Kekurangan cip semikonduktor akan berterusan sepanjang tahun – Moody’s Analytics

KUALA LUMPUR, 28 Julai — Kekurangan cip semikonduktor global yang bermula tahun lepas akan berterusan melanda industri tertentu untuk sepanjang tahun ini, kata Moody’s Analytics.

Dalam analisisnya bertajuk ‘What to Expect: Semiconductor Chip Shortage’, Moody’s Analytics menyatakan bekalan kemungkinan akan terus berkurangan hingga tahun 2022.

Ia berkata kekurangan itu antara lain disebabkan oleh pelbagai generasi cip yang dihasilkan oleh pengeluar, dan juga kecenderungan ke arah kerja secara ‘remote’  yang menyebabkan peningkatan permintaan untuk alat elektronik yang memerlukan cip generasi terkini.

“Proses pembuatan setiap generasi cip sangat rumit. Ini bermaksud menghasilkan bekalan baharu untuk mana-mana generasi cip adalah sesuatu yang mencabar.

“Dan kerana cip dari generasi yang berlainan dihasilkan secara berbeza, membina kilang baharu yang memberi tumpuan kepada cip-cip tertentu mungkin hanya dapat mengurangkan kekurangan bagi pengguna cip berkenaan, dan tidak semestinya dapat mengatasi kekurangan untuk pasaran secara keseluruhan,” katanya.

Kereta, khususnya, menggunakan cip dari teknologi lama yang kurang mendapat bekalan baharu.

Setiap kereta memerlukan beribu-ribu cip berbanding dengan telefon atau alat elektronik lain yang hanya memerlukan segelintir cip generasi terkini.

Moody’s Analytics menyatakan pandemik telah mempercepat pendigitalan di tempat kerja dan di rumah, justeru, permintaan untuk semua jenis alat elektronik telah melonjak.

Ia turut menambah pengkomputeran awan dan permainan telah meningkat dengan ketara kerana peningkatan aktiviti jarak jauh atau ‘remote’ dan mereka memerlukan cip generasi baharu.

Ia menyatakan dasar kerajaan juga akan kian memainkan peranan kerana semakin banyak kerajaan melihat pergantungan kepada cip dan teknologi sebagai sesuatu yang penting untuk menjaga keselamatan negara.

“Kami menjangkakan usaha oleh beberapa kerajaan di Amerika Utara, Eropah dan Asia baru-baru ini untuk meningkatkan pengeluaran dan mewujudjkan rantaian bekalan tempatan akan berkembang lebih jauh, terutama ketika pandemik ini agar bekalan global dapat beroperasi dengan cekap,” tambahnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kerugian RM40.7 bilion PMKS pada 2020 adalah terbesar bagi sektor itu setakat ini – MEDAC

Next Post

Wayang Politik Sekular di Tunisia

Related Posts
Skip to content