Kenapa Malaysia Perlu Menolak TPPA (Siri 3)

Laksana-TPPA-01

Bagi memastikan isu TPPA masih relevan untuk dibicarakan pada peringkat masyarakat Malaysia, penting untuk kita menilai sama ada perjanjian kontroversi tersebut mampu memberi ancaman ataupun tidak terhadap mana-mana institusi masyarakat dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial.

Mungkin isu percaturan geopolitik yang menjadi latarbelakang perjanjian TPP tidak mampu menjelaskan secara jelas mengapa masyarakat Malaysia perlu mengambil kisah tentang isu perjanjian yang menampilkan kuasa besar dunia ini, seterusnya menggesa kerajaan agar menolak perjanjian tersebut. Namun itu tidak menjadi alasan bagi masyarakat untuk tidak ambil peduli sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh pimpinan negara, lebih-lebih lagi apabila langkah tersebut bakal memberi kesan terhadap rakyat.

Maka pada siri kali ini, isu TPPA akan dirungkai melalui sudut pandang kepentingan masyarakat dengan melihat sejauh mana syarat yang digariskan dalam TPPA mempengaruhi perlaksanaan polisi negara dan seterusnya menjejaskan rakyat Malaysia.

Siri 3: TPPA mencabar undang-undang pengeluaran arak dan rokok di Malaysia

1. Salah satu syarat kontroversi yang bakal digariskan dalam perjanjian TPP ialah peruntukan hak bagi syarikat milik asing untuk menyaman kerajaan tempatan di negara yang terlibat jika didapati terdapat mana-mana polisi mahupun undang-undang negara yang menganggu gugat keuntungan syarikat. Peruntukan yang dikenali sebagai Investor-State Dispute System (ISDS) ini membolehkan syarikat asing untuk menyaman kerajaan tempatan melalui tribunal atau institusi kehakiman antarabangsa tanpa perlu melalui mahkamah tempatan.

2. Peruntukan ini dilihat sebagai bermasalah disebabkan kebebasan yang bakal diberikan melalui perjanjian TPP ini bakal mengganggu gugat polisi negara dalam mengawal kadar pengeluaran, pengedaran, penggunaan serta pengiklanan barangan kawalan seperti arak dan rokok. Malahan, sejak tahun 1993 Malaysia sudah pun mewujudkan satu sistem menyeluruh bagi mengawal pengeluaran dan penjualan rokok di negara ini yang merangkumi kadar ketetapan cukai, syarat penglabelan produk rokok, serta larangan merokok di tempat-tempat tertentu. Begitu juga dengan undang-undang bagi pengeluaran arak yang menetapkan had bagi lesen pengeluaran serta larangan dan kawalan bagi pengiklanan dan penajaan kilang arak di Malaysia.

3. Kini, persoalan utama yang timbul sekiranya Malaysia tetap tekad untuk menandatangani perjanjian TPP adalah sejauh mana apa yang sudah ditetapkan dan dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini tidak akan tergugat dengan peruntukan ISDS dalam perjanjian TPP? Adakah kita pasti perjanjian TPP ini boleh mengambil kira sensitiviti rakyat di negara ini yang majoritinya Muslim apabila kawalan penjualan arak di negara ini dicabar syarikat asing?

4. Tidak dinafikan adanya alternatif bagi menjaga kepentingan Malaysia dalam perjanjian TPP. Bahkan pada tahun 2013, kerajaan Malaysia pernah mengusulkan supaya rokok dikecualikan dalam peruntukan perjanjian. Hal ini bagi melindungi undang-undang Malaysia yang sudah sedia ada bagi mengawal penjualan rokok. Namun, usul ini tidak dipersetujui Australia, salah sebuah negara yang turut terlibat dalam rundingan TPP.

5. Malah jika kita bersikap optimis sekalipun dengan menjangka bahawa tidak akan ada syarikat asing yang berani mencabar kedaulatan undang-undang Malaysia, bahkan setuju dengan segala kawalan ketat yang dikenakan di negara ini, percaya atau tidak kes saman syarikat rokok ke atas kerajaan sudah pun berlaku. Philip Morris, sebuah syarikat rokok telah pun menyaman kerajaan Uruguay dan juga Australia disebabkan peruntukan undang-undang negara terbabit yang menganggu gugat penjualan rokok mereka. Tindakan Philip Morris kali ini berjaya dilakukan di bawah ISDS yang sudah termaktub dalam perjanjian perdagangan antara negara- negara tersebut. Bahkan peruntukan ISDS turut menjadi isu kontroversi yang melanda perjanjian TTIP (Transatlantic Trade and Investment Partnership); satu lagi perjanjian antara EU dan juga Amerika Syarikat.

6. Jika dilihat dari sudut impak peruntukan ISDS dalam perjanjian TPP ini kepada masyarakat, bukan sahaja usaha kerajaan bagi mempromosi gaya hidup sihat dan usaha bagi meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysia terjejas, bahkan kemungkinan masalah sosial yang selama ini kita bertungkus lumus untuk banteras akan terbantut.

7. Bahkan dalam isu arak pula, kesan yang sangat besar dapat kita bayangkan sekiranya syarikat-syarikat arak milik asing mampu untuk mempertikaikan undang-undang negara yang ternyata menjaga kepentingan rakyat majoriti iaitu masyarakat Islam. Malah ketika kerajaan Malaysia belum lagi secara rasminya menandatangani perjanjian ini, sudah ada usaha-usaha mempromosi budaya minum arak secara terbuka melalui penganjuran karnival arak seperti Octoberfest. Cuba bayangkan sekiranya TPPA diluluskan apakah kita mampu menjamin tiada lagi karnival seperti itu, atau yang lebih teruk lagi akan berlaku?

8. Peruntukan ISDS dalam perjanjian TPP sudah semestinya tidak menguntungkan rakyat Malaysia, bahkan mampu mengancam kesejahteraan sosial, ekonomi dan politik di negara ini. Sekiranya kita timbang tara semula isu ini secara rasionalnya, adakah masyarakat majoriti Muslim di negara ini akan mendapat untung sekiranya syarikat arak lebih bebas menjual dan mengedar produk mereka? Malah, adakah taraf sosial masyarakat kita akan berjaya dimajukan sekiranya syarikat rokok boleh melanggar undang-undang di negara ini? Sekiranya jawapan kepada kedua-dua soalan tersebut adalah tidak, maka apa lagi rasional Malaysia untuk menerima TPPA?

Kesimpulannya, isu TPPA perlu dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan diambil oleh mana-mana pihak yang berkenaan. Malah isu ini perlu diambil secara serius oleh masyarakat Malaysia kerana ini bukan sahaja perjanjian perdagangan yang berlaku antara pemimpin negara, bahkan perjanjian ini bakal melibatkan rakyat negara yang terbabit. Namun satu lagi persoalan yang tinggal, sekiranya isu TPPA ini begitu berat implikasinya terhadap rakyat, mengapa pimpinan politik negara tidak ‘sebising’ badan-badan bukan kerajaan di negara ini? Bahkan tentangan yang diberi pihak pembangkang  hanyalah sekadar ‘angin sepoi-sepoi bahasa’ yang tidak mampu membentuk pendirian dalam isu TPPA. Mungkinkah kerana isu ini hanyalah isu picisan, atau mungkinkah kerana ada kepentingan mereka yang perlu dijaga? Tepuk dada tanya selera.

Nur Hanis Mohamad Noor

Sumber: USM, WHOINDEPENDENT

 

Kenapa Malaysia Perlu Menolak TPPA (Siri 1)

Kenapa Malaysia Perlu Menolak TPPA (Siri 2)

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ahli Parlimen AKP, Ismet Yilmaz dilantik sebagai Speaker Parlimen yang baru

Next Post

Sindrom Mempolitikkan Badan Kehakiman Timur Tengah

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content