IRIS Dijemput ke Perbincangan Meja Bulat Sekuriti Makanan di Parlimen

IRIS Institute berterima kasih kepada TSIS atas jemputan ke Perbincangan Meja Bulat (RTD) Belanjawan 2024: Sejauh Mana Sekuriti Makanan Diberi Penekanan yang diadakan pada 1 November 2023 di bangunan parlimen.

Berikut merupakan beberapa kenyataan yang disumbangkan IRIS Institute dalam perbincangan tersebut.

  1. IRIS mempunyai kerangka tersendiri dalam meneliti persoalan keselamatan makanan iaitu dengan mengukur elemen keselamatan makanan ini dalam kerangka pembangunan kuasa nasional Malaysia.
  2. Selepas pandemik COVID-19, situasi keselamatan makanan memperlihatkan senario yang lebih kritikal di samping permasalahan sedia ada yang tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.
  3. Berdasarkan laporan RMK-11, dasar guna tanah negara daripada tahun 2010 – 2020 tidak menunjukkan kecenderungan untuk merubah orientasi guna tanah yang lebih mementingkan persoalan keselamatan makanan Malaysia.
  4. Penggunaan tanah bagi export-oriented crop seperti sawit dan getah masih mendominasi sehingga 89% dari keseluruhan tanah pertanian. Food crop bagi tujuan tanaman makanan dan cash crop bagi tujuan pengkomersialan berkongsi 10.6% tanah pertanian selebihnya.
  5. Dari sudut ekosistem rantaian makanan, isu kartelisasi dan sindiket dalam industri makanan dan kebergantungan yang tinggi kepada barangan import semakin kritikal selepas pandemik COVID-19. Namun begitu, langkah penyelesaiannya tidak dibincangkan dengan baik dalam perancangan negara; dasar makanan negara mahupun belanjawan tahunan yang dirangka.
  6. Bajet R&D untuk menghasilkan penemuan teknologi yang bersesuaian dengan konteks Malaysia juga adalah rendah.

Malaysia memerlukan kaedah penyelesaian menyeluruh dan berfokus. Justeru itu, IRIS mencadangkan beberapa langkah strategik sebagai usaha intervensi kepada permasalahan semasa yang ada di Malaysia, iaitu;

  1. Malaysia seharusnya meletakkan isu makanan ini sebagai satu sasaran elemen kuasa kepada pembangunan kuasa nasional Malaysia. Pengaruh makanan sebagai elemen kuasa seharusnya boleh menjadi sebuah alat meningkatkan pengaruh Malaysia di geopolitik serantau dan dunia. Dengan potensi geografi dan kedudukan strategik negara, Malaysia memerlukan satu perubahan orientasi paradigma yang betul dan bersesuaian dengan kedudukan Malaysia. Hala tuju kepada isu keselamatan makanan Malaysia tidak cukup hanya sekadar menjamin kecukupan makanan mahupun hanya sekadar mensasarkan kedaulatan makanan yang sempit dalam konteks tidak lagi bergantung kepada sumber luar sahaja.
  2. Malaysia juga memerlukan sebuah national lab yang menyatukan kesepaduan R&D makanan baik dari sudut strategi, bekalan makanan dan teknologi. Ia memerlukan kerjasama dengan beberapa kementerian utama, universiti dan institusi penyelidikan secara bersama dari sudut keilmuan, tenaga pakar dan penyelidikan.
  3. Malaysia perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi merangka strategi dan mencadangkan ekosistem dan undang-undang penguatkuasaan baharu kepada industri makanan. Perkara ini perlu diwujudkan bagi menyelesaikan isu kartel industri, sindiket makanan dan kebergantungan kepada sumber luar.

Aiman Faudzi
Ketua Jabatan Komunikasi Strategik, IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Malaysia sertai Proses rundingan WHO CA+ dan Pindaan IHR(2005), Risiko Luaskan Kuasa WHO atasi kuasa YDPA, Perlembagaan dan Kerajaan

Next Post

Pendapat: Posisi Kerajaan Malaysia dalam Isu Palestin Masih Tidak Jelas?

Related Posts
Skip to content