Adakah Ekonomi Madani Membangunkan Kuasa Nasional?

Perubahan landskap kuasa di rantau Asia Tenggara, terutama selepas pandemik COVID-19 mengesani kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang kuat apabila Malaysia dilihat semakin mundur berbanding negara-negara jiran.

Kehadiran kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat, terutama yang melibatkan keselamatan sempadan wilayah negara, sedang meletakkan Malaysia dalam percaturan yang semakin berisiko dan tidak memberikan Malaysia kuasa wewenang yang memihak kepada kepentingan nasional.

Negara-negara jiran seperti Indonesia semakin maju dengan wawasan pembangunan mereka, Impian Indonesia 2015 – 2085: Berdaulat, maju, adil dan makmur; Filipina dengan wawasan Ambisyon Natin 2040: Filipinos enjoy a strongly rooted, comfortable, and secure life.

Thailand pula dengan wawasan Thailand Vision’s 2037: A developed country with security, prosperity and sustainability in accordance with the Sufficiency Economy Philosophy; manakala Singapura dengan wawasan Smart Nation mereka.

Gagasan-gagasan ini berjaya menunjukkan kepada kita bahawa setiap bangsa yang memaknai kuasa nasional mereka mampu untuk bangkit selepas ditimpa krisis berskala global, sehingga memiliki semangat dan daya upaya untuk mencorak pembangunan mengikut acuan nasional.

Kuasa nasional yang berdaulat adalah kuasa yang dibangunkan sehingga mampu menentukan nasib bangsa dan negaranya secara mandiri.

Kerangka kuasa ini memerlukan pengupayaan bangsa secara proaktif, strategik, berterusan dan menyeluruh terhadap sumber-sumber nasional, untuk mencapai kekuatan dalam bentuk kuasa wewenang, pengaruh dan kuasa kepimpinan di peringkat serantau dan antarabangsa, yang boleh menjamin kedaulatan dan mencapai kemakmuran sejagat.

Pengupayaan bangsa secara proaktif, strategik, berterusan dan menyeluruh adalah hasil keupayaan sesuatu bangsa untuk memanfaatkan sumber secara berterusan, dan membuat unjuran serta jangkaan masa depan terhadap cabaran dan realiti semasa.

Hasilnya, kuasa nasional yang dicapai adalah kuasa wewenang yang menggabungkan semua elemen kekuatan untuk membentuk pengaruh dan kuasa kepimpinan, yang berupaya untuk menolak segala jenis permusuhan dan ancaman terhadap negara, serta menjamin keselamatan dalaman dan luaran, serta berupaya mengagalkan semua percubaan untuk merobek kemerdekaan nasional.

Demi semangat ini, IRIS Institute bakal menganjurkan siri yang pertama bagi Dialog Kuasa Nasional (DKN) yang bertemakan Ekonomi Madani pada 19 Ogos 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, UKM-GSB.

DKN merupakan sebuah platform perbincangan bagi ahli akademik, para ilmuan, pemikir, pegawai kerajaan, ahli politik serta pihak yang berkepentingan yang dianjurkan IRIS Institute secara bersiri sepanjang tahun bagi menggalakkan perbahasan idea kerangka berskala nasional.

Persoalan utama yang akan dilontarkan dalam DKN Siri 1 kali ini adalah, adakah kerangka Ekonomi Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan memaknai kerangka pembangunan kuasa nasional?

Sudah tiba masanya Malaysia sebagai sebuah kuasa untuk memiliki wawasan yang berteraskan sebuah kerangka kuasa yang jelas dan menyeluruh, sehinggakan cita-cita tersebut diterjemahkan ke dalam bentuk perancangan pembangunan nasional yang menyelesaikan permasalahan rakyat secara tuntas dan membina kehidupan insaniyyah yang sejahtera.

Semoga dengan penganjuran dialog strategik ini dapat menggalakkan perbincangan kerangka dalam membentuk wawasan pembangunan kuasa nasional.


Syed Ahmad Israa’ bin Syed Ibrahim
Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Previous Post

    PRN: Sambut Baik calon Wanita, Imbangi Warlord Politik Negeri

    Next Post

    Model Persyarikatan Ekonomi Nasional Bukan Formula Baharu, Bahkan pernah Gagal

    Related Posts
    Skip to content