Konflik Israel-Iran: Matlamat Sebenar di Sebalik Perang

Terdapat beberapa matlamat utama yang ingin dicapai oleh Israel melalui serangan ini. Pertama, adalah untuk mengheret Amerika Syarikat agar terlibat secara langsung dalam konflik ini. Kedua, adalah untuk menjatuhkan rejim pemerintahan Iran, dalam usaha membentuk tekanan maksimum (maximum pressure) terhadap kepimpinan Republik Islam tersebut. Siri serangan yang dilancarkan oleh Israel sejak setahun lalu telah menyasarkan usaha untuk melumpuhkan “paksi penentangan” (axis of resistance).

Ini termasuk pembunuhan komander tentera dan pemusnahan struktur pemerintahan proksi Iran seperti Hizbullah di Lubnan, pasukan tentera Al-Quds (sayap luar IRGC) di Syria, dan militan Syiah di Iraq.

Matlamatnya adalah untuk melemahkan kekuatan ketenteraan dan keupayaan operasi proksi Iran di rantau tersebut. Serangan-serangan ini boleh dikatakan sebagai “prelude” kepada serangan langsung terhadap Iran yang sedang berlangsung ketika ini.

Dalam misi terbaharu yang dinamakan Operation Rising Lion – merujuk kepada simbol bendera lama Iran di bawah pemerintahan Shah Pahlavi – Israel menyasarkan tiga objektif utama:

  1. Pembunuhan kepimpinan tertinggi dalam angkatan tentera dan saintis nuklear Iran.
  2. Serangan terhadap tapak pelancaran peluru berpandu dan dron, sama ada melalui operasi ketenteraan terbuka atau infiltrasi ejen Mossad dari dalam Iran.
  3. Serangan ke atas fasiliti nuklear Iran, seperti di Fordow dan Natanz. Walau bagaimanapun, serangan ini tidak memberikan kesan signifikan terhadap aktiviti pengayaan uranium, kerana fasiliti-fasiliti tersebut dibina jauh di bawah tanah dan direka bentuk untuk menahan impak serangan udara konvensional.

Hakikatnya, satu-satunya senjata yang diketahui mampu menembusi fasiliti bawah tanah seperti Fordow ialah bom buatan Amerika Syarikat jenis GBU-57 Massive Ordnance Penetrator (MOP) seberat 30,000 paun. Bom ini dipercayai mampu menembusi sehingga 200 kaki (61 meter) ke bawah tanah sebelum meletup, dan boleh digugurkan secara berturut-turut untuk menghasilkan kesan “penggerudian” ke dalam bumi secara progresif.

Namun begitu, Israel tidak memiliki keupayaan ini, kerana satu-satunya pesawat yang mampu membawa GBU-57 adalah pengebom strategik B-2 milik tentera udara Amerika Syarikat, dan senjata ini tidak dijual kepada mana-mana negara.

Oleh itu, jika serangan terhadap Fordow ingin dilakukan dari udara, ia hanya boleh berlaku dengan keputusan rasmi daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk campur tangan secara langsung dalam konflik ini. Setakat ini, presiden dilihat masih belum membuat keputusan muktamad, namun terdapat petunjuk bahawa beliau semakin terbuka kepada kemungkinan tersebut.

Lebih daripada itu, menurut laporan dalaman yang tersebar, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dikatakan telah mencadangkan secara langsung kepada Washington agar misi khas dilaksanakan untuk membunuh Ayatollah Ali Khamenei, Pemimpin Tertinggi Iran, sebagai langkah pemusnahan struktur kepimpinan revolusi Iran.

Namun begitu, cadangan ini ditolak oleh Presiden Donald Trump, yang percaya bahawa langkah tersebut akan mencetuskan peperangan serantau berskala besar dan mungkin tidak terkawal.

Serangan Israel terhadap Iran ini juga bertujuan memastikan Israel kekal sebagai satu-satunya kuasa nuklear di rantau Asia Barat, sekaligus mengukuhkan dominasi geopolitik dan ketenteraan Israel sebagai hegemon serantau.

Dengan mengekang kebangkitan kuasa nuklear Iran, Israel dapat mengekalkan kedudukan strategiknya, bukan sahaja terhadap musuh tradisional seperti Tehran, tetapi juga dalam meneguhkan pakatan keselamatan bersama Amerika Syarikat dan negara-negara Arab, termasuk yang telah menjalinkan normalisasi hubungan melalui Abraham Accords.

Usaha ini dilihat penting untuk memastikan kebergantungan rantau kepada Israel sebagai kuasa keselamatan utama, dalam konteks perimbangan kuasa yang semakin genting di Timur Tengah.

Di pihak Iran pula? Apakah matlamat strategik yang ingin dicapai melalui serangan balas ini? 

Di pihak Iran pula, Iran mahu membuktikan bahawa ia bukan sekadar pasif. Iran mempunyai keupayaan tindak balas simetri dan asimetri. Melalui pelancaran ratusan peluru berpandu dan dron ke atas Tel Aviv, Haifa dan lokasi strategik lain di Israel, Iran menghantar mesej bahawa ia mampu untuk membalas dengan setara walaupun tanpa kelebihan teknologi seperti Israel.

Ia ingin mengembalikan semula daya gentar (deterrence) terhadap Israel dan sekutunya. Iran juga mempunyai doktrin supaya meningkatkan kos di pihak musuh, dalam misi menyerang Iran. Sebagai contoh kos yang dihabiskan Israel dianggarkan 1 bilion usd sehari untuk melancarkan serangan dan menahan serangan Iran, sementara Iran pula hanyalah USD 200 juta.  

Selain itu, situasi ini juga penting kepada kepimpinan revolusi untuk mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap mereka. Dalam situasi ekonomi yang parah akibat sekatan dan tekanan dalam negeri, konflik dengan Israel berfungsi sebagai penyatuan emosi dan ideologi rakyat. Rejim Iran boleh menggambarkan bahawa mereka adalah pelindung Islam, pelindung Baitul Maqdis dan penentang keras kepada barat dan Zionisme. 

Setahun selepas mengalami penguncupan kuasa di kalangan Axis of Resistance selepas diserang oleh Israel, Iran menjadikan konflik ini sebagai peluang untuk meningkatkan solidariti strategik dan kesalingbergantungan antara proksi-proksi syiah di rantau Timur Tengah. Iran mahu memberi isyarat bahawa ancaman kepada kewujudan Iran (sebagai penjaga Syiah) adalah ancaman kepada seluruh jaringan proksi. 

Selain itu, Iran juga mahu menguji sejauh mana Amerika Syarikat akan terus memberikan perlindungan mutlak kepada Israel, atau ianya mempunyai had. Sebarang kelewatan atau ketidaktegasan dari Washington akan digunakan oleh Iran untuk mengembangkan ruang rundingan. Iran mahu negosiasi semula perjanjian nuklear JCPOA. 

Dengan menjadikan serangan israel sebagai justifikasi Iran boleh meningkatkan sokongan domestik dan antarabangsa (terutama dari blok Timur seperti China dan Rusia) untuk mengukuhkan kedaulatan teknologi ketenteraan dan Nuklear. Ianya bagi terus menjadikan program nuklear Iran sebagai alat deterrence utama kepada pihak musuh. 

Akhir sekali, Iran berhasrat mahu meraih sokongan dunia Islam dan sokongan Global South. Iran ingin mengubah naratif serangan ini kepada kekejaman rejim Israel dan Iran diangkat sebagai hero kepada kemanusiaan dan Dunia Islam , sebagai satu-satunya pihak yang berani melawan hegemoni Zionis Israel dan juga Amerika Syarikat. 

Asyraf Farique

Ketua Pegawai Operasi, IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Totalenergies Tingkatkan Pegangan Dalam Aset Gas Malaysia Ketika Pegangan Tempatan Menyusut

Next Post

Mahkamah Persekutuan Batal Sebahagian Fatwa Sesat Terhadap SIS, Buka Ruang Fatwa Negeri Lain Dicabar

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.