MAHB catat penurunan jualan komersial sebanyak 85 peratus

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mencatatkan penurunan 85.8 peratus dalam jualan komersial operasi Malaysia kepada RM60.5 juta pada separuh pertama 2021 berbanding RM427.5 juta yang direkodkan semasa tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Hani Ezra Hussin menjelaskan angka itu seiring dengan penyusutan jumlah penumpang kepada sekitar tiga juta orang atau 84.6 peratus berbanding 19.2 juta sebelumnya.

“Sekatan perjalanan antara dalam negeri serta antarabangsa telah menyebabkan pengurangan penumpang dan penutupan sementara perniagaan, sehingga mempengaruhi jualan daripada aktiviti komersial,” katanya dalam satu taklimat media bertajuk “Perbualan dengan Malaysia Airports – Penetapan Semula Komersial : Visi Lapangan Terbang Melangkaui Hab Pengangkutan” hari ini.

Hani menjelaskan tahun lepas, MAHB telah memberikan insentif dan potongan sebanyak RM400 juta untuk membantu peruncitnya yang merangkumi 50 peratus rebet sewa, lanjutan kontrak selama dua tahun termasuk memperkenalkan model sewaan yang baharu.

“Tahun ini adalah suatu tempoh yang sukar. Jumlah yang kami beri adalah lebih banyak atau tidak kurang daripada angka yang kami hulurkan pada tahun lalu dan ini telah memberi manfaat kepada lebih daripada 278 penyewa runcit. Bagaimanapun, jumlah sebenar masih belum dimuktamadkan.

“Model sewaan baharu turut diperkenalkan untuk memberi jaminan kepada peruncit bahawa mereka akan mendapat keuntungan apabila perniagaan mereka dibuka semula kerana model sewa ini akan terikat dengan jumlah penumpang,” katanya.

Hani menjelaskan setakat ini, sekitar 70 peratus daripada 300 penyewa masih beroperasi di lapangan terbang di seluruh negara.

“Sebahagian penyewa iaitu lebih kurang 50 pemilik, telah keluar selepas kontrak mereka tamat pada 2020 dan mungkin akan kembali kemudian, oleh itu kami harus mengambil alih tempat mereka dan membuat pengubahsuaian dan sebagainya,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, MAHB berhasrat untuk menyiapkan strategi Reset Komersial mereka menjelang 2023 dan bukannya 2020 seperti yang dirancang berikutan penguatkuasaan sekatan pergerakan pada masa ini.

“Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan profil runcit lapangan terbang di Malaysia di kalangan pelancong dan pembeli, menjadikan lapangan terbang sebagai destinasi tersendiri.

“Sehingga Julai 2021, lebih daripada separuh kedai yang dibuka tendernya telah dianugerahkan, yang mana, jumlah kedai yang ditender setakat ini adalah sebanyak 435 daripada 814 buah,” kata Hani.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dana Shariah China A-Shares ETF Value Partners mula disenaraikan di Bursa Malaysia

Next Post

IMF rendahkan unjuran ekonomi 2021 ASEAN-5, namun kekalkan ramalan pertumbuhan global enam peratus

Related Posts
Skip to content