombang jangkitan COVID-19 baru-baru ini yang telah mengekang aktiviti.

Negara ASEAN-5 adalah Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Bagaimanapun, dalam laporan World Economic Outlook (WEO) terkini yang dikeluarkan pada Selasa, IMF menyemak naik unjuran ekonomi negara ASEAN-5 untuk 2022 sebanyak 0.2 peratus kepada 6.3 peratus. 

Bagi keseluruhan pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi membangun, menurutnya ramalan untuk kumpulan itu telah disemak turun 0.4 peratus kepada 6.3 peratus pada 2021, terutamanya disebabkan kemerosotan pertumbuhan ekonomi Asia sedang pesat membangun.

“Prospek pertumbuhan di India telah direndahkan susulan gelombang kedua COVID-19 yang lebih buruk dalam tempoh Mac hingga Mei dan keyakinan terhadap pemulihan yang dijangka perlahan akibat keadaan itu.

“Dinamik yang sama turut melanda kumpulan ASEAN-5 yang mana gelombang jangkitan baharu telah mengekang aktiviti,” katanya.

IMF berkata risiko di lingkungan garis asas global menjurus kepada penurunan berikutan pelaksanaan vaksin yang lebih perlahan daripada jangkaan akan menyebabkan virus untuk lebih bermutasi.

Katanya, kedudukan kewangan boleh diperkukuhkan dengan segera, misalnya dari segi penilaian semula unjuran dasar monetari dalam ekonomi maju sekiranya jangkaan inflasi meningkat lebih pantas daripada dijangka.

“Sebarang impak berganda terhadap pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi membangun akibat dinamik pandemik yang semakin buruk dan kedudukan kewangan luaran yang lebih ketat akan menjejaskan secara ketara pemulihan mereka dan mengheret pertumbuhan global untuk berada di bawah garis asas unjuran ini,” katanya.

IMF mengunjurkan defisit fiskal 2021 bagi ekonomi pasaran sedang pesat membangun akan kekal pada 7.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), 0.5 peratus lebih rendah daripada ramalan laporan WEO bagi April 2021. 

Secara keseluruhan, IMF telah mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi global sebanyak enam peratus untuk 2021 dan meningkatkan unjuran pertumbuhan 2022 sebanyak 0.5 peratus kepada 4.9 peratus.

“Walaupun unjuran 2021 tidak berubah sejak April, wujud semakan berimbangan di seluruh ekonomi maju dan pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi membangun yang mencerminkan perbezaan aspek perkembangan pandemik dan perubahan dasar.

“Semakan semula menaik 0.5 peratus untuk 2022, sebahagian besarnya mencerminkan jangkaan sokongan fiskal tambahan di Amerika Syarikat, dengan limpahan yang berkaitan terhadap ekonomi global,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

MAHB catat penurunan jualan komersial sebanyak 85 peratus

Next Post

Siswazah menganggur naik 4.4 peratus, gaji turun 10.6 peratus

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content