BANGI, 5 RAMADAN – Kenyataan yang dibuat oleh YB Rafizi Ramli bahawa wujud kemungkinan unsur kongsi gelap membolosi pentadbiran negara wajar diberikan perhatian serius oleh masyarakat dan pihak berkuasa. Isu ini tidak boleh dilihat sebagai polemik politik semata-mata, sebaliknya perlu difahami dalam kerangka keselamatan negara, integriti institusi dan ketahanan sistem pentadbiran.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sebahagian rakyat mula mempersoalkan fenomena yang dilihat sebagai “kesongsangan” dalam pelaksanaan undang-undang, apabila terdapat keadaan di mana pihak yang melakukan kesalahan seolah-olah tidak dikenakan tindakan, manakala individu atau kumpulan lain pula berdepan penguatkuasaan yang keras. Walaupun persepsi ini perlu dinilai secara objektif, persoalan yang timbul ialah sama ada wujud pengaruh tidak rasmi yang mempengaruhi keputusan dalam sistem pentadbiran dan penguatkuasaan negara?
Untuk memahami isu ini, konsep kongsi gelap perlu difahami dari sudut sejarah dan sosiologi. Istilah kongsi atau triad sering dikaitkan dengan masyarakat Cina di kawasan seperti China, Taiwan dan Hong Kong, serta dalam komuniti diaspora Cina di Asia Tenggara. Dari sudut sejarah, kongsi bukan semata-mata organisasi jenayah seperti yang sering digambarkan dalam budaya popular.
Dalam banyak keadaan, kongsi merupakan satu bentuk organisasi sosial dan ekonomi yang memainkan peranan penting dalam kehidupan komuniti, khususnya dalam kalangan pelombong, petani dan pedagang pada abad ke-18 dan ke-19. Kongsi berfungsi sebagai institusi perlindungan, penyelesaian pertikaian dan pentadbiran dalaman bagi komuniti yang berada jauh dari struktur kerajaan rasmi.
Dalam konteks sejarah China, pertubuhan rahsia atau secret societies juga mempunyai dimensi politik. Sejak zaman pemerintahan Dinasti Qing, terdapat kumpulan-kumpulan yang membentuk jaringan persaudaraan rahsia dengan tujuan menentang pemerintahan dinasti tersebut. Jaringan ini bukan sahaja berfungsi sebagai organisasi sosial, tetapi juga sebagai alat mobilisasi politik dan ketenteraan.
Tokoh revolusi seperti Sun Yat-sen diketahui mempunyai hubungan dengan rangkaian pertubuhan rahsia yang membantu gerakan revolusi untuk menjatuhkan pemerintahan lama dan menubuhkan republik. Fakta sejarah ini menunjukkan bahawa organisasi yang pada asalnya bersifat sosial boleh berkembang menjadi entiti politik dan ketenteraan yang berpengaruh.
Di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan, kongsi gelap memainkan peranan yang signifikan dalam struktur masyarakat, khususnya di kawasan perlombongan. Organisasi seperti Ghee Hin dan Hai San bukan sahaja mengawal kegiatan ekonomi, tetapi juga memiliki kekuatan bersenjata dan struktur kepimpinan yang tersusun.
Dalam sesetengah keadaan, kesetiaan ahli kongsi lebih tertumpu kepada kepimpinan organisasi berbanding kepada pemerintah kolonial atau struktur tradisional tempatan. Ini menunjukkan bahawa kongsi gelap pernah berfungsi sebagai sistem kuasa alternatif dalam masyarakat.
Selepas pengharaman oleh pihak British, banyak organisasi kongsi gelap mengalami transformasi. Sebahagiannya lenyap, tetapi sebahagian lagi berevolusi dengan menyesuaikan diri kepada persekitaran baharu. Ada yang beralih kepada kegiatan perniagaan sah, menubuhkan persatuan kebudayaan atau dewan perniagaan, dan dalam sesetengah kes, menjalin hubungan dengan struktur politik. Evolusi ini menjadikan organisasi tersebut lebih sukar dikenalpasti, kerana sempadan antara kegiatan sah dan tidak sah menjadi semakin kabur.
Dalam era globalisasi, modus operandi organisasi jenayah terancang, termasuk triad, menjadi semakin kompleks dan bersifat transnasional. Aktiviti mereka tidak lagi terhad kepada perjudian haram, penyeludupan atau pemerasan, tetapi melibatkan sektor ekonomi yang sah, termasuk pelaburan, logistik, pembinaan dan perdagangan.
Melalui penguasaan ekonomi, organisasi ini berupaya membina pengaruh yang lebih luas, termasuk kemungkinan mempengaruhi keputusan politik dan pentadbiran. Dalam keadaan tertentu, rasuah menjadi alat utama untuk memastikan kelangsungan operasi dan melindungi kepentingan mereka.
Ancaman sebenar kongsi gelap terhadap negara bukan hanya terletak pada jenayah yang dilakukan, tetapi pada potensi mereka untuk membentuk rangkaian pengaruh yang mampu menembusi institusi. Apabila organisasi tidak rasmi mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi dasar, pelantikan atau keputusan penguatkuasaan, maka kedaulatan institusi negara boleh terhakis secara perlahan.
Fenomena ini sering dirujuk dalam kajian politik sebagai “state capture”, iaitu keadaan di mana institusi negara dipengaruhi oleh kepentingan tertentu sehingga dasar awam tidak lagi sepenuhnya mencerminkan kepentingan rakyat.
Selain itu, masyarakat juga perlu memahami bahawa ancaman terhadap negara pada abad ke-21 tidak semestinya datang dalam bentuk peperangan konvensional. Ancaman boleh muncul dalam bentuk pengaruh ekonomi, rangkaian kewangan haram, penyusupan dalam institusi dan manipulasi maklumat. Organisasi jenayah terancang yang mempunyai sumber kewangan besar dan jaringan antarabangsa berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan sistem ekonomi global, menjadikan mereka lebih sukar dikesan berbanding pada masa lalu.
Kesedaran awam mengenai isu ini perlu diperkukuh melalui pendidikan dan wacana yang matang. Media, institusi akademik dan badan pemikir mempunyai peranan penting untuk mengkaji dan membincangkan fenomena jenayah terancang secara objektif dan berasaskan data. Perbincangan yang rasional dan berfakta dapat membantu masyarakat memahami isu ini tanpa terjebak dalam stereotaip atau sentimen yang boleh memecahbelahkan.
Akhirnya, kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada integriti institusinya. Jika institusi pentadbiran, penguatkuasaan dan kehakiman berfungsi dengan bebas, profesional dan telus, maka ruang untuk pengaruh tidak rasmi akan menjadi sempit. Sebaliknya, kelemahan dalam tadbir urus akan membuka peluang kepada pelbagai bentuk penyusupan, sama ada oleh kepentingan ekonomi, politik atau jenayah terancang.
Oleh itu, peringatan tentang kemungkinan ancaman kongsi gelap terhadap pentadbiran negara harus dilihat sebagai satu seruan untuk memperkukuh sistem, meningkatkan ketelusan dan memastikan bahawa negara sentiasa ditadbir berasaskan undang-undang dan kepentingan rakyat, bukannya oleh kuasa yang beroperasi di sebalik tabir dan dualism sistem yang membarah.
Asyraf Farique, Ketua Pegawai Operasi (COO) IRIS Institute
Pautan artikel asal oleh: TV Pertiwi
Sumber:
Chu, Y. K. (2000). The Triads as Business. Routledge.
Mak, L. F. (2019). The Knots of the Chinese Secret Societies in Early Singapore. In C. G. Kwa & B. L. Kua (Eds.), A General History of the Chinese in Singapore (pp. 153-168). World Scientific Publishing Company. https://doi.org/10.1142/9789813277649_0007
Purbrick, M. (2019). Patriotic Chinese Triads and Secret Societies: From The Imperial Dynasties, to Nationalism, and Communism. Asian Affairs, 50(3), 305-322.
Purcell, V. (1951). The Chinese in Southeast Asia. Oxford University Press
Wang, P. T. (1977). The Origins of Chinese Kongsi with Special Reference to West Borneo. [Master’s thesis, The Australian National University].
Xia, M. (2008). Organizational Formations of Organized Crime in China: perspectives from the state, markets, and networks. Journal of Contemporary China, 17(54), 1-23.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi