PRN: Sambut Baik calon Wanita, Imbangi Warlord Politik Negeri

Sumber: Bloomberg

Landskap politik negara ketika ini dihiasi dengan perseteruan peribadi antara figura-figura besar dengan kes saman-menyaman, ulasan-ulasan provokatif yang tidak menguntungkan rakyat serta laungan slogan yang hanya bersifat tempelan tanpa menyelesaikan permasalahan sebenar yang dihadapi pengundi di luar sana.

Suasana semasa ini menimbulkan keraguan terhadap fungsi sistem demokrasi negara melalui pilihan raya negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi, yang sepatutnya membawa Malaysia ke arah kestabilan yang menjamin kesejahteraan penduduk.

Adakah PRN kali ini memaksa kita sebagai pengundi untuk menilai semula karakter ahli politik yang negara hasilkan melalui pendidikan dan norma masyarakat yang ‘menerima’ apa yang ‘normal’ dan ‘diterima’ selaku pemimpin?

Politik Alpha Male – adakalanya membawa sedikit keseronokan dalam berpolitik. Para pengundi berpeluang untuk melihat sikap bravado yang ditonjolkan oleh pemimpin-pemimpin lelaki dalam mengetengahkan solusi masing-masing.

Sebagai pengundi, kita pasti mahukan mereka yang berani dan lantang memperjuangkan solusi bagi permasalahan tempatan, baik di Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri.

Akan tetapi, bersikap keterlaluan dalam perkara ini dengan penambahan unsur tohmahan peribadi dan mengambil kesempatan at the wrong time and wrong place akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

PRN kali ini menyaksikan pakatan politik masing-masing menawarkan calon wanita di setiap negeri yang bertanding. Setakat ini, Perikatan Nasional (PN) telah meletakkan sejumlah 12 calon; tujuh calon wanita di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor manakala lima lagi di Kedah.

Gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) pula mengetengahkan enam calon wanita di Kelantan sahaja. Pada masa yang sama BN menawarkan sekurang-kurangnya sembilan calon wanita di enam negeri.

Manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula mengetengahkan sejumlah 10 calon wanita untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Inisiatif daripada pakatan-pakatan politik ini sewajarnya dipuji, walaupun jumlah calon wanita untuk PRN kali ini masih di tahap yang rendah.

Karakter calon wanita yang lebih prihatin, kurang berminat untuk perseteruan peribadi dan lebih sensitif dengan keperluan semasa berbanding bergelumang dengan masalah dan kepentingan peribadi – memberi peluang bagi landskap politik negara untuk lebih dinamik, berkebajikan dan positif.

Dengan syarat, calon-calon wanita yang bertanding dipilih atas dasar kompetensi dan merit, dan bukannya menjadi tempat ‘parking’ ayahanda masing-masing.

Semoga PRN kali ini membawa kesejahteraan yang lebih baik buat rakyat Malaysia di negeri-negeri yang terlibat.

Hanis Noor
Penyelidik, Bahagian Kajian IRIS Institute 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Chip War: From Cold War to Trade War and Cyber War

Next Post

Adakah Ekonomi Madani Membangunkan Kuasa Nasional?

Related Posts
Skip to content