Israel dilihat sedang mengukuhkan kedudukannya sebagai tunjang utama pertahanan Asia Tenggara, dengan teknologi canggihnya kini menjadi teras kepada usaha pemodenan ketenteraan negara-negara paling berpengaruh di rantau ini.
Negara-negara Asia Tenggara kini mempergiat pemodenan aset ketenteraan melalui integrasi teknologi tanpa pemandu dan sistem serangan tepat buatan Israel.
Di Singapura, Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) memilih sistem UAS Hermes 900 keluaran syarikat elektronik pertahanan Israel, Elbit Systems bagi menggantikan platform lama pada November 2025. – Janes
Dron Hermes 900 dilaporkan membuat penampilan awam pertamanya di Pameran Udara Singapura tahun ini, bermula 3 hingga 8 Februari 2026. – CNA
Terdahulu, pada 2022, Thailand telah meningkatkan keupayaan pengawasan maritim apabila Tentera Laut Diraja Thailand memperoleh tujuh UAV Hermes 900 untuk operasi rondaan dan pemantauan laut. – Reuters
Yang terbaharu, Thailand dilaporkan memperkukuh keupayaan anti-kereta kebal dan serangan jarak jauh berketepatan tinggi melalui integrasi sistem persenjataan keluaran Rafael Advanced Defense Systems. – ORFOnline
Selain itu, terdapat peralihan daripada hubungan pembeli-penjual semata-mata kepada kerjasama industri yang lebih mendalam dengan syarikat pertahanan Israel, termasuk pemindahan teknologi dan pengeluaran domestik.
Di Thailand, Institut Teknologi Pertahanan (DTI) memeterai perjanjian dengan Rafael untuk mengeluarkan peluru berpandu Spike NLOS dan ER secara tempatan. – ORFOnline
Di Vietnam pula, perjanjian bernilai AS$680 juta bagi satelit pengawasan canggih serta pembangunan bersama peralatan ketenteraan meningkatkan keupayaan risikan negara itu secara signifikan. – ORFOnline
Pada penghujung 2024, Israel Aerospace Industries Ltd. (IAI) menjalinkan kerjasama dengan syarikat Vietnam untuk pembangunan bersama peralatan ketenteraan serta pemindahan teknologi. – ORFOnline
Semasa Pameran Udara Singapura bulan lalu, 11 syarikat pertahanan Israel diketuai oleh SIBAT mempersembahkan pelbagai teknologi canggih, termasuk sistem udara tanpa pemandu (UAV), sistem pertahanan peluru berpandu, sistem elektro-optik, sistem siber, dan banyak lagi. – JPost
Syarikat-syarikat Israel yang mengambil bahagian termasuk Israel Aerospace Industries (IAI), Elbit Systems, Rafael Advanced Defense Systems, Aeronautics, BIRD Aerosystems, CONTROP, Orbit Communication Systems, Skylock Systems, TOMER, UVision Air, dan XTEND Systems. – JPost
Faktor geopolitik turut mendorong pendekatan Israel di Asia Tenggara, dengan fokus mengimbangi pengaruh China dan mengukuhkan kedudukan ekonominya.
Jualan senjata kepada negara-negara Asia Tenggara ini bertujuan mengekalkan pengaruh geopolitik di rantau Indo-Pasifik dan mengimbangi pengaruh China yang semakin berkembang. – ORFOnline
Dari segi ekonomi, eksport pertahanan Israel mencatatkan rekod tertinggi sebanyak AS$14.8 bilion pada 2024, dengan Asia-Pasifik menyumbang 23% daripada jumlah eksport. – ORFOnline, FMT
Secara geopolitik, apabila beberapa pasaran Eropah mengehadkan pembelian akibat krisis Gaza, Israel secara strategik telah beralih kepada kerjasama keselamatan yang signifikan dengan rakan serantau Asia. – ORFOnline
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab