Petronas dilaporkan dalam perbincangan lanjutan dengan syarikat AS, Commonwealth LNG, bagi memuktamadkan perjanjian bekalan LNG jangka panjang, sebagai sebahagian usaha kerajaan mengurangkan defisit dagangan dan mengelak tarif balas tinggi daripada pentadbiran Trump.
Menurut laporan Reuters, dua daripada empat sumber industri yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai rundingan tersebut memaklumkan bahawa Petronas sedang mempertimbangkan pembelian sekurang-kurangnya satu juta tan LNG setahun (mtpa) daripada Commonwealth LNG. – Reuters
“Perbincangan kini berada pada peringkat lanjutan bagi sekurang-kurangnya satu juta tan setahun,” kata salah seorang sumber. – Reuters
Malaysia sebelum ini menyatakan bahawa ia tidak akan mengambil tindakan balas terhadap Amerika Syarikat susulan pengenaan tarif timbal balik, sebaliknya terbuka untuk mencari penyelesaian bersama terhadap kebimbangan yang dibangkitkan oleh pentadbiran Trump. – Berita Harian
Dalam lawatannya ke Washington baru-baru ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengetuai delegasi Malaysia telah mencadangkan empat bidang utama untuk rundingan: mengurangkan defisit dagangan, menangani halangan bukan tarif, memperkukuh perlindungan serta keselamatan teknologi, dan meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala. – Berita Harian
Malaysia bukan satu-satunya negara di rantau ini yang mengambil langkah sedemikian. Sekurang-kurangnya enam lagi ekonomi Asia – termasuk Jepun, Korea Selatan, India, Taiwan, Bangladesh dan Vietnam – turut menunjukkan minat untuk mendapatkan bekalan LNG dari syarikat-syarikat AS bagi mengurangkan defisit dagangan dan mengelak tekanan tarif. – Reuters
Pada 21 Januari lalu, Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (DOE) telah menamatkan penangguhan kelulusan eksport LNG yang diperkenalkan pada awal 2024 dan menyambung semula pemprosesan permit bagi projek baharu sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pengeluaran tenaga negara itu. – Reuters, Energy.Gov
Langkah ini membuka ruang kepada Commonwealth LNG untuk memperoleh lesen eksport pada Februari bagi loji LNG miliknya di Cameron, Louisiana, yang berkapasiti 9.5 juta tan setahun. – The Edge
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.