Tekanan Antarabangsa dan Ketidaksediaan Negara Dalam Pelaksanaan Rasionalisasi Subsidi

Ringkasan eksekutif

Pelan rasionalisasi subsidi merupakan agenda yang diketengahkan sejak tahun 2010 menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), namun dipercepatkan dengan gesaan dan tekanan antarabangsa daripada World Bank dan IMF. Tekanan ini menyumbang kepada penyediaan pelan dan mekanisme yang tergesa-gesa disebalik tarikh pelaksanaan yang semakin dekat. Meskipun rasionalisasi subsidi membantu mengurangkan kadar defisit fiskal dan hutang negara, ia meningkatkan tekanan inflasi yang memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup dan kos perniagaan. Namun begitu, pelan ini dijangka mampu memberi manfaat jangka masa panjang kepada kecekapan dan pertumbuhan ekonomi negara dengan mekanisme pelaksanaan yang betul.

Pelan Rasionalisasi Subsidi Atasi Masalah Defisit Fiskal dan Hutang Negara

Pada 25 April lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan bahawa butiran mengenai rasionalisasi subsidi termasuk kriteria dan implikasinya akan dipaparkan tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, hingga kini, butiran mekanisme tersebut masih belum didedahkan meskipun pelaksanaanya dijangka pada separuh kedua 2024. Kelewatan penerangan perincian rasionalisasi subsidi memberi petunjuk inisiatif ini masih belum bersedia dilaksanakan di setiap peringkat meliputi kerajaan, orang awam, dan pemain-pemain industri.

Subsidi merupakan sebuah instrumen dasar kerajaan yang penting dari perspektif ekonomi, sosial dan politik. Subsidi mampu mengimbangi kegagalan pasaran dan faktor luaran untuk mencapai kecekapan ekonomi jika dilaksanakan sewajarnya kerana subsidi boleh membantu menstabilkan harga barangan keperluan bagi melindungi isi rumah daripada kejutan harga dan tekanan inflasi. Namun subsidi juga boleh  menyumbang kepada ketidaksempurnaan pasaran sehingga berlaku pembaziran dan ketidakcekapan pengagihan sumber.

Rasionalisasi atau penyelarasan subsidi melibatkan pengurangan subsidi dan perubahan daripada pemberian subsidi pukal kepada pemberian subsidi bersasar. Kawalan harga ke atas industri dan pengguna akan dihapuskan secara berperingkat untuk menggambarkan harga pasaran sebenar manakala subsidi kepada pengeluar ditukar daripada subsidi input kepada insentif berasaskan produktiviti. 

Rasionalisasi subsidi mula diperkenalkan dalam RMK10 bagi mengurangkan defisit fiskal negara. Antara fokus RMK10 adalah pengurusan kewangan awam yang mampan melalui pengurangan subsidi secara berperingkat, peningkatan kecekapan dan ketelusan dalam perolehan, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi meningkatkan produktiviti serta perluasan asas pungutan cukai. 

Pelaksanaan Pelan Rasionalisasi Tidak Jelas dan Terburu-buru

Faktor utama yang mendorong kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi adalah masalah defisit fiskal dan hutang negara yang semakin meningkat. Peningkatan ini disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuk pandemik COVID-19, ketegangan geopolitik dan perubahan iklim yang mengesani harga komoditi dunia.

Rasionalisasi subsidi akan mengurangkan defisit fiskal dan hutang negara kerana subsidi merupakan perbelanjaan kerajaan yang besar meliputi subsidi bahan api (petrol, diesel, LPG), subsidi atau insentif kepada pengeluar serta subsidi kepenggunaan seperti pampasan tol, gula, minyak masak, ayam, telur dan lain-lain dalam pelbagai bentuk seperti subsidi tunai, kredit, cukai, ekuiti, barangan, perolehan dan kawal selia. Pada tahun 2022, jumlah subsidi mencecah paras tertinggi iaitu sebanyak RM70.3 bilion yang menyamai perbelanjaan pembangunan sebanyak RM71.6 bilion. Sebagai perbandingan, purata tahunan subsidi  bagi tempoh 10 tahun terdahulu adalah sebanyak RM15.2 bilion1.

Antara isu berkaitan rasionalisasi subsidi yang dikemukakan adalah keberkesanannya untuk mengurangkan defisit fiskal dan hutang negara kerana usaha kerajaan dilihat tidak konsisten. Contohnya, kerajaan melaksanakan mekanisme pengapungan harga bahan api bagi petrol dan diesel pada akhir tahun 2014 dalam usaha mengurangkan perbelanjaan subsidi. Walaubagaimanapun, kerajaan membatalkan mekanisme ini pada Julai 2018 dan memperkenalkan semula subsidi untuk RON95 dan diesel yang menyebabkan peningkatan subsidi kepada RM7.5 bilion menjelang akhir tahun 2018. Malah, kerajaan memperkenalkan subsidi ayam dan telur sebanyak hampir RM 2 bilion pada tahun 20222. Subsidi ayam dan telur ini masih kekal hingga kini tanpa mekanisme alternatif lain yang dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan dan memenuhi keperluan sekuriti makanan rakyat.

Selain itu, isu rasionalisasi subsidi melahirkan kebimbangan tentang isu kos sara hidup rakyat kerana mekanisme rasionalisasi subsidi dan perlindungan sosial yang tidak jelas dan konsisten. Dalam peningkatan inflasi yang mengurangkan kuasa beli rakyat, kekurangan maklumat mengenai mekanisme pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan perlindungan sosial mengesani sentimen pengguna dan menyebabkan perbelanjaan pengguna lemah. Kekurangan maklumat mengenai mekanisme rasionalisasi subsidi juga boleh melemahkan sentimen pelabur kerana menyumbang kepada ketidak tentuan kos operasi perniagaan3.

World Bank dan IMF Jadi Pemain Utama Percepat Pelaksanaan Pelan Rasionalisasi Subsidi

Unit Perancang Ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan bertanggungjawab merancang dan melaksanakan dasar rasionalisasi negara dengan kerjasama kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Selain itu, Advisory Committee to Finance Minister (ACFIN) yang ditubuhkan pada 7 Februari 2023 turut bertanggungjawab menasihati Menteri Kewangan dalam empat bidang tumpuan iaitu pendapatan kerajaan, subsidi dan perlindungan sosial, syarikat milik kerajaan dan hutang negara.

Organisasi-organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia dan IMF turut menyokong rasionalisasi subsidi dan telah melakukan pelbagai kajian yang mendedahkan kesan negatif subsidi seperti penggunaan berlebihan, ketirisan dan penyeludupan serta menyekat produktiviti dan pertumbuhan industri. Malaysia digesa menghapuskan subsidi pukal dan melaksanakan subsidi bersasar dengan bantuan tunai kepada golongan rakyat yang memerlukan 4,5.

Di peringkat antarabangsa, tekanan IMF dan Bank Dunia telah menamatkan subsidi minyak di negara-negara membangun dan pengeluar minyak seperti Nigeria, Ghana, Angola, dan Kenya dengan masing-masing melakukan langkah itu di antara 2022 dan 2023. Nigeria sudah lama berada di bawah tekanan untuk menamatkan subsidi minyak terutamanya selepas Muhammadu Buhari, bekas presiden Nigeria menangguh pelaksanaan langkah itu pada hujung pemerintahannya. Alasan utama yang diberikan ialah perkara itu terburu-buru dan memerlukan lebih banyak persiapan sebelum ia dilaksanakan6. Namun begitu, pelantikan Bola Tinubu sebagai presiden selepas kejatuhan Buhari pada Mei 2023 menyaksikan pelaksanaan penghapusan subsidi minyak dilaksanakan pada hari pertamanya sebagai presiden. Langkah itu dipuji Bank Dunia yang menyatakan ia merupakan langkah pertama ke arah memulihkan kestabilan makroekonomi dan mewujudkan lebih banyak ruang fiskal. Terdahulu, sebelum pilihan raya dilakukan, IMF menggesa Nigeria untuk menghapuskan subsidi bahan api secara kekal melalui pengenalan mekanisme penetapan harga berasaskan pasaran7.

Ironinya, penghapusan subsidi yang sepatutnya bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan negara telah menyebabkan hutang Nigeria meningkat. Sebagai pertukaran kepada penghapusan subsidi, Bank Dunia memberi pinjaman 800 juta dolar kepada Nigeria untuk pemberian tunai kepada golongan miskin8. Setakat ini, Nigeria sudah menerima 37.5 peratus bersamaan dengan 300 juta dolar daripada jumlah pinjaman tersebut. Dalam pada itu, kadar faedah juga akan meningkat dari 1.65 peratus kepada 3.40 peratus menjelang bayaran akhir9.

Motif Bank Dunia dan IMF untuk menggesa pelaksanaan penghapusan subsidi minyak adalah untuk mempercepatkan peralihan dunia daripada bahan fosil kepada tenaga boleh baharu dan untuk meningkatkan pendapatan negara supaya boleh mendanai serta meningkatkan projek perubahan iklim berdasarkan agenda Sustainable Development Goals (SDGs). Bagi menjayakan agenda ini, IMF dan Bank Dunia turut menekan negara-negara membangun agar memperkenalkan cukai-cukai baharu dan meningkatkan kadar cukai sedia ada. Hal ini kerana, progres peralihan dunia kepada ESG dan tenaga boleh baharu adalah perlahan berikutan minyak dan gas masih menjadi pilihan utama pemain-pemain industri di samping pembiayaan SDG negara-negara membangun melalui Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA) yang tidak mencukupi. 

Rasionalisasi Subsidi Sumbang Kepada Peningkatan Kos Perniagaan dan Kos Sara Hidup 

Rasionalisasi subsidi dapat mengurangkan defisit fiskal dan meningkatkan kecekapan ekonomi namun boleh meningkatkan tekanan inflasi dan memberi kesan negatif kepada ekonomi dan rakyat sekiranya kerajaan tidak mengatur strategi yang bijak dan berkesan untuk mengimbangi reformasi fiskal dan kestabilan ekonomi. 

Rasionalisasi subsidi memberi impak kepada struktur dan prestasi pelbagai sektor ekonomi terutamanya sektor-sektor yang lebih bergantung kepada input bahan api seperti sektor perlombongan, pengangkutan, tenaga, pembuatan dan pertanian. Peningkatan harga elektrik dan bahan api pengangkutan membawa kepada kenaikan kos yang ketara bagi semua sektor lain10. Peningkatan kos ini boleh mengurangkan tahap pengeluaran dalam jangka masa pendek kerana pengeluar mengurangkan aktiviti pengeluaran bagi mengawal kos11. Pengeluar juga mungkin akan gulung tikar dan menutup operasi jika tidak mampu menanggung kenaikan kos seperti yang berlaku dalam sektor logistik12

Selain itu, penghapusan subsidi secara terburu-buru terbukti memberi kesan lebih buruk kepada ekonomi. Mengambil contoh di Nigeria, selepas sembilan bulan subsidi minyak dihapuskan, harga minyak meningkat tiga kali ganda, disusuli peningkatan kos makanan dan pengangkutan. Pada masa sama, nilai matawang Nigeria, naira jatuh 70 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat. Kesannya, kadar inflasi Nigeria mencapai hampir 30 peratus, tertinggi sejak 199613.

Dalam jangka masa panjang, kecekapan ekonomi dapat ditingkatkan sekiranya pengeluar melabur untuk meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan mengurangkan kebergantungan kepada input bahan api. Kerajaan juga dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang jika penjimatan subsidi digunakan oleh kerajaan untuk pelaburan dalam pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan industri 14,15.,

Kesimpulan

Rasionalisasi subsidi mengurangkan beban kewangan kerajaan tetapi meningkatkan beban kewangan rakyat kerana peningkatan kos sara hidup. Tambahan pula, pelaksanaan rasionalisasi subsidi yang tergesa-gesa dan tanpa mekanisme yang jelas di bawah pengaruh Bank Dunia dan IMF terbukti memberi kesan lebih buruk kepada ekonomi. Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan perlindungan sosial yang kukuh dan menyeluruh bagi memastikan rakyat terutamanya golongan yang memerlukan dan berpendapatan rendah serta golongan miskin bandar dapat menghadapi tekanan inflasi dengan baik. Kerajaan juga perlu memastikan rasionalisasi subsidi ini tidak menyumbang kepada peningkatan jurang sosioekonomi antara kaum, wilayah dan bandar-luar bandar. Masih banyak persoalan mengenai mekanisme rasionalisasi subsidi, mekanisme perlindungan sosial serta mekanisme penentuan harga bahan api perlu dijawab untuk meneliti kesan rasionalisasi subsidi kepada ekonomi dan sosioekonomi Malaysia dalam jangka masa pendek dan panjang.

Disediakan oleh:
Knowledge Management Center (KMC)
IRIS Institute

RUJUKAN

  1. New Straits Times. (2023, October 13). Perlukan Rasionalisasi. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/10/1019856/perlukan-rasionalisasi 
    ↩︎
  2. New Straits Times. (2023, October 13). Perlukan Rasionalisasi. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/10/1019856/perlukan-rasionalisasi ↩︎
  3. Zainuddin, M. Z. (2024, April 25). Mekanisme rasionalisasi subsidi diumum beberapa minggu lagi. Berita Harian. ↩︎
  4. Malaysia Economic Monitor – World Bank Documents & Reports. (n.d.). https://documents1.worldbank.org/curated/en/639301468052737567/pdf/656130REVISED00er020110Smart0Cities.pdf 
    ↩︎
  5. Federal Government Expenditure. (n.d.). https://belanjawan.mof.gov.my/pdf/belanjawan2024/revenue/section3.pdf
    ↩︎
  6. Igwe, I. (2023, April 28). NEC Suspends Removal Of Fuel Subsidy. Channels Television. https://www.channelstv.com/2023/04/27/breaking-nec-suspends-removal-of-fuel-subsidy ↩︎
  7. Nigeria’s economic crisis puts fuel subsidies removal under scrutiny. (n.d.). Financial Times. https://www.ft.com/content/29752a06-adea-4175-b278-22e0632c375a
    ↩︎
  8. Olurounbi, R. (2023, April 5). Nigeria Gets $800 Million From World Bank to Cut Fuel Subsidy. Bloomberg.com. https://www.bloomberg.com/news/articles/2023-04-05/nigeria-gets-800-million-from-world-bank-to-cut-fuel-subsidy?leadSource=uverify%20wall ↩︎
  9. Agbetiloye, A. (2023, November 15). World Bank disburses $299.99 mn of $800 mn palliative loan to Nigeria. Business Insider Africa. https://africa.businessinsider.com/local/markets/world-bank-disburses-dollar29999-mn-of-dollar800-mn-palliative-loan-to-nigeria/hd0mjr4 ↩︎
  10. Hamid, K. A. and Z. A. Rashid (2012), ‘Cambodia’s Electricity Sector in the Context of Regional Electricity Market Integration’ in Wu, Y., X. Shi, and F. Kimura (eds.), Energy Market Integration in East Asia: Theories, Electricity Sector and Subsidies, ERIA Research Project Report 2011-17, Jakarta: ERIA, pp.207-252. ↩︎
  11. Loo, S. Y., & Harun, M. (2019, December 3). Fuel Subsidy Abolition and Performance of the Sectors in Malaysia: A Computable General Equilibrium Approach. Malaysian Journal of Economic Studies, 56(2), 303–326. https://doi.org/10.22452/mjes.vol56no2.7 ↩︎
  12. Iskandar, M. I. M. (2023, October 16). ULASAN | Teliti dampak rasionalisasi subsidi bahan bakar. Malaysiakini. https://www.malaysiakini.com/news/683045 ↩︎
  13. Nigeria inflation approaches 30%, highest since mid-1996 | Reuters. (n.d.). https://www.reuters.com/world/africa/nigeria-inflation-rises-2990-yy-january-2024-02-15/ ↩︎
  14. Loo, S. Y., & Harun, M. (2019, December 3). Fuel Subsidy Abolition and Performance of the Sectors in Malaysia: A Computable General Equilibrium Approach. Malaysian Journal of Economic Studies, 56(2), 303–326. https://doi.org/10.22452/mjes.vol56no2.7 ↩︎
  15. Hamid, K. A. and Z. A. Rashid (2012), ‘Cambodia’s Electricity Sector in the Context of Regional Electricity Market Integration’ in Wu, Y., X. Shi, and F. Kimura (eds.), Energy Market Integration in East Asia: Theories, Electricity Sector and Subsidies, ERIA Research Project Report 2011-17, Jakarta: ERIA, pp.207-252. ↩︎

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Usaha Angkat Naratif Sejarah Cina di Melaka, Kapal Kayu Tradisional Cina dan Monumen Gergasi Bakal Dibina Sebagai Daya Tarikan Pelancong

Next Post

Sarawak Peroleh Autonomi Dalam Industri Pengagihan Gas, Bagi Menampung Projek Pelan Hala Tuju Gas Sarawak Dan Tingkatkan Bekalan Gas Dalam Sarawak

Related Posts
Skip to content