Pada 31 Julai, Singapura dan Amerika Syarikat memeterai perjanjian kerjasama nuklear awam atau lebih dikenali sebagai “perjanjian 123” yang membenarkan eksport bahan api nuklear, reaktor, peralatan, dan bahan nuklear khas dari A.S. ke Singapura. Kerjasama itu termeterai sebulan selepas Filipina menandatangani perjanjian yang sama dengan A.S. pada 2 Julai lepas. – (US Department of State)
Ini menjadikan Singapura negara Asia Tenggara keempat yang menandatangani perjanjian kerjasama nuklear dua hala dengan kuasa besar atom itu. Indonesia merupakan yang terawal menandatangi perjanjian 123 pada 1981 dengan tempoh pakatan selama 50 tahun. Manakala, Vietnam pula pada 2014 dengan tempoh pakatan yang ditetapkan sehingga 2044. – (NNSA)
Sementara itu, Thailand berpotensi mengikut jejak langkah empat negara ASEAN itu. Pada November 2022, Amerika Syarikat menjanjikan sokongan teknikal kepada Thailand untuk membangunkan Reaktor Modular Kecil (SMR) ketika pemerintahan Prayuth Chan-ocha. Kini, Srettha Thavisin, perdana menteri Thailand mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Perdagangan A.S, Gina Raimondo bagi membincangkan usaha melancarkan kuasa nuklear di negara itu. – (Fokus)
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.