PENDAHULUAN
Industri perlombongan adalah antara industri mandiri utama bagi meningkatkan ekonomi sesebuah negara.
Industri ini boleh dianggap setara dengan industri pertanian, perladangan dan komoditi makanan yang bersumberkan sumber asli dan hasil bumi. Bezanya, hasil bumi daripada perlombongan dimanfaatkan untuk industri pembuatan dan pembinaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan pemodenan negara. Pembinaan perumahan dan bangunan menggunakan konkrit yang berasaskan besi dan batu kapur. Pembuatan kenderaan menggunakan aluminium, kuprum dan timah. Begitu juga pembuatan telefon pintar yang menggunakan unsur-unsur nadir bumi (REE), emas dan timah sebagai bahan utama.
Kini, negara pengeluar sumber mineral dunia yang utama di dunia adalah China. Banyak faktor menjadikan China mampu berdikari termasuklah memiliki kekayaan sumber mineral dan keluasan negara sendiri.
KEKAYAAN SUMBER MINERAL
China telah merekodkan penemuan 171 jenis mineral sehingga tahun 2003, 158 daripada mineral tersebut telah dinilai sebagai rizab terbukti (proved reserves), yang merangkumi 10 mineral tenaga, 54 mineral berlogam dan 91 mineral bukan logam serta 3 sumber air bawah tanah. Bukan itu sahaja, jumlah longgokan mineral yang wujud adalah 18,000 di seluruh China. Selain itu, China juga memiliki mineral tenaga seperti minyak, gas, uranium dan geoterma; mineral berlogam seperti bijih besi, mangan, tembaga dan aluminium; manakala mineral bukan logam pula seperti grafit, sulfur dan fosforus.
FOKUS NEGARA
Selepas membentuk Xinhua atau China Baru pada tahun 1949, aktiviti penyiasatan geologi melibatkan eksplorasi sumber mineral telah diperkuat dengan begitu ketara sebagai langkah pertama bagi membina ekonomi kendiri. Program Langkah Strategik Pembangunan Industri Perlombongan Menyeluruh Dan Menjurus oleh pihak pemerintah, China telah menjadi negara utama dalam pengeluaran sumber mineral dan industri perlombongan. Agensi Penyiasatan Geologi China (China Geological Survey (CGS)) yang bertanggungjawab menemukan sumber mineral bukan minyak seperti gas.
Bagi petroleum pula, aktiviti pencarian diberikan kepada syarikat-syarikat milik kerajaan negeri China seperti National Offshore Oil Corporation, China National Petroleum Corporation, China National Refinery Corp dan Sinopec. Sektor perlombongan ini telah menjadi prioriti utama dalam pengurusan guna tanah di China. Hal ini dibuktikan melalui pengisytiharan daerah-daerah yang digunakan untuk perlombongan dalam suatu tempoh atau sehingga sumber mineral habis dikeluarkan, seperti di Bayan Obo, Jingxing, Yingshouingzhi dan banyak lagi. Selepas sumber mineral habis dikeluarkan, pemulihan atau pembangunan semula tanah di kawasan tersebut juga telah dirangka agar masih memberi manfaat kepada rakyat.
DANA
Pada tahun 1999, Agensi Penyiasatan Geologi China (China Geological Survey (CGS)) telah diberikan projek Pusingan Baru Survei Tanah dan Sumber Seluruh Negara untuk dilaksanakan selama 12 tahun dengan peruntukan 1 bilion Yuan (RM 0.65 bilion) setahun. CGS ialah sebuah jabatan kerajaan yang diletakkan di bawah Kementerian Tanah dan Sumber Asli China. Sekitar 30% hingga 40% daripada peruntukan tahunan ditumpukan kepada sektor mineral bukan minyak – gas. Pada tahun 2019 pula, China mengumumkan nilai pelaburan tetap sebanyak 24% dalam industri perlombongan negara. Pelaburan ini berjaya meningkatkan pengeluaran sumber mineral negara antara 2% hingga 31%. Hal ini menunjukkan sektor sumber mineral telah menjadi keutamaan bagi negara China.
TRANSFORMASI KERJA
Peranan CGS dapat dilihat melalui pemetaan geologi asas dan mengemaskini peta-peta geologi lama, penilaian sumber mineral berdasarkan zon-zon metalogen, dan R&D dalam teori-teori geosaintifik. Aspek teknologi turut ditekankan melalui pembangunan teknologi pengesanan dan analisis mineral serta teknologi informasi. Kerja-kerja ini melibatkan 30,000 kakitangan teknikal merangkumi 5,000 projek berkaitan geologi. Penambahbaikan penyiasatan geologi yang dilakukan adalah penumpuan pada lapisan geologi yang lebih dalam dan di pinggir bekas-bekas lombong atau lombong-lombong sedia ada, terutamanya di wilayah Barat. Keperluan ini didokong dengan pengupayaan ahli-ahli geologinya dari segenap aspek pengetahuan, kemahiran teknikal yang kukuh serta cara kerja yang dibentuk demi pembangunan ekonomi China.
DAYA TEKNOLOGI
Implikasi kemajuan teknologi terhadap China pada masa kini, mampu melaksanakan pendigitalan maklumat mineral menggunakan teknologi yang dibangunkan sendiri, pangkalan data sumber mineral global, eksplorasi geokimia penembusan dalam, eksplorasi geofizik awangan, penderiaan jauh dan penggerudian dalam dengan ketepatan tinggi. Penggunaan kemajuan teknologi tersebut digunakan dalam perlombongan nadir bumi di Bayan Obo, pembangunan telaga minyak -gas Daqing dan banyak lagi.
POLISI DITAMBAH BAIK
Pada masa yang sama, polisi dan peraturan berkaitan sumber mineral sentiasa disemak dan ditambah baik. Perancangan terkini adalah perancangan sumber mineral negara yang disokong penuh oleh dewan negara, seperti yang dilakukan oleh CGS yang telah mengubah polisi berkaitan perkongsian dan capaian maklumat sumber mineral negara kepada mudah dicapai oleh orang awam dan pelabur, sekaligus menggalakkan sektor ekonomi melalui kegiatan perlombongan.
RANTAIAN INDUSTRI
Industri perlombongan atau huluan dalam eksploitasi sumber mineral di China juga berkait dengan keupayaan industri pertengahan dan industri hiliran tempatan. Kelebihan China adalah memiliki ketiga-tiga bahagian industri ini, yang dilihat sejajar dengan kepesatan pembangunan negara dan peningkatan populasi rakyat. Kebanyakan telefon pintar yang digunakan di serata dunia seperti Huawei, Vivo, Oppo dan Xiaomi, dikilangkan di China menggunakan sumber mineral tempatan termasuklah tembaga, tungsten, litium, kobalt dan unsur-unsur nadir bumi yang lain.
DOKONGAN PENYELIDIK
Selain kerja-kerja eksplorasi sumber mineral oleh agensi dan syarikat kerajaan, universiti dan pusat penyelidikan juga diberi peranan besar dalam membangun industri perlombongan. Sebagai contoh, China University of Geosciences yang ditubuhkan pada tahun 1952 melalui projek National Key Universities bagi membantu urusan kerajaan pusat, dan terlibat dalam Projek 211 yang bertujuan meningkatkan taraf penyelidikan yang berkaitan dalam meningkatkan sosio-ekonomi rakyat.
Pada tahun 2019 sahaja, China dilaporkan menyumbang sehingga USD 36 bilion, iaitu 2.5% daripada GDP negara ke dalam penyelidikan berkaitan sains dan teknologi. Dapat dilihat bagaimana China memberi dokongan penuh kepada penyelidik-penyelidik tempatan di mana hasil kajian menjadi rujukan utama dalam menambah baik industri berkaitan sumber mineral negara.
PENUTUP
Kejayaan China untuk meningkatkan industri perlombongan kendiri boleh dicontohi. Faktor pembangunan industri ini adalah fokus kerajaan, dana, transformasi kerja, daya teknologi, penambah baikkan polisi, sokongan rantaian industri dan sokongan penyelidikan, selain patriotisme yang diterap sejak kecil. Kemajuan-kemajuan yang telah dicapai menjadikan China mampu mengintip dan menjarah sumber mineral negara-negara luar, sama ada melalui cara lembut mahupun sebaliknya. Malaysia sepatutnya mempunyai kemampuan memajukan sektor ekonomi berteraskan sumber mineral sendiri dengan lebih baik dengan kelebihan agama Islam yang menjadi asas dalam tuntutan pemeliharaan alam.
Oleh:
Fakhruddin Afif Fauzi
Pegawai Geologi.
Ahli Institut Geologi Malaysia
Rujukan-rujukan utama:
- CGS 1999 – 2010 National Geological Survey Achievements http://en.cgs.gov.cn/Achievement/ngs/201603/t20160309_266160.html
- China’s Policy on Mineral Resources https://en.cgs.gov.cn/laws/ps/201603/t20160309_266132.html
- Tang, J., Zhang, T., Zhou, P., & Zheng, R., 2015. An analysis of mineral resources distribution and investment climate in the ‘One Belt, One Road’ Countries https://www.researchgate.net/publication/286855670_An_analysis_of_mineral_resources_distribution_and_investment_climate_in_the_’One_Belt_One_Road’_Countries
- China Mineral Resources Annual Report 2018
- China’s funding for science and research to reach 2.5 per cent of GDP in 2019 https://www.scmp.com/news/china/science/article/2189427/chinas-funding-science-and-research-reach-25-cent-gdp-2019
- Mining in China: Overview https://uk.practicallaw.thomsonreuters.com/w-011-1348?transitionType=Default&contextData=(sc.Default)&firstPage=true
- https://web.archive.org/web/20090612071118/http://www.moe.edu.cn/edoas/website18/52/info25052.htm
*Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Fokus.my