PENDAHULUAN
Tindakan Singapura menghentikan sementara pembinaan pusat datanya dari tahun 2019 hingga 2023 akibat kekurangan tanah dan jumlah penggunaan tenaga yang tinggi telah mendorong kepada kepesatan pembangunan pusat data di Malaysia terutamanya Johor. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia telah meluluskan pelaburan pusat data dan perkhidmatan awam bernilai RM114.7 bilion antara 2021 hingga 2023. Nilai pelaburan di Johor sahaja pada tahun 2023 mencatat RM70 bilion yang mana mengatasi Selangor yang mencatat RM60 bilion[1]. Menurut laporan Baxtel, Johor kini tersenarai sebagai pusat data terbesar di Malaysia dan ke-9 terbesar di Asia Pasifik[2].
Walaubagaimanapun, terdapat pandangan kritikal yang menunjukkan bahawa manfaat pembangunan ini lebih cenderung kepada Singapura berbanding Malaysia.
i) Tanah di Johor memberi manfaat kepada kekurangan tanah Singapura
Kekurangan tanah dan jumlah penggunaan tenaga yang tinggi telah memaksa tindakan Singapura untuk menghentikan sementara pembinaan pusat datanya dari tahun 2019 hingga 2023. Tindakan ini secara tidak langsung telah mendorong kepada kepesatan pembangunan pusat data di Johor.
Lokasi Johor yang bersebelahan dengan Singapura telah mendorong banyak syarikat multinasional yang berpusat di Singapura untuk mengembangkan operasinya sambil memanfaatkan harga tanah yang lebih murah, kos pembinaan, serta perbelanjaan operasi terutamanya tarif elektrik bagi pusat data mereka. Profesor Madya Lee Poh Seng dari fakulti kejuruteraan di Universiti Nasional Singapura (NUS) menyatakan bahawa lokasi Johor disebut sebagai lokasi yang memberi “keuntungan strategik”. Menurut beliau, “Lokasi yang berhampiran ini memudahkan koordinasi operasi dan akses fizikal yang cepat untuk tujuan pengurusan dan penyelenggaraan serta memastikan perniagaan dapat memanfaatkan kelebihan di kedua-dua lokasi,” kata Prof Madya Lee[3].
Permintaan pusat data oleh syarikat asing telah mempengaruhi trend peningkatan aktiviti jual beli tanah di Johor. Trend ini dipandu oleh syarikat-syarikat hartanah seperti Crescendo, UEM Sunrise, EcoWorld, dan Paragon Globe Bhd. Crescendo mencatatkan jualan tanah bernilai RM792 juta dalam 7 bulan, termasuk penjualan tanah bernilai RM447.64 juta kepada Microsoft Payment (Malaysia) dan RM117 juta kepada ST Telemedia Global Data Centres pada November 2023. UEM Sunrise juga menjual dua bidang tanah di Iskandar Puteri kepada syarikat pusat data, yang mungkin melibatkan Singapore Telecommunications Ltd. Pada masa yang sama, Microsoft Payment memperoleh tanah 123 ekar di Kulai daripada EcoWorld bernilai RM402.3 juta, dan Paragon Globe Bhd menjual tanah 48 ekar kepada Bridge Data Centres Malaysia IV Sdn Bhd[4].
Trend ini memperlihatkan Johor sebagai talian hayat terbaik kepada Singapura sebagai solusi bagi keperluan infrastruktur data yang diperlukan oleh syarikat-syarikat multinasional yang ingin mengembangkan pusat datanya di Singapura[5].
ii) Pembangunan Pusat Data di Johor selari dengan Strategi SG+ Singapura untuk jadi hub industri di Asia Tenggara
Pembangunan pusat data di Johor sememangnya selari dengan strategi SG+ yang dilancarkan Singapura pada tahun 2021. SG+ adalah satu inisiatif yang dilancarkan oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB) untuk menarik syarikat multinasional menubuhkan ibu pejabat serantau mereka di Singapura. Menurut laporan Keppel DC REIT, Inisiatif SG+ bertujuan untuk meningkatkan daya saing ekonomi Singapura dengan cara menjadikan negara tersebut sebagai hab utama industri atau pusat kawalan utama bagi operasi syarikat multinasional, sambil memanfaatkan kelebihan geografi dan ekonomi kawasan jiran seperti Johor dan Batam serta mengurangkan kos operasi[6].
Encik Asher Ling, ketua pegawai teknologi dan pengarah urusan PDG, Singapura, memberitahu bahawa pengembangan ke Johor adalah selaras dengan strategi SG+. Beliau menyebut faktor tarikan Sedenak seperti “jarak dan kesalinghubungan”. “Selain infrastruktur kuasa dan kesalinghubungan yang kukuh, kawasan ini juga menawarkan kedekatan dengan pasaran teknologi berpotensi tinggi seperti Singapura, yang hanya kira-kira 40 minit jauhnya,” tambah beliau[7].
Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura yang dicadangkan juga dijangka akan meningkatkan pelaburan pusat data di Johor, kata Dr Ong. Satu memorandum persefahaman (MOU) mengenai SEZ telah ditandatangani antara Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura, Gan Kim Yong, dan Menteri Ekonomi Malaysia, Mohd Rafizi Ramli pada 11 Januari, dengan perjanjian penuh dijangka akan dimeterai menjelang akhir tahun ini[8].
Perjanjian ini akan menyaksikan Singapura dan Johor bekerjasama untuk meningkatkan aliran barangan dan tenaga kerja di sempadan. Singapura dan Malaysia juga sedang meneroka inisiatif lain menuju ke arah SEZ, termasuk sistem pelepasan bebas pasport di kedua-dua sisi sempadan.Kerajaan negeri Johor sedang mengusahakan agar SEZ dapat direalisasikan menjelang suku pertama 2025 kerana mereka berharap untuk memanfaatkan “kekuatan pelengkap” kedua-dua pihak merentasi sektor termasuk ekonomi digital dan pusat data.
iii) Lokasi Strategik Johor kurangkan kos Operasi Untuk Syarikat Pusat Data Singapura
Lokasi Johor yang bersebelahan dengan Singapura telah mendorong banyak syarikat multinasional yang berpusat di Singapura untuk mengembangkan operasinya sambil memanfaatkan harga tanah yang lebih murah, kos pembinaan, serta perbelanjaan operasi terutamanya tarif elektrik bagi pusat data mereka. Misalnya, harga tanah di Johor adalah sekitar 60% lebih murah berbanding Singapura, sementara kos elektrik juga lebih rendah sebanyak 20%.
Menurut laporan dari Cushman & Wakefield, Malaysia secara keseluruhan, termasuk Johor, mempunyai tarif elektrik yang kompetitif pada kadar $0.04 per kilowatt-hour (kWh) berbanding Singapura yang kadar tarif elektriknya adalah sekitar $0.24 per kWh[9],[10] (TNB, SP Group). Ini menunjukkan penjimatan enam kali ganda dalam kos elektrik, yang merupakan komponen penting dalam operasi pusat data.
Air, elektrik, dan sambungan internet adalah elemen penting bagi pusat data, dan selebihnya adalah kos tanah dan pembinaan, cukai, dan insentif kerajaan. Menurut laporan Societe Generale Investment Bank, kawasan yang paling dekat dengan sumber air dan elektrik yang stabil sentiasa menjadi pilihan bagi pembinaan pusat data berbanding membinanya di kawasan yang terpencil. Kawasan yang terpencil dan tidak memiliki sumber tersebut akan memerlukan jumlah kos yang tinggi[11].
Disebabkan pusat data perlu dibina jauh daripada kawasan perumahan dan komersial atas faktor keselamatan, pemaju akan memilih untuk membina pusat data di kawasan taman industri sedia ada. Pada masa ini, pusat data utama di Johor termasuklah Senina Science Park, Yang Zhongli Green Data Center Park, Nusa Cemerlang Industrial Park, dan Nusa Jaya Science Park.
iv) Syarikat MNC Asing terutamanya Singapura akan mengambil manfaat sumber domestik negara
Penganalisis di Affin Hwang Capital dalam laporan NST menggambarkan permintaan sumber tenaga daripada pusat data ketika ini. Katanya, TNB menerima permohonan bekalan daripada 74 pusat data dengan jumlah permintaan maksimum melebihi 11,000MW (kira-kira 40.6 peratus daripada kapasiti terpasang Semenanjung Malaysia). Pada tahun 2023, TNB telah membekalkan elektrik kepada 9 pusat data dengan jumlah permintaan tenaga sehingga 635MW. Manakala, TNB dijangka menyalurkan jumlah permintaan tenaga sehingga 700MW kepada 9 projek pusat data pada tahun ini[12].
Fang Zhiqiang, pengurus penyelidikan dan perunding di JLL Malaysia, mengatakan bahawa bekalan tenaga elektrik semasa Malaysia kepada pusat data kini adalah kira-kira 260 megawatt, dan dijangka meningkat kepada 860 megawatt menjelang akhir tahun 2025. Ini dianggarkan berdasarkan projek-projek sedia ada dan yang telah disahkan. Dengan mempertimbangkan semua projek pusat data, jumlah voltan berpotensi akan meningkat kepada 2270 megawatt menjelang akhir tahun 2027[13].
Pertumbuhan permintaan terhadap pusat data utamanya disebabkan oleh pengkomputeran awan, analisis data raya, perkhidmatan internet, dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan. Permintaan datang dari pelbagai bidang termasuk e-dagang, perkhidmatan kewangan, telekomunikasi, dan teknologi.
Bercakap mengenai kepesatan pusat data di Johor, Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman mengakui bekalan air dan elektrik menjadi masalah utama buat negeri itu. Menurutnya, meskipun menggalakkan pelaburan adalah penting, ia tidak sepatutnya mengorbankan keperluan tempatan dan domestik rakyat[14].
Berdasarkan laporan Suruhanjaya Tenaga 2020, meskipun industri hanya mewakili 0.3 peratus daripada bilangan pengguna elektrik di Malaysia berbanding domestik pada 82.1 peratus, kadar penggunaan elektrik oleh industri mencatatkan peratusan terbesar iaitu 44.9 peratus. Pada masa sama, Johor mencatatkan penggunaan elektrik ketiga tertinggi (18,361 GWj) di belakang Sarawak (27,779 GWj) dan Selangor (28,772 GWj)[15].
Setakat ini pusat data asing yang telah dibina dan bakal dibina melibatkan syarikat seperti DS Global Data, Bridge Data Centers (BDC), NextDC, Yondr, Vantage Data Centers, Amazon Web Services (AWS), Microsoft, Google, ByteDance, Alibaba Cloud dan Equinix.
KESIMPULAN
Pembangunan pusat data di Johor memang membawa manfaat ekonomi yang besar kepada Malaysia, khususnya dari segi pelaburan asing, peningkatan nilai tanah, dan peluang pekerjaan. Namun, terdapat kebimbangan bahawa manfaat yang lebih besar akan diperoleh oleh Singapura, terutama sekali kerana kebanyakan syarikat yang melabur di Johor berpusat di Singapura dan menggunakan Johor sebagai penghubung kepada infrastruktur mereka.
Johor dilihat sebagai penyelesaian yang strategik bagi Singapura yang menghadapi kekurangan tanah dan kos operasi yang tinggi. Ini memerlukan perhatian khusus oleh pihak berkuasa Malaysia untuk memastikan bahawa faedah ekonomi dan sumber tempatan dapat dimanfaatkan secara adil dan berimbang untuk kepentingan rakyat dan ekonomi negara.
Perlu juga ada langkah-langkah untuk menangani isu bekalan air dan elektrik di Johor bagi memastikan bahawa keperluan domestik tidak terjejas oleh kepesatan pembangunan pusat data. Kerjasama dan perancangan yang strategik antara kedua-dua negara adalah penting untuk memastikan pembangunan ini memberi manfaat yang optimum kepada kedua-dua pihak.
Dengan peningkatan permintaan terhadap teknologi digital dan data, Johor berpotensi menjadi hab penting bagi pusat data di rantau ini. Oleh itu, adalah penting bagi Malaysia untuk merangka strategi jangka panjang yang mengambil kira aspek ekonomi, sosial, dan persekitaran dalam pembangunan sektor ini.
Nota Kaki
Utusan Malaysia. (2023, June). Pelaburan pusat data faktor Johor atasi Selangor. https://www.utusan.com.my/nasional/2023/06/pelaburan-pusat-data-faktor-johor-atasi-selangor/ ↑
Baxtel. (n.d.). Johor data center. https://baxtel.com/data-center/johor ↑
Channel News Asia. (2023). Malaysia’s Johor aims to become data centre hub. https://www.channelnewsasia.com/asia/malaysia-johor-data-centres-nvidia-ytl-kulai-sedenak-sez-us-china-trade-war-4310496 ↑
Fokus.my. (2023). Trend penjualan tanah kepada pusat data asing meningkat di Johor: Syarikat hartanah Cina antara yang peroleh keuntungan besar. https://fokus.my/trend-penjualan-tanah-kepada-pusat-data-asing-meningkat-di-johor-syarikat-hartanah-cina-antara-yang-peroleh-keuntungan-besar/ ↑
Data Storage ASEAN. (2023). Navigating the evolution of data centre trends and challenges in Southeast Asia. https://datastorageasean.com/expert-opinions-opinion-byline/navigating-evolution-data-centre-trends-and-challenges-southeast-asia ↑
Keppel DC REIT. (2023). Annual report 2023. https://www.keppeldcreit.com/en/file/investor-relations/publications/annual-report/kdcr-ar-2023.pdf ↑
Channel News Asia. (2023). Malaysia’s Johor aims to become data centre hub. https://www.channelnewsasia.com/asia/malaysia-johor-data-centres-nvidia-ytl-kulai-sedenak-sez-us-china-trade-war-4310496 ↑
Fokus.my. (2023). Peranan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam memenuhi keperluan nasional Singapura. https://fokus.my/peranan-zon-ekonomi-khas-johor-singapura-js-sez-dalam-memenuhi-keperluan-nasional-singapura/ ↑
Tenaga Nasional Berhad. (n.d.). Pricing & tariffs. https://www.tnb.com.my/residential/pricing-tariffs ↑
SP Group. (n.d.). Tariff information. https://www.spgroup.com.sg/our-services/utilities/tariff-information ↑
Moomoo. (2023). Comprehensive analysis of the Malaysian data center from 0 to 1. https://www.moomoo.com/community/feed/comprehensive-analysis-of-the-malaysian-data-center-from-0-to-112720827121670 ↑
New Straits Times. (2024, May). Surge in energy demand to be driven by increase in data centre projects among others. https://www.nst.com.my/business/corporate/2024/05/1056197/surge-energy-demand-be-driven-increase-data-centre-projects-among ↑
Moomoo. (2023). Comprehensive analysis of the Malaysian data center from 0 to 1. https://www.moomoo.com/community/feed/comprehensive-analysis-of-the-malaysian-data-center-from-0-to-112720827121670 ↑
The Edge Malaysia. (2023). Rise in data center investments in Johor. https://theedgemalaysia.com/node/713622 ↑
Suruhanjaya Tenaga. (2020). Malaysian electricity supply industry outlook 2020. https://www.st.gov.my/contents/files/download/99/MAISPEM_2020_compressed.pdf ↑
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute