Isu undi 18 tahun harus dilihat lebih daripada sekadar orang muda matang atau tidak. Tetapi siapa yang akan beroleh manfaat dari pengelasan usia seperti ini? Dan apa matlamat besarnya apabila takrif sosial ini (usia) dirombak?
Dunia hari ini menyaksikan beberapa takrif sosial dirombak dalam memberikan iluminasi kesaksamaan. Seperti contoh jantina. Dalam kamus dunia orde baru pada hari ini, pengelasan manusia berdasarkan jantina mahu dirombak dan dihapuskan.
Tiada lagi apa itu dinamakan lelaki, mahupun wanita. Jika kita melihat buku-buku falsafah sosial barat, seperti The Study of Man, Linton mengatakan pada awal bukunya, “Man’s origin is still unknown”. Asal usul manusia itu tidak diketahui. Maka segala perkara selepas itu yang datang untuk mengkategorikan manusia juga dalam ketidakpastian. (Dalam erti kata lain aku berhak mencorakkan ikut apa aku suka).
Oleh kerana itu kita lihat betapa caca-merba hari ini dengan segala macam isu-isu berkait dengan gender. Seawal isu-isu LGBT sehingga perjuangan feminisme. Setiap pihak di seluruh dunia ditekan untuk menerima pengelasan bahawa jantina itu sebenarnya tiada pengelasan. Setiap orang berhak menjadi lelaki atau wanita.
Berbalik kepada usia. Kenapa mereka mahu merombak takrif usia itu sendiri? Jika sebelum ini di dalam pasaran kerja manusia dibahagikan mengikut pengelasan usia. Sebagai contoh, pengelasan bersara itu dilakukan untuk mengatakan bahawa orang berusia itu tidak lagi berfungsi dengan baik dalam pasaran kerja dan seharusnya bersara.
Produktiviti mereka rendah, maka keuntungan kepada para pemodal kapitalis akan menjadi rendah. Sedangkan dalam Islam tiada istilah bersara. Setiap manusia mengikut kategori umur memiliki potensi dan peranan tertentu dan seharusnya mereka bekerja dan memberi manfaat sehingga ke akhir usia.
Kini sekali lagi takrif usia itu mahu diubah di dalam bidang politik. Perbahasan di barat jika kita melihat isu ini dinamakan “perang antara generasi, atau intergenerational warfare”. Jika kita melihat dalam contoh kajian kes di barat, sebelum ini kelas digunakan untuk membuat unjuran siapa yang akan mereka undi?
Di Britain pada tahun 1974, jika anda ahli kelas bekerja anda akan tiga kali mengundi Parti Buruh berbanding konservatif. Tiada lagi polarisasi undi berdasarkan usia. Namun kini, ketika undian pada tahun 2017. Umur menjadi faktor terpenting dalam pemilihan undi di Britain.
Pengundi 30-an 2 kali lebih berpotensi untuk mengundi parti Buruh berbanding warga tua 70 tahun ke atas dan begitulah sebaliknya.
Bayangkan apa yang akan berlaku di Malaysia? Sudahlah parti-parti kita dipolarisasikan berdasarkan faktor kaum dan agama. Kini dipisah-pisahkan lagi atas faktor usia. Apabila perkara ini berlaku, struktur sosiopolitik, ekonomi dan sosial masyarakat akan menjadi semakin huru-hara dan caca-merba. Implikasinya bukan sahaja masyarakat akan terus terpisah dalam bidang politik, tetapi juga dalam setiap bidang yang lain seperti ekonomi dan juga sosial.
Apabila generasi tua dan muda tidak lagi bersinergi, hidup di dalam dunia berbeza, berfikir dalam corak yang berbeza, memiliki ideologi yang berbeza, negara akan menjadi semakin huru-hara dan sukar untuk dikawal. Akhirnya dalam keadaan politik seperti ini, siapa yang akan untung?
Oleh:
Asyraf Farique
Ketua Editor Fokus/ Pegawai Penyelidik IRIS