Sokongan Amish dan Evangelis Kristian – Punca Kemenangan Trump?

donaldtrump_060716gettyKredit gambar: The Hill

Kemenangan Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ternyata sesuatu yang mengejutkan bagi ramai pengundi. Secara peribadi, saya telah sekian lama menyangka bahawa Trump tidak akan berjaya memenangi kerusi Presiden melihat kepada skandal-skandal yang bangkit, serta bacaan statistik sokongan awal. Ternyata sangkaan saya jauh tersasar daripada realiti yang berlaku pada 8 November. Di sini saya ingin huraikan beberapa punca kemenangan Donald Trump pada pilihanraya kali ini:

  1. Jurang Antara Kawasan Bandar dan Luar Bandar

Pilihanraya di AS sememangnya kerap menunjukkan trend yang sama saban tahun. Amerika Syarikat, sebuah negara yang berkeluasan 9.8 juta km persegi, mempunyai taburan penduduk yang luas dan tertumpu kepada beberapa kawasan bandar utama. Hasil daripada itu, terdapat sebilangan besar penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar, jauh daripada kemudahan-kemudahan yang sama di kawasan bandar.

elec1

Secara umumnya, pengundi di kawasan bandar dan ibu negeri lebih cenderung untuk menyokong Demokrat manakala kawasan luar bandar mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk menyokong Republikan. Jarang-jarang sekali kita dapat menjumpai kawasan bandar yang menyokong Republikan melainkan itu adalah kubu kuat mereka.

elec2

Ada beberapa faktor kenapa ini berlaku:

1) Kurangnya akses kepada sumber maklumat dari internet.

2) Budaya konservatif di kampung yang tidak terbuka kepada perubahan.

3) Jurang pendapatan yang telah mencipta jurang ekonomi dan politik.

Sebab itulah Trump boleh kata apa sahaja dia mahu, dibantai oleh seberapa banyak media sekalipun, beliau masih mampu meraih sokongan yang banyak di kawasan luar bandar.

  1. Peranan Kuasa ketiga.

Umum kita melihat bahawa kuasa ke-3, parti libertarian dan green party tidaklah dikenali dan mendapat sokongan ramai. Akan tetapi kesannya terhadap keputusan keseluruhan pilihanraya cukup signifikan. Contohnya di swing state seperti Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin, kita dapati jurang undi tidaklah banyak bezanya antara Clinton dan Trump dengan perbezaan margin 0.3%, 1.1% dan 1.0% kepada ketiga negeri ini. Walaubagaimanapun, kehadiran Parti libertarian memang telah merosakkan taburan undi sehingga mengakibatkan kekalahan kepada Clinton di negeri-negeri tersebut.

elect3

elec4elec5

Peranan kuasa ketiga amatlah besar dalam pertarungan dua hala. Ia adalah senjata yang kuat untuk menentukan hala tuju pilihanraya. Dalam kes ini, peratusan undi 3.6%,2.4% dan 3.6% pada Parti Libertarian di ketiga-tiga negeri ini dengan mudah

  1. Spektrum politik anti-establishment

Umum mengetahui spektrum politik di AS adalah antara konservatif dan liberal. Sebelum saya meneruskan, ingin saya terangkan konservatif dan liberal di AS tidaklah dari sudut ideologi agama sepertimana kita sering bincangkan isu liberalism di Malaysia. Akan tetapi, ia adalah dari sudut kebebasan ekonomi, sosial, serta saiz kerajaan di mana golongan liberal lebih memilih kebebasan sosial berbanding ekonomi, dan menyokong peluasan skop kuasa kerajaan yang lebih luas.

Selepas 8 tahun Obama memerintah, masyarakat AS umumnya tidak nampak sebarang perbezaan yang ketara dari sudut dasar yang dipraktikkan. Golongan African American yang sebelum ini tertindas, kononnya mendapat harapan yang baru apabila Obama menjadi Presiden. Namun hari ini, nasib golongan African American ini lebih teruk daripada sebelum ini dari sudut sosial. Begitu juga dengan isu kongkongan kuasa golongan kapitalis Wall Street yang disokong tahun demi tahun oleh pendirian-pendirian Hillary Clinton.

Walaupun kita tidak menyalahkan Obama dan Parti Democrat semata-mata kerana Republican banyak menyumbang kepada kegagalan Obama untuk mengimplimentasi dasar-dasar cadangan beliau dengan baik di semua negeri, umum difahami bahawa rakyat sudah penat dengan solusi yang tidak menyelesaikan apa-apa sehingga mereka sanggup untuk memberontak mencari apa sahaja solusi lain yang mampu melawan system sedia ada.

Kajian Martin Gilens yang telah menemui konklusi yang kuantitatif bahawa dasar-dasar awam di AS tidak langsung berpihak kepada rakyat, sebaliknya berpihak kepada syarikat-syarikat gergasi adalah bukti bahawa permintaan rakyat tidak diendahkan dalam sistem demokrasi yang sedia ada. Sebaliknya, dasar-dasar yang diamalkan lebih berpihak kepada syarikat-syarikat gergasi dan bank-bank besar.

elect6

Kesedaran tentang hakikat ini telah menyebabkan pada pilihanraya kali ini, kita tidak lagi melihat spektrum politik biasa konservatif vs liberal. Akan tetapi, spektrum itu berubah kepada rakyat melawan “the system”. Kalau pada peringkat awal, sudah tentu Bernie Sanders menjadi calon pilihan bagi Demokrat yang bersifat anti-establishment berbanding Hillary, tetapi semenjak Hillary berjaya menjatuhkan beliau pada Konvensyen Kebangsaan Democrat (DNC), pilihan untuk menentang sistem yang kotor sudah tiada dalam Parti Demokrat. Maka penyokong Bernie Sanders pun berbelah bahagi sehingga ramai yang sanggup memberikan sokongan kepada Trump setelah keluarnya Sanders daripada pilihanraya.

  1. Peranan Amish dan Evangelis Kristian

Sebenarnya kita tidak pelik melihat kawasan “Bible Belt” jatuh ke tangan Trump. Ini adalah perkara biasa kerana kawasan yang lebih kuat pengaruh Kristiannya mempunyai kecenderungan yang lebih untuk memberi sokongan kepada Republikan yang dilihat mempunyai polisi-polisi selari dengan kebanyakan idea Kristian. Sesuatu yang menarik untuk diperhatikan pada pilihanraya kali ini ialah undi golongan Amish di dua Swing State, Ohio dan Pennsylvania.

Golongan Amish tidaklah mempunyai populasi yang terlalu besar sehingga boleh mengubah keputusan negeri, akan tetapi mereka mempunyai populasi yang tertumpu kepada beberapa daerah di Swing State. Akibatnya, populasi Amish mampu untuk mempengaruhi sebahagian besar undi di beberapa daerah di Ohio dan Pennsylvania. Memandangkan mereka mempraktikkan kehidupan yang memisahkan diri daripada teknologi, masyarakat Amish tidaklah terdedah kepada skandal-skandal politik Donald Trump, mahupun serangan-serangan media daripada Clinton. Clinton yang banyak melakukan operasi melalui media sosial tidak mungkin dapat mempengaruhi undi Amish.

elect7

Namun, sebenarnya kita tidak perlu berfikir panjang mengapa Amish dan Evangelis Kristian tidak memberi sokongan kepada Clinton. Ada dua sebab utama yang mudah:

  • Clinton adalah seorang wanita. Melantik wanita sebagai pemimpin negara adalah bertentangan dengan ideologi mereka.
  • Clinton dan Parti Demokrat menyokong polisi-polisi liberal (dari sudut sosial) seperti menyokong LGBT, dan polisi pengguguran bebas.
  1. Politik “Asal Bukan”

Berkait rapat dengan isi yang ke-tiga dan ke-empat ialah idea politik “asal bukan”. Idea ini telah memanifestasi daripada kebencian pengundi terhadap Clinton dan sistem yang berdiri di belakang beliau. Akibat rasa muak terhadap politik Clinton, ramai penyokong Demokrat sanggup berpaling tadah memberi sokongan kepada sesiapa sahaja asalkan bukan Clinton. Perkara itu juga berlaku dalam Parti Republikan. Atas sebab itu, tidak kiralah betapa buruk pun akhlak dan kata-kata Donald Trump, asalkan bukan Hillary Clinton, tidak mengapa.

Yusri Jamaluddin,
Penganalisis IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Adakah Trump akan membawa kehancuran kepada Amerika?

Next Post

5 Perjanjian Yang Penting Dalam Sejarah Dunia

Related Posts
Skip to content