Tahun 2024 menyaksikan lonjakan minat warga China untuk membeli rumah mewah di Malaysia, khususnya di kawasan utama Kuala Lumpur iaitu Central Business District (CBD), seperti Bukit Damansara, Bangsar, dan Kenny Hills, lapor The Straits Times.
Disebabkan Malaysia dilihat stabil dari segi politik dan peluang pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh berbanding tahun-tahun sebelumnya menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan bagi golongan kaya dari China yang sentiasa mencari peluang pelaburan dan pendidikan.
Menurut laporan daripada beberapa firma hartanah tempatan, bilangan warga China yang ingin membeli hartanah di Malaysia meningkat sebanyak 42% pada suku pertama 2024 berbanding suku sebelumnya.
Kashif Ansari, Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI, mendedahkan bahawa peningkatan ini menyumbang kepada pertambahan pembelian rumah oleh pembeli China yang kini merupakan segmen terbesar pembeli asing di Malaysia.
Namun, angka sebenar bagi jumlah pertanyaan dan rumah yang dijual tidak didedahkan atas sebab kepentingan komersial.
Kenaikan harga hartanah global dan lambatnya ekonomi di China menyebabkan ramai pelabur China menjual hartanah mereka di luar negara pada tahun 2023.
Namun, ramai pula yang masih berminat untuk melabur dalam hartanah di Malaysia, terutamanya selepas pelancaran semula skim visa Malaysia My Second Home (MM2H) pada bulan Jun yang mewajibkan pembelian hartanah sebagai syarat untuk mendapatkan visa.
Malaysia kini berada di kedudukan kedua selepas Thailand sebagai destinasi pilihan pembeli hartanah dari China di Asia Tenggara.
Peraturan yang membenarkan warga asing membeli hartanah hanya pada harga RM1 juta ke atas juga menarik minat pembeli dari China, yang kebanyakannya melihat hartanah pada harga yang jauh lebih tinggi.
Firma Zerin Properties, yang fokus kepada pelanggan berpendapatan tinggi, melaporkan peningkatan transaksi sebanyak 20% dalam separuh pertama 2024 berbanding separuh kedua 2023.
Ini petanda bahawa wujud permintaan tinggi dari pembeli China dan UK yang mencari rumah mewah bernilai lebih RM4 juta.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Previn Singhe, selain pembeli dari China, terdapat juga minat dari India untuk membeli rumah mewah di Malaysia.
Peningkatan pelajar China di institusi pendidikan tinggi Malaysia, yang meningkat 35% kepada 44,043 pelajar pada tahun 2023, juga menjadi pendorong utama permintaan hartanah.
Keluarga pelajar ini cenderung untuk membeli rumah di Malaysia, menjadikannya pilihan yang lebih mudah dan selesa.
Menurut laporan Financial Times baru-baru ini, bilangan eksekutif dan pekerja China di Malaysia juga meningkat empat kali ganda dalam tiga tahun terakhir, dari 10,000 pada 2021 kepada 45,000 pada masa ini.
Ini menyumbang kepada peningkatan jumlah penduduk China di Malaysia, yang kini dianggarkan antara 150,000 hingga 200,000 orang.
Walaupun terdapat kawalan ketat oleh kerajaan China, yang hanya membenarkan rakyatnya memindahkan sehingga US$50,000 sahaja setiap tahun ke luar negara, ramai pembeli dari China masih mempertimbangkan untuk membeli rumah di Malaysia.
Sumber: The Straits Times, The Vocket & New Straits Times