Wabak Covid-19 Dari Sudut Identiti Sosial

Kepercayaan melahirkan sikap. Sikap melahirkan tingkah laku. Sejumlah tingkah laku dalam bentuk-bentuk tertentu menjadi perangai. Perangai yang konsisten menjadi tabiat di peringkat individu dan berkembang menjadi budaya di peringkat masyarakat.

Budaya memberi kesan dan membentuk kepercayaan, daripada satu generasi kepada satu generasi.

Begitulah kitaran pembentukan identiti masyarakat dunia yang pelbagai.

Setiap identiti ini dilestarikan melalui sistem dan institusi, sama ada diwujudkan secara tradisi, mahupun melalui proses pertembungan ideologi dan perebutan kuasa.

Terdapat dalam kalangan pelbagai identiti dan sistem itu yang dekat dengan fitrah manusia dan ada yang sudah terlalu jauh malah berlawanan dengan fitrah kejadian.

China mungkin mudah mengekang penularan covid-19 dalam kalangan rakyatnya, berbanding negara-negara Eropah dan Amerika.

Identiti dan sistem yang berasaskan komunitarianisme memudahkan mereka, berbanding identiti dan sistem negara Eropah yang berasaskan individualisme. Komunitarianisme ini juga mempengaruhi tindakan tegas Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Korea.

Mudah cakap, China guna pendekatan keras memaksa rakyatnya berkurung, manakala Eropah dan Amerika sukar untuk campur tangan dalam kehidupan setiap individu rakyatnya.

Tanpa mengambil kira aspek kebarangkalian perang berasaskan senjata biologi, China adalah tempat lahirnya wabak walaupun berjaya membendungnya, berbanding Barat.

Ini disebabkan identiti dan sistem bangsa yang sudah terlalu jauh malah berlawanan dengan fitrah manusia. Fahaman komunis China menolak pengaruh agama samawi, bukan ke atas negara sahaja, malah individu rakyatnya.

Di negara Barat, agama samawi dibiarkan berperanan di peringkat individu, yang masih memberi ruang kepada fitrah kejadian manusia menyumbang dalam fabrik identiti dan sistem negara mereka.

Identiti masyarakat negara yang agamanya berasaskan fahaman keberhalaan, seperti Iran dan India, akan sentiasa berkonflik dengan akal, apatah lagi agama samawi.

Identiti sebegini adalah medan yang subur untuk wabak pandemik. Jika pun ada faktor penyelamat, maka yang demikian itu datangnya daripada pendekatan sekular pemerintahnya.

India negara sekular. Iran, walaupun negara teokratik, Ayatollah Khamenei mengambil pendekatan sekular dalam menghadapi Covid-19. Namun identiti masyarakat lebih kuat pengaruhnya dan faktor penentu, yang dilihat cenderung ke arah kegagalan.

Indonesia sama dengan negara Arab yang miskin dan ramai penduduk, seperti Mesir, menyertai Iran dan India dari sudut tahap kesedaran sosial tentang wabak yang amat rendah.

Ini disebabkan realiti hidup di bawah paras kemiskinan, menyumbang ke arah sikap kurang peduli kecuali sesuatu yang boleh mengalas perut mereka. Salah satu aspek yang menjadi mangsa sikap kurang peduli ini ialah pendidikan kesihatan dan kebersihan diri.

Sebahagian masyarakat Indonesia dan Mesir mungkin terselamat daripada ketidakpedulian ini dalam konteks budaya kebersihan diri melalui ajaran Islam dalam soal ibadat bersuci dan solat. Namun, dalam konteks wabak yang bersifat pandemik, mereka turut terjejas.

Sebagaimana disebutkan di awal tulisan ini, identiti masyarakat perlu dilestarikan dan di”pateri”kan melalui sistem selari dengan identiti tersebut.

Di sinilah, umat Islam di Malaysia mempunyai kelebihan berbanding saudara-saudaranya di Indonesia. Dasar menolak kemudaratan wabak itu bukan sahaja bergantung pada budaya masyarakat Islam, bahkan telah di”pateri”kan melalui penginstitusian fatwa dalam sistem pemerintahan negara, di bawah dasar Raja Berperlembagaan.

Ini memberikan kesan positif yang ketara ke atas budaya keislaman umat Islam di Malaysia, yang mengekalkan kitaran pembentukan identiti masyarakat Islam di negara ini, daripada satu generasi ke satu generasi.

________________________________________________

*Hazizi Abd Rahman ialah Naib Presiden Berjasa

Nota: Tulisan ini pernah disiarkan di Facebook Ustaz Hazizi Abd Rahman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tahukah Anda – Orang Melayu Adalah Perintis The Golden Triangle of Kuala Lumpur?

Next Post

Wabak COVID-19 dan Implikasi Ekonomi

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content