Cadangan Parlimen Iran untuk menutup Selat Hormuz berikutan konflik Israel-Iran berisiko menjejaskan lebih 60 peratus bekalan minyak mentah dan kondensat yang diimport Malaysia, namun pada masa sama berpotensi meningkatkan pendapatan Petronas susulan kenaikan harga minyak global.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebahagian besar import minyak mentah dan kondensat Malaysia bergantung kepada negara-negara Teluk yang menggunakan Selat Hormuz sebagai laluan utama penghantaran.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Arab Saudi kekal sebagai pembekal terbesar, menyumbang 34.6 peratus daripada jumlah import, diikuti Emiriah Arab Bersatu (20.9 peratus) dan Qatar (9.2 peratus). – The Star
Manakala, statistik Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA) menunjukkan Arab Saudi menyumbang hampir 40 hingga 45 peratus daripada eksport minyak yang melalui Selat Hormuz. UAE dan Qatar pula berada dalam kelompok lima penyumbang utama bersama Iraq, Kuwait dan Iran. – EIA
Bagaimanapun, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan memiliki infrastruktur yang membolehkan mereka mengelak laluan Selat Hormuz, yang mungkin dapat mengurangkan sedikit gangguan transit sekiranya laluan itu ditutup. – EIA
Namun kapasiti maksimum penghantaran saluran paip alternatif itu dianggarkan hanya sekitar 2.6 juta tong sehari. – EIA
Susulan ketegangan itu, harga minyak dunia melonjak lebih dua peratus, paras tertinggi sejak Januari. Harga Brent meningkat 2.7 peratus kepada AS$79.12 setong manakala minyak mentah AS naik 2.8 peratus kepada AS$75.98 setong , perkembangan yang dijangka memberi manfaat kepada hasil eksport Petronas. – NDTV
Sementara itu, CIMB Securities menjangkakan sekiranya penutupan Selat Hormuz menjadi kenyataan, premium risiko boleh melonjak dan mendorong harga Brent melebihi AS$100 setong. – NST
Berdasarkan data DOSM, Thailand kekal sebagai destinasi utama eksport minyak mentah dan kondensat Malaysia selama tiga suku berturut-turut dengan nilai RM2.4 bilion atau 29.4 peratus daripada jumlah eksport, diikuti Jepun (20.6 peratus) dan Australia (20.1 peratus). – The Star
Namun begitu, kebimbangan turut timbul berikutan pengeluaran minyak mentah dan kondensat negara menyusut 8.9 peratus kepada 41.8 juta tong pada suku ketiga 2024 berbanding tahun sebelumnya. – The Star
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penurunan tersebut dipacu oleh kemerosotan ketara sebanyak 14.2 peratus dalam pengeluaran minyak mentah. –The Star
Pada 22 Jun lalu, Parlimen Iran meluluskan usul menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan ketenteraan Amerika Syarikat ke atas tiga lokasi nuklear utamanya: Fordow, Natanz dan Isfahan.
“Parlimen telah mencapai kesimpulan bahawa Selat Hormuz perlu ditutup,” kata Esmaeil Kowsari, anggota Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen, seperti yang dilaporkan oleh televisyen rasmi Iran. – FMT
Namun menurutnya, keputusan muktamad berhubung penutupan itu akan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, iaitu badan keselamatan tertinggi republik tersebut. – FMT
Sebelum ini, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa beliau akan menghubungi rakan sejawatnya dari Iran, Seyyed Abbas Araghchi dalam masa terdekat bagi memohon agar laluan strategik eksport minyak dan gas asli cecair (LNG) di Selat Hormuz tidak ditutup. – Astro Awani
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab