Menurut Laporan Survei Tenaga Buruh, tenaga buruh adalah semua orang yang berada dalam kumpulan umur bekerja, sama ada bekerja atau menganggur. Umur bekerja adalah semua orang yang berumur 15 hingga 64 tahun, sama ada berada dalam tenaga buruh atau di luar tenaga buruh. Luar tenaga buruh pula bermaksud, semua orang yang tidak dikelaskan sebagai bekerja atau menganggur dikategorikan sebagai luar tenaga buruh. Kategori ini terdiri daripada suri rumah, pelajar, mereka yang telah bersara, tidak berkeupayaan dan tidak berminat untuk mencari pekerjaan.
Kadar penyertaan tenaga buruh ditakrifkan sebagai ukuran untuk mengetahui kadar guna tenaga buruh dalam sektor ekonomi di sesebuah negara. Jumlah tenaga buruh Malaysia pada tahun 2020 adalah sebanyak 15.67 juta orang (termasuk 711.0 ribu orang yang menganggur), iaitu 14.96 juta orang yang bekerja.
Kadar KPTB negara adalah sebanyak 68.4 peratus, berada di belakang negara-negara seperti Thailand 74.1 peratus, Jepun 79.6 peratus, China 69.8 peratus, dan Indonesia 70.4 peratus. Di dalam negara, Bumiputera mencatatkan kadar KPTB paling rendah 64.9 peratus diikuti oleh Lain-lain 65.5 peratus, India 67.7 peratus dan Cina 71.1 peratus. Hal ini didorong oleh beberapa faktor, antaranya kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan Bumiputera.
Kadar Pendapatan Isi rumah Melayu paling rendah
Di Malaysia, isi rumah dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu Terendah 40% (B40), Pertengahan 40% (M40) dan Tertinggi 20% (T20). Kumpulan isi rumah B40 merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM4,850. Isi rumah yang berpendapatan di antara RM4,850 hingga RM10,970 diklasifikasikan sebagai kumpulan isi rumah M40 manakala T20 adalah kumpulan isi rumah yang berpendapatan RM10,971 dan lebih. Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (2020) pengelasan baharu isi rumah adalah:
Berdasarkan kadar garis kemiskinan baru yang ditetapkan oleh kerajaan, nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional ialah pada kadar RM2,208 iaitu dalam kelompok sepuluh peratus terbawah isi rumah. Berdasarkan Laporan Pendapatan Isi Rumah 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan pada 10 Julai 2020 yang lalu, Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi penduduk yang mempunyai kadar pendapatan isi rumah di bawah paras kemiskinan (kurang daripada RM2000 sebulan) iaitu 10 peratus, diikuti oleh India, 6.6 peratus dan Cina 5.9 peratus.
Selain itu, lebih separuh daripada populasi Bumiputera berada dalam kelompok B40 iaitu sebanyak 57.53 peratus, India pula sebanyak 55.9 peratus dan Cina sebanyak 44.9 peratus.
Secara purata pendapatan Cina adalah lebih tinggi dari kaum lain dengan nilai RM9,895 sebulan. Ini diikuti oleh India dengan pendapatan purata RM8,216 dan Bumiputera RM7,093 sebulan. Cina turut merekodkan pendapatan penengah tertinggi dengan nilai RM7,391, sementara India dan Bumiputera masing-masing mencatatkan pendapatan penengah sebanyak RM5,981 dan RM5,420.
Berdasarkan laporan-laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan negara jelas menunjukkan bahawa, Bumiputera masih lagi jauh ketinggalan dalam pasaran buruh di Malaysia berbanding Cina dan India. Ini boleh dilihat melalui kadar KPTB, jumlah Siswazah yang menganggur, peratusan penduduk yang bekerja dalam sektor mahir serta jumlah pendapatan isi rumah yang paling rendah berbanding kaum-kaum lain.
Langkah untuk membangunkan polisi yang holistik perlu segera dilaksanakan bagi meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam pasaran buruh di Malaysia. Intervensi dasar perlu diperhalusi dalam meningkatkan saiz pendapatan isi rumah Bumiputera dengan meningkatkan lebih ramai Bumiputera ke dalam sektor pekerjaan mahir yang menyumbang kepada kadar pendapatan yang lebih tinggi.