Ramalan Belt and Road Initiative(BRI) China Pasca COVID-19

Siapa sangka bencana pandemik hari ini merupakan antara ‘game changer’ terawal dekad ini yang telah mengubah aturan perancangan seluruh negara? Apa yang pasti kali ini ialah setiap negara pasti berdepan seluruh kemungkinan akan kemelesetan ekonomi, dan terpulang kepada keberkesanan kerajaan masing-masing bagi memulihkan kesengsaraan yang telah dan bakal ditanggung oleh rakyat dalam jangka masa panjang.

Artikel ini akan merumuskan ramalan projek Belt and Road Initiative(BRI), projek ekonomi penuh harapan China yang mampu mengangkat namanya sebagai kuasa ekonomi besar terkuat. Namun segalanya kelihatan samar-samar kerana satu masalah besar akibat pandemik ini iaitu pembiayaan projek. Akibat polisi ‘total lockdown’, sebanyak 5 juta peluang pekerjaan sedia ada telah hilang dan bakal terus meningkat naik kepada angka 9 juta pada hujung tahun ini.

Keadaan sedia ada ini telah meningkatkan kadar pengangguran sehingga 6.2% yang direkodkan pada Februari lepas. Segala fokus pembiayaan kini terpaksa dialihkan bagi membantu rakyat yang terkesan teruk akibat kehilangan peluang pekerjaan.

Projek BRI ini pada asalnya merupakan matlamat ekonomi utama Presiden China, Xi Jinping pada tahun 2013 bagi mengembangkan potensi ekonomi China sebagai salah satu kuasa besar, terutamanya ketika negara itu mencapai kadar pertumbuhan tahunan hampir 8%.

Walaupun sehingga kini, ramalan menjangkakan jumlah keseluruhan perbelanjaan sekadar mencapai 545 bilion USD, satu perlapan daripada 4 trilion USD, situasi pandemik ini bakal menjejaskan komitmen kerajaan Parti Komunis China (CCP) dalam kedua-dua politik domestik dan antarabangsa.

Melihat dari kepentingan nasional, CCP lebih cenderung dalam komitmen mengekalkan pengaruh politik mereka berbanding mengembangkan ekonomi. Dan kecenderungan ini lebih relevan pada hari ini, melihatkan pelbagai cabaran politik antarabangsa yang masih lagi berlarutan, daripada perang dagang terhadap Amerika Syarikat (US) sehinggalah cabaran politik serantau seperti rusuhan Hong Kong dan lantikan semula Tsai Ing Wen yang berideologi pro-Taiwan dalam menentang kuasa autonomi China. Konflik ini jika tidak diambil perhatian mampu menjejaskan nama baik China.

Dalam politik antarabangsa, situasi pandemik ini memperlihatkan kesan negatif kepada negara yang terlalu bergantung harap kepada China dalam aktiviti ekonomi. Berdasarkan penilaian Bank Pembangunan Asia (ADB), Pakistan, antara rakan niaga terbesar China bakal menanggung kerugian sehingga 8.2 bilion USD, diikuti Bangladesh (3 bilion USD). Begitu juga dengan Thailand sebagai negara utama di Asia Tenggara yang terlibat secara langsung dalam projek ini. Namun kesan negatif ini lebih teruk jika dilihat kepada hampir kebanyakan negara membangun Afrika yang terlalu bergantung harap kepada China, berikutan China ialah negara utama pengimport bahan mentah dan pengeksport produk siap bagi Afrika.

Namun dalam segala kekacauan yang berlaku pada hari ini, China dilihat sebagai kuasa besar yang masih lagi bersifat oportunistik dalam politik antarabangsa, sementara kuasa besar Barat lain masih lagi sibuk dalam mengawal jangkitan dan angka kematian. Misalnya, polisi “Health Silk Road” dan “mask diplomacy dengan menghantar bantuan topeng muka dan tenaga pakar perubatan dapat dilihat sebagai contoh langkah yang diambil bagi memperlihatkan keberkesanan naratif BRI dan meningkatkan imej China. China juga bijak memanfaatkan teknologi domestik melalui pelaburan terhadap industri pembangunan teknologi berkaitan pandemik ini seperti pengurusan bencana dan pembedahan robotik untuk menarik pelabur luar.

Sebagai pengakhiran, naratif situasi yang berlaku hari ini memperlihatkan sungguhpun China mungkin terpaksa menangguhkan hasratnya meneruskan BRI sehingga ekonomi dunia kembali pulih, China masih mampu mengeksploitasi bencana dunia dan kelemahan pentadbiran kuasa Barat bagi meningkatkan imejnya. Sebaliknya bagi negara membangun, situasi pandemik bagai memberi amaran akan sifat terlalu kebergantungan yang boleh memakan diri sekiranya situasi bencana dunia serupa bakal berlaku sekali lagi pada masa akan datang.

*Artikel ini diterjemah oleh Kolumnis Fokus, Aliff Irfan daripada artikel asal The Diplomat bertajuk The Belt and Road After COVID-19

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Poland Bakal Laksanakan PRU Pertama di eropah Semasa Pendemik Covid-19?

Next Post

China ambil kesempatan atas Covid 19 – ceroboh perairan Malaysia

Related Posts
Skip to content