Penduduk Semenanjung Gaza sedang mengalami krisis kualiti air yang teruk bagi memenuhi keperluan harian mereka. Mazen al-Banna, seorang jurutera dan juga Naib Presiden Pihak Berkuasa Air Palestin di Gaza, beliau berkata bahawa krisis air di Gaza semakin meruncing kerana sumber air yang terhad dan juga kawasan tanah yang kecil (Gaza sekitar 365 batu persegi). Gaza mewakili kurang dari 1.4 peratus dari keseluruhan tanah Palestin, tetapi diduduki hampir 2 juta penduduk, atau 17% dari keseluruhan populasi Palestin.
“Banyak sektor di Gaza, termasuk air, tanah, pertanian, udara dan unsur-unsur alam sekitar yang lain, kian merosot dari hari ke hari, keperluan rakyat cukup tinggi, dan saiz penduduk tidak menyamai dengan apa yang ada.” kata Banna.
Menurut Banna, aquifer (sumber air bawah tanah) adalah sumber air utama di Gaza, dan memperuntukkan 98 peratus bagi keperluan awam.
“Sumber air kedua adalah dari syarikat air Israel, dikenali sebagai Mekorot, memperuntukkan 5 juta meter padu setahun, dan dibayar oleh pihak berkuasa Palestin. Jumlah ini mencapai ke kawasan-kawasan timur Khan Yunis dan di kawasan tengah Gaza, di mana aquifer untuk kawasan-kawasan ini tidak wujud atau hanya ada air masin. Maka sudah tentu ianya tidak sesuai untuk digunakan terus oleh penduduk Gaza.”
Dengan sumber air yang terhad, dan pencemaran yang berlaku, keadaan ini telah membawa ke arah krisis air bagi penduduk Gaza. Ahmed Hillis, seorang pengkaji sektor air berkata bahawa, setiap individu dari penduduk Gaza menerima kurang dari jumlah yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk kekal sihat.
“Krisis air yang teruk ini telah berlaku sejak bertahun-tahun yang lalu, ditambah dengan populasi penduduk Gaza yang semakin berkembang dan tidak wujudnya sektor air dan kumbahan yang baik.”
Beliau menambah, “(keadaan) ini telah menyebabkan masalah yang lain, seperti kemerosotan dari sudut kualiti, apabila air laut (masin) masuk ke aquifer-aquifer di seluruh Gaza. Semenanjung Gaza mempunyai lebih dari 6,000 telaga air. Sumber-sumber tersebut telah tercemar dengan sisa-sisa kumbahan (atau air sisa) akibat infrastruktur yang rosak dan dimusnahkan oleh rejim Israel. Tambahan lagi, penggunaan bahan-bahan kimia untuk tujuan pertanian, akhirnya meresap ke sumber air bawah tanah tersebut.”
Pencemaran air dan kekurangan sumber aquifer yang bersih telah menyebabkan keadaan bertambah teruk.
Munther Shiblak, Pengarah Coastal Municipalities Water Utility berkata, 97 peratus dari sumber air Gaza tidak menepati keperluan semasa penduduk Gaza, dan sumber air bawah tanah itu pun hanya memperuntukkan tidak lebih 55 juta meter padu setahun. “Gaza memerlukan anggaran 180 juta meter padu setahun untuk tujuan domestik dan pertanian,” kata beliau.
“Oleh itu, defisit tahunan adalah lebih kurang 100 meter padu. Krisis air yang berlaku ini berpunca dari sumber aquifer yang tercemar dengan kemasukan air laut ke sumber air bawah tanah tersebut. Buktinya, telaga-telaga air yang berhampiran dengan pantai menyaksikan peningkatan kandungan klorida (kira-kira 1,500 milligram per liter). Sepatutnya ia tidak boleh melebihi 250 milligram per liter.”
Shiblak berkata bahawa kumbahan yang tidak dirawat dan penggunaan racun serangga yang tidak betul adalah punca utama pencemaran meningkat.
“Tahap nitrat mestilah berada di antara 50 – 70 milligram per liter berdasarkan piawaian antarabangsa. Namun di Semenanjung Gaza, ia mencapai sehingga lima kali ganda,” kata beliau.
Menurut Shiblak lagi, Coastal Municipalities Water Utility, bertanggungjawab untuk membekalkan air kepada penduduk Gaza dan kini sedang giat mencari sumber air alternatif. “Desalinasi (penyahgaram) air sedang dipertimbangkan. Sebuah loji untuk tujuan ini telah dibangunkan pada tahun 2003 di kawasan tengah Semenanjung Gaza, yang dibiayai oleh Austrian Development Cooperation. Kapasiti pengeluaran loji tersebut ditambah dari 600 ke 2,600 meter padu sehari pada permulaannya (2003) berikutan geran yang diperoleh dari Bank Pembangunan Islam. Kami sedang mencari dana tambahan bagi menampung keperluan tersebut dan berusaha untuk menambahkan lagi kapasiti pengeluaran sedia ada sebanyak 5,000 meter padu sehari.
Beberapa projek desalinasi air sedang dibina di beberapa bandar di Semenanjung Gaza dan dijangka akan berfungsi bermula tahun hadapan bagi menampung keperluan ribuan penduduk Gaza setempat (mengikut kawasan masing-masing). Namun begitu, projek-projek ini tergendala disebabkan keadaan politik semasa dan kehidupan penduduk Gaza yang tidak stabil.
“Tidak semua projek akan siap sebagaimana dijangkakan, hal ini kerana situasi politik dan bekalan kuasa elektrik yang tidak menentu. Bekalan kuasa elektrik adalah kunci utama untuk loji-loji ini beroperasi dengan baik.”
Sehingga kini, krisis air yang terhad masih berterusan. Situasi ini boleh diatasi tertakluk pada beberapa faktor, termasuk pembiayaan antarabangsa, politik dalaman dan kemudahan air yang aktif atau tidak.
Sumber : AlMonitor