Kepentingan Ekonomi dan keselamatan dorong Arab Saudi Realisasi Normalisasi Israel

Normalisasi Israel telah bermula sejak tahun 1979 lagi melalui Camp David Accord diantara Israel dan Mesir. (DOS) Seterusnya, pada tahun 1994, presiden AS, Bill Clinton menjadi saksi perjanjian normalisasi diantara Jordan dan Israel di Wadi Arava. (Brookings) Kemudian, Arab Saudi pernah mencuba menormalisasi hubungan dengan Israel pada tahun 2002 menggunakan Arab Peace Initiative, namun gagal. Pada tahun 2020, usaha normalisasi Israel berjaya diteruskan oleh A.S melalui Abraham Accord yang menyaksikan penyertaan 4 negara arab iaitu bahrain, Morocco, Sudan, dan UAE. (APNews).

Selepas Arab Saudi menolak untuk menyertai normalisasi Israel ketika Abraham Accord, A.S melakukan beberapa perjumpaan dan rundingan bersama Arab Saudi melalui Jared Kushner pada 2020 (TOT) dan kemudian pada 2021 oleh Jake Sullivan (Axios). Lawatan Joe Biden ke Jeddah pada 2022 merupakan langkah signifikan proses normalisasi Saudi-Israel apabila Arab Saudi bersetuju membuka ruang udaranya untuk penerbangan komersial Israel. (TOT) Pada tahun yang sama, Putera Mahkota Mohammed bin Salman mengesahkan rundingan normalisasi dan menyenaraikan syarat-syarat normalisasi Israel kepada Amerika Syarikat. (i24news)

Antara syarat Arab Saudi ialah menubuhkan pakatan pertahanan menyerupai NATO, perolehan senjata moden A.S, dan kerjasama nuklear. (INSS) Arab Saudi sememangnya sudah bergantung kepada A.S daripada sudut perolehan senjata moden. Sebagai contoh, pada tahun 2017, jualan senjata A.S ke Saudi merangkumi THAAD, HMMWVs, AH-64D Apache, UH-60M Blackhawk, dan pelbagai lagi jenis senjata dan kelengkapan. (NPS)  Namun, sistem pertahanan tersebut dianggap tidak cukup untuk menangkis serangan dan ancaman daripada Iran.

Pakatan pertahanan menyerupai NATO dengan A.S membolehkan Arab Saudi dilindungi sekiranya diserang oleh Iran atau proksinya. Menurut Artikel 5 NATO, “serangan ke atas satu sekutu dianggap sebagai serangan ke atas semua”. (Reuters) Pakatan pertahanan seperti ini menyerupai pakatan pertahanan diantara A.S dan Israel. Dalam erti kata lain, sekiranya Arab Saudi diserang, A.S akan turut serta dalam peperangan dan menghantar bantuan ketenteraan serta kewangan.

Arab Saudi juga meminta A.S menyediakan teknologi dan kemahiran kuasa nuklear bagi pembinaan loji jana kuasa. Kerjasama program nuklear awam tertumpu kepada penjanaan kuasa dengan menggunakan sumber Uranium yang dilombong dalam Arab Saudi.  Namun, menurut MBS, kuasa nuklear tersebut akan ditambah baik dan bertukar menjadi senjata nuklear sekiranya Iran berjaya memiliki senjata nuklear. Arab Saudi juga dilaporkan mendesak supaya diberikan hak untuk menghasilkan bahan api nuklear. (ACA) Pada ketika ini, Iran terikat dengan perjanjian nuklear meskipun mempunyai jumlah uranium yang cukup untuk membina 8-10 bom nuklear. (CommonsLibrary)

Dalam sisi lain pula, Arab Saudi menganggap perjanjian normalisasi Israel adalah satu perkara yang menguntungkan daripada sudut ekonomi. Ketika sidang kemuncak G20 di New Delhi iaitu sebulan sebelum berlaku peperangan Taufan Al-Aqsa, India, Arab Saudi, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu dan Eropah mengumumkan satu perjanjian Koridor Ekonomi India-Timur Tengah dan Eropah (IMEC). Koridor ekonomi ini bertujuan untuk memudahkan transit perdagangan, tenaga dan data ke, dari dan antara India, UAE, Arab Saudi, Jordan, Israel dan Eropah.  (WION)

Menurut laporan, projek ini menjadi topik utama perbincangan rahsia diantara Israel dan Amerika Syarikat dan ia juga merupakan hasil daripada perjanjian Abraham Accord diantara Israel dan UAE. (Fokus) Melalui perjanjian ini, Arab Saudi menuju ke arah normalisasi yang lebih besar melalui integrasi ekonomi yang menghubungkan Arab Saudi dan Israel.

Kesimpulannya, Arab Saudi mempunyai terlalu banyak kepentingan dalam perjanjian normalisasi Israel. Ia memerlukan A.S bagi menjamin keselamatannya dan Israel bagi menjamin kemakmuran ekonominya. Persoalan pembebasan Palestin bukan lagi menjadi persoalan utama Arab Saudi, malah naratif yang dibawa mengenai isu Palestin sudah mula menunjukkan perubahan iaitu daripada mendesak Israel mengosongkan wilayah yang ditaklukinya dalam perang 1967 kepada setakat memberi bantuan kemanusian dan berkongsi keprihatinanya terhadap apa yang berlaku di Palestin.

Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute

**Rumusan Berita IRIS atau News Brief adalah produk rumusan berita mingguan IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Rumusan ini dipilih berdasarkan pantauan berita IRIS (RADAR) yang dipantau sepanjang minggu tersebut dan dibuat penjelasan lebih terperinci untuk kefahaman pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pendapat: Posisi Kerajaan Malaysia dalam Isu Palestin Masih Tidak Jelas?

Next Post

Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Transisi Malaysia Ke Arah Agenda Bebas Karbon 2050?

Related Posts
Skip to content