Langkau ke kandungan
Landskap 5 minit bacaan Oleh fokusmyadmin

Malaysia Kuatkuasa RCEP, 7 Usul Lulus & Kedutaan Singapura-Tel Aviv

Isi Kandungan

  1. Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuat kuasa di Malaysia
  2. 7 usul lulus di Dewan Rakyat, Sosma Tidak Diluluskan
  3. Singapura buka kedutaan di Tel Aviv, perkukuh hubungan dengan Israel 

Bagi pelanggan Eksklusif, Sila Login terlebih dahulu untuk baca laporan penuh

Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuat kuasa di Malaysia

Pada 21 Januari yang lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan kenyataan media mengumumkan bahawa Malaysia telah menghantar Instrumen Ratifikasi atau Instrument of Ratification (IOR) kepada Sekretariat ASEAN pada 17 Januari 2022 (MITI).

Mengikut artikel 20.6 perjanjian RCEP, IOR yang telah dihantar secara matangnya akan dikuatkuasakan selepas 60 hari dari tarikh penghantaran. Dengan itu, tarikh 18 Mac 2022 menandakan bahawa Malaysia telah mengimplementasi perjanjian RCEP bersama 11 negara yang lain iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei, Cambodia, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan yang telah melengkapkan proses ratifikasi (The Malaysian Reserve).

RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia dengan pasaran meliputi 15 negara dengan gabungan populasi 2.3 bilion orang atau 30 peratus daripada jumlah penduduk dunia, menyumbang kira-kira 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global. Ini juga merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama yang melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan dibawah peraturan yang sama. 

Menurut MITI, Malaysia dijangka menerima manfaat terbesar perjanjian itu berbanding negara ASEAN yang lain dengan unjuran peningkatan sebanyak AS$200 Juta khususnya dari segi keuntungan dalam eksport (Berita Harian). RCEP akan menyentuh beberapa aspek iaitu; i) Penghapusan atau pengurangan duti import; ii) Promosi, kemudahan, perlindungan dan liberalisasi pelaburan; iii) Perlindungan hak harta intelek, kemudahan dalam e-Dagang; dan iv) Kerjasama ekonomi dan teknikal (KPMG). Sementara itu, Indonesia antara negara ASEAN yang menangguhkan ratifikasi RCEP pada suku pertama tahun ini, disamping Filipina dan Myanmar (Jakarta Post). 

7 usul lulus di Dewan Rakyat, Sosma Tidak Diluluskan

Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 melabuhkan tirai pada 24 Mac 2022 setelah bersidang 16 hari bermula 28 Februari lepas. Persidangan ini menyaksikan tujuh rang undang-undang diluluskan termasuk Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022. 

Pindaan Perlembagaan antara lain bagi mengecualikan pendaftaran pemilih secara automatik kepada kerabat diraja. Ia termasuklah Raja dan pasangan, Yang di-Pertua negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan serta mana-mana individu lain daripada disenaraikan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). RUU itu meminda Perlembagaan dengan menambah Perkara 119A(Berita Harian). Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan ini perlu bagi memastikan terdapat proses semak dan imbang dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Antara yang turut diluluskan ialah Rang Undang-undang Syarikat Labuan (Pindaan) 2022; Rang Undang-undang Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan (Pindaan) 2022; dan Rang Undang-undang Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam Labuan (Pindaan) 2022. Selain itu, Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2021; Rang Undang-undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2021) 2022 turut diluluskan sepanjang persidangan ini (Sinar Harian). Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja juga turut diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 27 kementerian selesai menggulung perbahasan yang berlangsung selama empat hari bermula 14 Mac.

Walaubagaimanapun, persidangan kali ini menyaksikan usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi, tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat. Usul ini dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa subseksyen itu bermula 31 Julai ini dan bercadang mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari mengikut peruntukan akta sama bagi memberi ruang masa cukup kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan kes kesalahan-kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks (Utusan). Keputusan yang tidak menyebelahi blok kerajaan itu diputuskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 85 ahli Parlimen bersetuju, manakala 86 lagi tidak bersetuju dan 49 tidak hadir.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM mengambil maklum dan menerima keputusan Dewan Rakyat tersebut. Katanya, keputusan tersebut bermakna kesalahan di bawah Bab VI Kanun Keseksaan (kesalahan terhadap negara), Bab VIA kanun sama (kesalahan berkaitan keganasan), Bab VIB kanun sama (kesalahan jenayah terancang), Bab IIIA Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Langkah Khas Menentang Keganasan Luar Negara 2015 selepas 31 Julai akan menggunakan peruntukan mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa seperti Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk melaksanakan penahanan melalui proses reman di mahkamah (Harian Metro).

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 turut mengumumkan satu Sidang Khas Parlimen bagi membentangkan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti akan diadakan pada 11 April ini.

Singapura buka kedutaan di Tel Aviv, perkukuh hubungan dengan Israel 

Singapura akan membuka kedutaan pertamanya di Israel setelah menjalinkan hubungan dengan negara Israel hampir enam dekad lalu sejak 1965. Perkara ini diumumkan oleh Menteri Luar Negeri Singapura, Dr Vivian Balakrishnan yang melakukan lawatan rasmi ke Israel pada 21-23 Mac 2022 (Ministry of Foreign Affairs Singapore). Ini merupakan lawatan berprofil tinggi oleh pemimpin Singapura sejak lawatan rasmi ke Israel oleh Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong pada tahun 2016 yang lalu bertemu Benjamin Netanyahu (Pejabat Menteri Singapura) .

Balakrishnan bertemu Perdana Menteri Giliran dan Menteri hubungan luar Israel, Yair Lapid serta Menteri Inovasi, Sains dan Teknologi Israel, Orit Farkash-Hacohen bagi membincangkan pengukuhan jalinan kerjasama dua negara tersebut dalam pelbagai bidang antaranya seperti teknologi pertanian makanan, teknologi kesihatan, Artificial Intelligence (AI) dan pendigitalan. Bagi memperkukuh kerjasama tersebut, Singapura akan membuka kedutaannya di Tel Aviv sebagai pusat untuk membantu syarikat Singapura yang ingin mengembangkan kerjasama mereka dengan bakal rakan kongsi di Israel (Ministry of Foreign Affairs Singapore). Pada masa ini, Lim Chuan Poh adalah duta luar bukan pemastautin Singapura yang dilantik ke Israel. Lim Chuan Poh merupakan bekas tentera yang berkhidmat 23 tahun dalam Tentera Singapura sebelum dilantik menjadi Ketua Angkatan Pertahanan Singapura (The Straits Times).

Balakrishnan dan Farkash-Hacohen turut menandatangani MoU bagi kerjasama dalam AI antara Pejabat Digital Kerajaan & Negara Pintar Singapura dan Kementerian Inovasi, Sains & Teknologi Israel. Ia bertujuan untuk mempercepatkan kerjasama rentas sempadan dalam AI dan menyokong pembangunan dan penggunaan AI bagi manfaat kedua-dua negara tersebut. The Singapore-Israel Industrial Research & Development Foundation (SIIRD), pusat kajian Israel-Singapura telah mendanai 190 projek bersamaan USD120 Juta sejak penubuhannya pada tahun 1997.

Balakrishnan sebelum itu juga telah bertemu dengan beberapa pegawai Palestin di Ramallah termasuk Perdana Menterinya, Mohammed Shtayyeh (Ministry of Foreign Affairs Singapore).

Disediakan Oleh:
Unit Pantauan Semasa
IRIS Institute

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditanda *