Dalam senario berlakunya peperangan serantau di Asia Tenggara, hampir kesemua negara-negara yang ada di rantau ini akan berhadapan dengan pilihan yang sukar.
Secara asasinya, selain daripada Singapura (memiliki kerjasama utuh dengan US dan Israel), Thailand, dan Filipina (yang memiliki kerjasama ketenteraan secara hitam putih dengan US), negara-negara lain sebenarnya tidak mampu untuk berada dalam kancah pertempuran.
Namun, mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara masing-masing merupakan satu tindakan yang terpaksa diambil oleh kerajaan jika perang meletus.
Dalam erti kata lain, negara-negara di Asia Tenggara akan tetap terheret masuk dalam peperangan tersebut, meskipun negara masing-masing akan berdepan dengan implikasi negatif yang menjejaskan kestabilan dan ekonomi negara.
Situasi ini bertambah rumit jika diambil kira fakta bahawa sehingga kini, hampir kesemua negara Asia Tenggara memiliki keterikatan ekonomi yang tinggi dengan China.
China telah berjaya melakukan penetration (penembusan masuk) yang mendalam di negara-negara ini melalui pelaburan yang bernilai tinggi, serta diperkukuhkan pula oleh kewujudan diaspora kaum Cina di hampir semua negara-negara ini (membantu membekalkan maklumat strategik).
Faktor-faktor ini memungkinkan China untuk mengguna pakai instrumen serangan yang bersifat non-conventional (luar kebiasaan) seperti ugutan ekonomi, serangan godam siber serta serangan hendap terhadap sektor atau individu strategik di setiap negara ini.
Dalam senario ini, pilihan untuk kekal berkecuali adalah hampir mustahil. Negara-negara di Asia Tenggara sama ada akan terlibat dalam peperangan ini menentang China (sama ada secara defensive atau membantu US & sekutu melakukan strategi ofensif), atau menyerah kalah kepada tuntutan China – berkompromi menyerahkan wilayah sempadan yang dipertikai – dan menerima China sebagai sekutu dan ketua baru di rantau ini.
Apa pun pilihan yang di buat, negara-negara Asia Tenggara khususnya yang memiliki pertikaian sempadan di Laut Cina Selatan akan berhadapan dengan dua risiko besar iaitu peningkatan perbelanjaan negara dalam ketenteraan (kesan daripada belanja untuk perang) serta ketidakstabilan situasi dalam negara.
Risiko pertama akan mengakibatkan peminjaman dana (hutang) daripada institusi atau badan kewangan antarabangsa, manakala risiko kedua akan mengakibatkan pintu autonomi dan separatisme terbuka lebih luas.
Berkaitan risiko yang kedua, watak penting yang perlu diperhatikan ialah kumpulan-kumpulan pemisah bersenjata serta kumpulan militia antarabangsa.
Kumpulan ini seumpama bom jangka masa yang sedia ada di Asia Tenggara, yang menantikan ruang dan masa yang sesuai untuk meledak.
Ketidakstabilan dalaman yang berlaku akibat perang serantau adalah peluang yang sesuai.
Kumpulan pemisah di Mindanao, Selatan Filipina, Selatan Thailand, Acheh dan kumpulan militia antarabangsa seperti ISIL, ISIS dan JI di Indonesia, adalah aktor-aktor yang bakal di manipulasi oleh salah satu kuasa besar samada US atau China untuk mewujudkan poket-poket pertempuran kecil dalam negara.
Tujuannya bersifat serampang dua mata; memecahkan kekuatan dan fokus setiap negara kecil dalam bertempur, serta memicu proses pemisahan atau balkanisasi di Asia Tenggara.
Sepintas lalu, fenomena yang berlaku di Timur Tengah, khususnya kes Yaman dan Syria (pemisahan sedang berjalan) boleh dijadikan panduan.
Proses pemecahan negara kepada negara baru yang lebih kecil (balkanisasi) terhasil apabila berlakunya pergolakan serantau yang mengakibatkan ketidakstabilan dalaman.
Samada proses ini disudahkan melalui instrumen aman seperti referendum atau instrumen paksa seperti annexation (pengambilalihan wilayah) oleh kuasa besar, kesan akhirnya sama iaitu negara-negara yang sedia ada akan berpecah menghasilkan beberapa buah negara kecil yang baru.
Oleh: Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), IRIS Institute