Syarikat-syarikat pengilangan China menghentikan bekalan kepada syarikat Apple, Nike dan pembuatan produk lain yang dijual di Amerika Syarikat dengan memecat ribuan pekerja Muslim Uighur dari Xinjiang apabila negara-negara Barat meningkatkan pengawasan terhadap paksaan bekerja di wilayah tersebut dan membuat tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Uighur.
Menurut laporan akhbar Amerika The Wall Street Journal, Rabu, 21 Julai 2021, Lens Technology Co. Ltd, sebuah syarikat China yang membuat skrin sentuh untuk telefon pintar kepada syarikat Apple dan syarikat lain, telah menghentikan pekerja kilang Uighur yang berpindah dari Xinjiang melalui program buruh negara, menurut bekas pekerja dan pemilik kedai berhampiran kilang tersebut.
Menurut pekerja yang masih berkhidmat, syarikat itu juga telah menghentikan pengambilan pekerja etnik Uighur.
Selain itu, syarikat Hubei Haixin Protective Products Group Co. Ltd. yang menjual produk perlindungan peribadi tidak lagi menghasilkan topeng untuk jualan di laman web e-dagang Amerika, juga tidak mengambil pekerja dari Xinjiang, kata seorang pekerja syarikat.
Pekerja tersebut mengatakan syarikat telah memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak pekerja dari Xinjiang pada September lalu, setelah muncul laporan yang mendakwa bahawa pemaksaan bekerja terhadap mereka.
Perkara yang sama berlaku menurut kenyataan daripada syarikat Nike yang terdapat di laman web syarikat pada bulan Jun 2020, anak syarikat China Taekwang Industrial Co. Ltd, yang membuat pakaian sukan untuk Nike di China, telah menghantar pulang pekerjanya yang dari Xinjiang pada suku kedua tahun lalu.
Kenyataan syarikat tersebut telah dikemas kini, tetapi versi yang lama masih wujud Internet Archive, sebuah organisasi bukan keuntungan yang menyelenggarakan perpustakaan digital laman web.
Tidak dapat dipastikan sama ada pekerja dari Xinjiang di kilang Lens dapat menghasilkan komponen yang terakhir bagi produk Apple.
Sebaliknya, seorang jurucakap Apple mengatakan bahawa syarikat telah melakukan lebih dari 1,100 audit dan menemu ramah 57,000 pekerja selama satu setengah tahun terakhir untuk memeriksa sama ada pembekal mematuhi piawaian syarikat. Tata Kelakuan syarikat adalah melarang sebarang bentuk diskriminasi.
Beliau menambah, “Kami akan terus melakukan segala yang kami mampu untuk melindungi hak-hak pekerja di setiap pautan rantai bekalan kami dan memastikan bahawa setiap orang diperlakukan dengan nilai kemanusiaan.”
Tindakan drastik oleh syarikat pembekal China yang telah menggaji ribuan pekerja Xinjiang melalui program pekerjaan bersubsidi kerajaan dengan memecat mereka menunjukkan tekanan yang dihadapi semakin meningkat apabila Barat mendesak syarikat multinasional tidak menggunakan buruh paksa dalam rantaian bekalan mereka di China.
Kumpulan hak asasi dan penyelidik Barat juga telah menuduh pemaksaan yang berlaku di Xinjiang dengan melakukan penangkapan besar-besaran dan eksploitasi oleh pemerintah China yang dinamakan program “pemindahan tenaga kerja”; adalah untuk memaksa bangsa Uighur dan Muslim Turki lain di rantau ini untuk bekerja di kilang-kilang di seluruh negara.
Tekanan Amerika Syarikat
Beijing menerima kritikan keras dari Washington terhadap apa yang berlaku di Xinjiang, yang mana telah menggunakan tenaga kerja paksa, mengeluarkan larangan import kapas, tomato dan poli-silikon dari wilayah tersebut sejak setahun lepas. Sebagai tindak balas, banyak syarikat multinasional telah mengadakan audit rantaian bekalan di China dan bahkan mengupah firma penyiasat untuk mencari bahan mentah dan tenaga kerja dari Xinjiang di samping berusaha untuk tidak memprovokasi Beijing.
Bahkan Senat AS, minggu lalu, sebulat suara meluluskan “Undang-undang Larangan Paksaan Bekerja Terhadap Etnik Uighur”. Rang undang-undang disokong oleh parti Republik dan Demokratik, yang kemungkinan akan dipersetujui Dewan Perwakilan, akan melarang barang yang dihasilkan oleh buruh paksa Xinjiang dalam program yang dikendalikan oleh negara kecuali pengimport membuktikan sebaliknya.
Sebaliknya, pemerintah China menafikan semua tuduhan pelanggaran hak dan mengatakan penggunaan tenaga kerja Uighur, Kazakh dan pekerja lain adalah program untuk membasmi kemiskinan. Kumpulan hak asasi mengatakan pekerja ini mungkin dihukum kerana membicarakan keadaan kerja mereka, sementara firma audit mengatakan pekerja bimbang dengan balasan dari pihak berkuasa China, sehingga sukar untuk mengesahkan sejauh mana paksaan dalam program ini.
Sumber: Arabic Post
*Terjemahan oleh Fathiah Zulkifli, Ketua Penyunting Fokus