5 Perjanjian Yang Penting Dalam Sejarah Dunia

treaty-of-versailles

Pembentukan sesebuah negara tidak akan sah tanpa wujud bersama-sama dengannya sebuah perjanjian. Perjanjian selalunya termaktub apabila sesebuah kerajaan itu dilanda konflik yang melibatkan banyak pihak, dan seterusnya mereka memilih jalan perdamaian melalui perjanjian. Sejak dahulu lagi, perjanjian merupakan satu alat diplomasi dan juga senjata tipu helah untuk keluar dari konflik yang melanda sesebuah negara. Apabila termeterainya sebuah perjanjian, akan berlaku beberapa perubahan kepada sempadan, ekonomi, pakatan, dan hubungan antarabangsa sesebuah negara. Berikut terdapat 5 perjanjian penting yang pernah berlaku dalam sejarah.

Perjanjian Tordesillas (1494)
Perjanjian Tordesillas yang berlaku antara Portugal dan Sepanyol telah melibatkan perundingan antara golongan Pope dan melibatkan pembahagian tanah yang baru diterokai di luar Eropah di antara dua negara tersebut yang terletak di sepanjang garis logitud – kini lebih dikeanli sebagai timur Brazil. Kesan daripada perjanjian tersebut, penjelajahan dan kolonisasi Sepanyol bertumpu kepada Amerika dan kemudiannya membawa kepada pengambilalihan kawasan tengah dan selatan Amerika. Tanah Brazil yang masih belum diterokai jatuh ke tangan Portugal. Portugal juga berjaya menjelajah ke timur. Pada tahun 1498, pelayaran yang dikawal oleh Vasco da Gama dari Portugal akhirnya sampai ke India.
Pada mulanya, perjanjian tersebut dilihat mampu memanfaatkan Portugal kerana keuntungan yang diperoleh melalui laluan perdagangan di antara Eropah dan Asia. Namun perkara tersebut tidak berlaku untuk jangka masa yang panjang kerana England dan Holland telah mendahului Portugal. Dalam soal mengawal sesebuah kawasan, agak sukar bagi Portugal untuk merebut dan memegang sesebuah wilayah di mana telah wujudnya negeri-negeri yang stabil di Asia. Berbeza dengan Sepanyol, mereka lebih beruntung kerana memperoleh Latin Amerika, sebuah kawasan yang besar dan padat dengan penduduk, serta kaya dengan sumber mineral.
Perjanjian ini termaktub hanyalah antara Portugal dan Sepanyol. Oleh itu kuasa-kuasa lain seperti England, Netherland, dan Perancis tidak terkesan dengan apa yang telah berlaku antara dua buah negara tersebut.

Perdamaian Westphalia (1648)
Peristiwa ini melibatkan dua buah perjanjian lain iaitu Perjanjian Münster dan Perjanjian Osnabrück yang ditandatangani pada penghujung perang tiga puluh tahun (Thirty Year’s War). Perang tersebut terjadi antara negeri Katolik dan Protestan, walaupun terdapat negara seperti Perancis yang turut campur tangan untuk mencapai agendanya yang tersendiri. Perdamaian ini walaupun pada mulanya hanya memberi kesan terhadap Eropah barat dan tengah, kesan tersebut akhirnya tersebar ke peringkat global.
Hal ini kerana perjanjian ini telah membentuk beberapa prinsip yang penting dalam sistem antarabangsa. Ciri-ciri penting negara-bangsa turut dimasukkan ke dalam perjanjian-perjanjian yang ditandatangani sewaktu Perdamaian Westphalia. Perjanjian tersebut memperkenalkan idea tentang kedaulatan wilayah, di mana setiap negeri bertanggungjawab untuk merangka undang-undang, cukai, dan kawalan terhadap penduduk di kawasan itu. Tambahan lagi, setiap kawasan turut diberikan kuasa untuk menetapkan peraturan terhadap urusan agama dan politik dalaman masing-masing.

Perjanjian Paris (1783)
Perjanjian Paris tahun 1783 merupakan perjanjian yang tertua yang ditandatangani oleh United States dan masih digunakan hingga kini. Perjanjian tersebut menghentikan Revolusi Amerika dan seterusnya mewujudkan Amerika Syarikat. Maka, perjanjian ini dianggap sangat penting dan memberi pengaruh besar kepada sejarah dunia.
Pasukan rundingan Amerika yang diketuai oleh John Jay, Benjamin Franklin, dan John Adams menjalankan tugas mereka dengan baik sekali. Sekutu mereka, Perancis dan Sepanyol, tidak mahu Amerika membuat perdamaian berasingan. Namun disebabkan pergolakan terus berlaku di Caribbean dan Gibraltar, mereka perlu meneruskan rancangan tersebut dan berurusan terus dengan London. Perancis pada masa yang sama berharap agar Amerika menjadi negara yang lemah di antara Atlantik dan Appalachian, di samping British mengawal tanah di bahagian utara Ohio River, dan Sepanyol mengawal negara penampan di bahagian selatan.
Sebaliknya, British melihat kepada peluang yang lebih menguntungkan mereka sekiranya dapat menguatkan ekonomi Amerika, dan yakin untuk menyerahkan seluruh kawasan hingga ke Mississippi River serta hak untuk menangkap ikan di Canada kepada Amerika Syarikat. Kelebihan ini membolehkan Amerika meluaskan jajahannya ke bahagian barat dan menjadi kuasa besar Eropah.

Kongres Vienna (1814-15)
Kongres ini diadakan setelah tamatnya Perang Napoleon dan setelah belaku beberapa perubahan di bahagian Eropah. Terdapat beberapa perjanjian yang telah ditandatangani sewaktu kongres itu berlangsung; salah satunya adalah Perjanjian Paris 1814.
Walaupun mendapat kritikan beberapa ahli sejarah yang menyifatkan kongres ini sebagai konservatif, Kongres Vienna sangat signifikan kerana mampu menghalang daripada tercetusnya perang besar di Eropah untuk jangka masa 100 tahun. Bagaimana perkara ini berlaku?
Pertama sekali, kesemua pihak termasuk Perancis terlibat dalam perundingan tersebut.

Penglibatan semua pihak ini dibenarkan apabila perundingan tersebut menggunakan format tidak formal yang dibuat oleh Kongres untuk duduk berbincang tentang perkara yang berkaitan kedudukan masing-masing sehingga kata sepakat dicapai. Rundingan ini diketuai oleh diplomat-diplomat terpilih seperti Talleyrand (Perancis) dan Metternich (Austria). Apa yang akan dicapai mungkin tidak akan memuaskan hati banyak pihak, maka kaedah horse-trading (persetujuan yang memberi manfaat kepada pihak masing-masing) akan dibuat untuk mengelakkan ketidakpuasan hati tersebut. Sebagai contoh, Rusia telah merampas Finland dari Sweden, tetapi memperoleh Norway dari Denmark. Denmark pula memperoleh Swedish Pormerania dan Duchy of Lauenburg dari Hanover; ia menyerahkan yang pertama kepada Prussia dan kekalkan yang kedua. Sebagai pampasan, Hanover mendapat Timur Frisia dari Prussia.
Kedua, pihak Kongres dan perjanjian yang telah dicapai itu telah mengehadkan hukuman terhadap pihak yang kalah. Perancis telah kehilangan wilayah yang diperoleh Napoleon namun masih mengekalkan kawasan yang sedia ada. Negara yang bersempadan dengan Perancis seperti Saxony, dapat mengekalkan kemerdekaan mereka. Berbeza dengan keadaan selepas Perang Dunia Pertama, tiada cubaan yang dibuat dalam rundingan ini untuk menghapuskan keseuruhan negara atau mengubah keadaan politik negara-negara tersebut. Namun disebabkan horse-trading yang dibuat antara negara-negara yang terlibat mengakibatkan Poland kehilangan kemerdekaannya.

Perjanjian Versailles (1919)
Perjanjian ini ditandatangani antara negara-negara sekutu barat dan Jerman pada penghujung Perang Dunia Pertama. Cara perjanjian ini sangat berbeza dengan apa yang pernah berlaku ketika zaman Napoleon di Eropah; syarat Perjanjian Versailles telah ditentukan dan bukan dirunding. Tambahan lagi, Austria Hungary, Bulgaria, dan sebahagian Empayar Turki Uthmaniyah turut terlibat dalam perjanjian ini. Jerman terpaksa menanggung kerugian dan telah kehilangan wilayah serta mengalami kelumpuhan pampasan akibat daripada gesaan Perancis.
Sebuah senarai prinsip yang dinamakan Fourteen Points yang disediakan oleh Presiden Woodrow Wilson juga mendorong kepada pembentukan pelbagai negara-bangsa yang baru, kecil, dan lemah, di mana kita dapat lihat kesan daripada itu memudahkan kuasa-kuasa besar seperti Soviet Union dan Jerman untuk mengalahkan mereka. Campur tangan dalam struktur politik kuasa yang ditewaskan seperti Jerman turut mencetuskan masalah besar yang kemudiannya membawa kepada Perang Dunia Kedua.
Perjanjian yang berkaitan iaitu perjanjian Sèvres dan Lausanne telah membahagikan Empayar Turki Uthmaniyah dan meninggalkan kesan yang tidak baik buat Timur Tengah. Orang-orang Armenia dan Kurds telah tewas, manakala kebanyakan bangsa Arab jatuh ke dalam penjajahan Perancis dan British yang memerintah di negara lain seperti Syria dan Iraq, di mana kita masih boleh saksikan kesannya hingga sekarang.

Sumber: National Interest

Oleh:

Nisa Ismail
Missouri Amerika Syarikat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sokongan Amish dan Evangelis Kristian – Punca Kemenangan Trump?

Next Post

How can we understand BERSIH better?

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content