Pendapat: Posisi Kerajaan Malaysia dalam Isu Palestin Masih Tidak Jelas?

Semalam saya meluangkan masa bersama pelajar dan rakyat Malaysia di salah satu negara Barat, berkongsi kefahaman dan perkembangan terhadap apa yang sedang berlaku di Palestin sekarang.

Salah satu soalan yang ditanya kepada saya ialah; apakah pendirian sebenar kerajaan Malaysia dalam isu yang sedang berlaku sekarang?

Soalan yang menarik bagi saya. Ini menandakan bagi mereka yang mengikuti berita Malaysia dari jauh, pendirian kerajaan Malaysia kelihatan kabur dan tidak jelas — adakah kerajaan benar-benar berpihak dengan perjuangan pembebasan, atau tidak berpihak atau lebih teruk, sudah mengikut apa yang Zionis mahukan?

Saya jawab dengan memberikan satu konsep yang perlu mereka faham dan jadikan bahan bedah utama untuk memerhati dan menjangka hala tuju pendirian kerajaan (sesiapapun yang naik jadi kerajaan, bukan kerajaan PMX sahaja) iaitulah konsep “kepentingan nasional” atau “national interest“.

Mana-mana Kementerian atau Menteri yang sedang “bersilat” dengan isu Palestin di Malaysia sekarang, akan membina kenyataan, pendirian, dan tindakan yang Malaysia boleh lakukan tanpa mengancam “kepentingan nasional” Malaysia. Ini premis yang dipegang dalam pentadbiran kerajaan, sefaham saya.

Namun kita perhatikan beberapa isyarat yang mengelirukan terbit dalam soal apa yang berlaku di Palestin sekarang dalam konteks pendirian atau tindakan kerajaan:

1. Dari satu sudut, PMX bercakap berkobar mengenai sokongan tidak belah bahagi kepada Palestin

2. Namun setahu saya juga sejak isu bermula (bahkan sebelumnya juga), tidak ada sebarang perbincangan dan usaha konkrit untuk membantu pejuang pembebasan Palestin di Gaza iaitu Gerakan Islam Hamas.

3. Kemudian keluar pula kenyataan ‘isu pokok’ oleh menteri mengenai usaha untuk memastikan rakyat Gaza dapat dikeluarkan (untuk selamatkan). Orang di sana berjuang untuk kekal tetapi kerajaan Islam berbincang untuk keluarkan?

4. Wisma Putra juga masih kekal berpegang dengan two-state solution yang merupakan sebuah ‘solusi kertas origami’ yang tidak pernah dihormati oleh Israel dan bercanggah dengan kehendak umat Islam iaitu kebebasan Palestin sepenuhnya.

5. Kemudian terkini ialah usaha US untuk menggunakan “senjata ekonomi” mereka dalam bentuk sanction kepada mana mana pihak atau negara yang menyalur bantuan kepada Hamas. Saya tidak pasti adakah dengan usaha ini akan menyebabkan Malaysia akhirnya menganggap Hamas sebagai pengganas yang dilarang untuk dibantu sebagaimana yang dikehendaki oleh Barat dan Zionis, demi menyelamatkan hubungan dagang bilateral kita dengan US, atau bagaimana?

Berdasarkan kepada campur-baur dan ketidakjelasan di manakah posisi kerajaan Malaysia dalam isu Palestin ini, dengan premis bahawa semua pendirian ini diukur menurut “kepentingan nasional” Malaysia, kita boleh membuat inferens awal bahawa apa yang disebut sebagai “kepentingan nasional” itu sendiri tidak konsisten dan jelas secara inti patinya.

Dalam erti kata lain, adakah perjuangan pembebasan Palestin itu merupakan satu “kepentingan nasional” Malaysia ataupun “kepentingan nasional” Malaysia itu ada acuannya sendiri, di mana pembebasan Palestin juga tertakluk samada ia selari atau tidak dengannya.

Persoalan ini adalah persoalan yang crucial bagi saya kerana sebagaimana kejayaan mendirikan negara haram Israel itu telah mendefinisikan dan membentuk acuan “national interest” bagi negara barat seperti US, saya berpandangan bahawa “it is essentially within our national interest” untuk melawan penjajahan Israel dan membebaskan semula Palestin.

Namun persoalan ini hanya boleh dijawab jika kerajaan dan negara ini boleh menjawab dengan jelas apakah yang menjadi epistemologi atau falsafah yang membentuk “national interest” kita? Sebagaimana disebut oleh Finnemore (1996) — “How do states know what they want?

Persoalan ini dan pendefinisian semula konsep kepentingan nasional bagi negara kita adalah sesuatu yang penting dan urgent; lebih-lebih lagi apabila kita lihat begitu banyak perubahan geopolitik dunia dan ketegangan domestik yang berlaku di negara kita, tidak dapat diurus dan diatasi oleh kerajaan secara konkrit dan konsisten menurut kehendak kita sendiri.

Syed Ahmad Israa’
CEO IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

IRIS Dijemput ke Perbincangan Meja Bulat Sekuriti Makanan di Parlimen

Next Post

Kepentingan Ekonomi dan keselamatan dorong Arab Saudi Realisasi Normalisasi Israel

Related Posts
Skip to content