Aqidah sebagai dasar peradaban Islam

Kepercayaan Sebagai Kerangka Fikir:

Sesebuah masyarakat semestinya mempunyai kerangka fikir tertentu berlandaskan kepercayaan atau doktrin yang mereka imani.

Kerangka ini akan mengunjur ke dalam setiap aspek kehidupan manusia. Contohnya, peradaban Mesir Purba meninggalkan bersama mayat-mayat, harta dan kekayaan mereka kerana mempercayai konsep kekekalan Ka yakni roh. Roh ini menurut mereka akan menjelma semula dalam kehidupan yang baharu. Untuk itu, segala keperluan di dunia yang lama diperlukan di dunia yang baharu.

Jumpaan harta kekayaan Firaun di makamnya. Sumber: bloglagenda.wordpress.com

Begitu juga dengan tamadun Barat hari ini, mereka berpegang dengan Falsafah Humanisme atau falsafah yang meletakkan nilai-nilai ‘kepuasan kemanusiaan’ sebagai keutamaan tanpa panduan. Disebabkan inilah tamadun Barat melihat kebahagiaan bagi seseorang, adalah dengan melunaskan segala keinginannya dalam usaha menggapai kebahagiaan tersebut walaupun dilihat kehaiwanan oleh manusia yang berfikir.

Humanisme akhirnya membuatkan manusia di’Tuhan’kan. Sumber: coursesite.uhcl.edu

Maka, terjadilah apa yang terjadi kepada tamadun Barat; maju dalam material dan rosak serosaknya dalam akhlak atau etika. Kerana inilah mereka sebenar-benarnya tidak boleh dikatakan sebagai sebuah peradaban memandangkan sebuah peradaban ialah sebuah masyarakat yang sudah mencapai satu tahap yang tinggi, meletakkan akhlak pada tempatnya sebagaimana kefahaman terhadap takrifan Ibn Khaldun dalam buku beliau, al-Muqaddimah.

 

‘Aqidah Islamiyyah Sebagai Kepercayaan Terbaik:

Islam itu merupakan sebuah agama yang dikatakan terbaik kerana ianya diturunkan oleh Pencipta Sekalian ‘Alam, Allah S.W.T. Maka, disebabkan Islam hanyalah agama yang sebenar-benarnya benar, hanya kefahaman Islamlah yang akan memberi erti kebahagiaan sebenar kepada seorang manusia. Oleh itu, jelas terbukti bahawa kerangka fikir yang digariskan dalam Islam ialah kerangka ‘Aqidah Islamiyyah.

Seorang Muslim yang baik akan menilai bermacam jenis maklumat hanya melalui kerangka ini. Dengan menggunakan kerangka ‘Aqidah ini, seseorang akan meletakkan Ta’abbud Ila Llah atau Ketundukan Kepada Allah sebagai matlamat akhir rangkaian sabab musabbab kepada sesuatu perkara yang dilakukan olehnya. Contohnya, seseorang yang ingin mempelajari sesuatu ilmu, mungkin kerana dia sekadar suka atau meminati ilmu tersebut.

Tetapi, Muslim yang baik tersebut akan melihat pembelajaran terhadap ilmu yang diminatinya bukan kerana minatnya sahaja, tetapi dengan ilmunya itu dia hendak memahami ‘bahasa ‘alam’ seperti ilmu Sains misalannya.  Alhasil daripada dia memahami ‘alam, dia hendak mengenali Pencipta ‘Alam yakni Allah, membuatkan dia menginsafi diri dan menambahkan lagi keyakinannya terhadap kekuasaan Sang Khaliq.

Hal yang sama dicanangkan oleh Ibn Rushd Al-Hafid di dalam mahakarya beliau, Fasl al-Maqal. Beliau menyatakan suatu fatwa yang aneh di zamannya, di mana beliau mewajibkan Ilmu Falsafah dipelajari atas sebab yang utama; untuk mengenali Allah ‘Azza Wa Jalla.

Ilustrasi Ibn Rushd al-Andalusi, cendekiawan Islam agung yang terkenal dengan nama Averroes di Barat. Sumber: www.kutubpdfbook.com

 

Kerangka Membentuk Peradaban:

Berdasarkan syarahan di atas, tidak dapat dinafikan lagi bahawa peradaban berlandaskan ‘Aqidah adalah peradaban terbaik sepanjang zaman. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh Khulafa’ ar-Rashidin yang ketika mereka menjadi Zaman Keemasan Islam, hanyalah berpunca daripada fikrah atau kefahaman ‘Aqidah yang sahih dan jelas dalam diri pemerintah juga yang diperintah.

Sebagai tamsil, di zaman Abu Bakr as-Siddiq R.A, beliau secara jelas mempertahankan kesucian ‘Aqidah Islamiyyah daripada dicemari kotoran-kotoran Murtad di zaman tersebut. Ini menunjukkan betapa pentingnya kerangka fikir sesebuah masyarakat dalam mendasari pembentukan peradaban mereka.

 

Kesimpulan:

Pembinaan diri sehinggalah kepada Ustaziyatul ‘Alam, semuanya seharusnya dilaksanakan untuk Menegakkan ‘Ubudiyyah dan Menafikan Thaghut; bertepatan dengan suruhan Allah dan RasulNya. Daripada Muslim yang Aqidahnya benar, membentuk masyarakat yang hidup mereka berlandaskan Syari’ah, seterusnya membina sebuah peradaban berlandaskan Akhlaq al-Quran; semuanya berakarkan satu kerangka yang telah disebutkan, kerangka pemikiran terbaik sepanjang zaman, membina tamadun megah zaman berzaman.

Dengan kerangka inilah, manusia berjaya mencapai keluhuran budi bak konsep ‘budiman’ orang Melayu, kerana pada kerangka tersebut adanya Sibghah atau acuan Allah yang paling baik untuk ‘Alam seluruhnya. Inilah Rahmatan Li al-‘Alamin!

Khulasahnya, sebuah peradaban yang sebenar sememangnya tidak boleh tidak hanya akan terbentuk dengan kerangka agung ini; Kerangka ‘Aqidah Islamiyyah kerana hanya padanya terdapat kerangka yang fitrah buat seluruh umat manusia tanpa mengira bahasa, bangsa juga warna kulit.

Unggulnya Melayu kerana Islam. Sumber: www.thepatriots.asia

 

Disediakan Oleh:
Urkhan Ahmad Azhari
Kolumnis Fokus

*Urkhan Ahmad Azhari sedang menjalani latihan industri di Interdisciplinary Research and International Strategy (IRIS Institute)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Melayu merempat di medan jihad?

Next Post

Dasar dan Halatuju Pendidikan Tun Mahathir: “Menginggeriskan sistem Pendidikan Kebangsaan”

Related Posts
Skip to content